Semua insan yang bernyawa di atas dunia ini pastinya tidak sanggup untuk menerima takdir kehilangan orang tersayang. Perasaan seorang suami kematian isteri sukar digambarkan kerana hilangnya penyeri dalam rumah tangga.
Mahu ataupun tidak, hidup perlu diteruskan. Mereka yang dijemput Ilahi tidak akan kembali semula ke dunia ini untuk menemani kita seperti hari-hari biasa.
Suami kematian isteri terpaksa menguruskan anak-anak sendiri
Pada ahad yang lalu, sebuah video telah menjadi tular apabila seorang murid memakai baju kemeja sekolah terlalu besar sehingga paras lutut ketika ke sekolah.
Video yang dimuat naik dalam aplikasi TikTok itu, seorang guru Sekolah Kebangsaan Haji Abu Bakar, Farrah Norashikin dilihat memperbetulkan baju sekolah muridnya yang dikenali sebagai Jebat.
Menurut Farrah, muridnya itu terpaksa memakai sahaja pakaian seragam sekolah bersaiz besar disebabkan oleh bapanya telah tersilap beli saiz baju untuk anaknya.
”Selepas menyedari akan keadaan itu, saya bawa Jebat ke tandas untuk membetulkan baju sekolahnya. Bila semak, tengok saiz bajunya itu rupa-rupanya bersaiz XL.”
@cikgu_farrah terima kasih atas doa semua buat anak ini..ibu dia meninggal sbb covid beberapa bln lepas..xsanggup sy tgok tanpa perasaan..harap xdak yg komen ♬ Pelangi Petang – Dato’ Sudirman
”Pada mulanya dia tersalah pakai baju abangnya. Tetapi sebenarnya ayahnya telah tersalah pilih saiz menyebabkan pakaian seragam sekolah terlalu besar pada tubuhnya.” kongsinya.
Tambah Farrah, Jebat mempunyai seorang abang di tahun dua dan kakak yang belajar di tingkatan empat. Ketiga-tiga beradik ini tinggal bersama nenek mereka di Kampung Teluk berikutan ayah mereka bekerja sebagai pemandu lori.
Nenek tidak sempat membetulkan baju sekolah cucu
Nenek kepada Jebat yang dikenali sebagai Roziah memberitahu, dia tidak sempat untuk membetulkan baju berkenaan mengikut saiz badan cucunya.
”Ayah mereka beli baju dua pasang untuk setiap sorang. Bila bawa balik ke rumah, tengok tidak muat. Jadi dia pergi semula ke kedai dan tukar. Namun terbeli pula saiz besar. Cucu ada minta saya kecilkan, namun saya tidak sempat,” jelasnya.
Sementara itu, Guru Besar SK Haji Abu Bakar berkata pihaknya akan membelikan pakaian seragam sekolah yang baharu buat Jebat.
Namun siapa sangka di sebalik kisah baju sekolah saiz besar ini, ada kisah lain yang begitu menyedihkan.
Difahamkan ibu kepada pelajar ini baru sahaja pergi menghadap Ilahi pada bulan November tahun lalu disebabkan jangkitan Covid-19. Dalam meneruskan hidup, nenek, ayah dan kakaknya lah banyak membantu Jebat.
Perasaan seorang suami kematian isteri dan ibu kepada anak yang masih kecil
Seorang lelaki dan juga superdaddy, Khairul Abdullah berkongsikan perasaan dihadapinya setelah kehilangan isteri dan pengurus rumah tangga.
Perasaan yang sukar digambarkan. Macam-macam perasaan bercampur.
Bagi aku, beberapa bulan selepas kehilangan, perasaan yang paling banyak adalah sesalan. Ya, menyesal yang pelbagai. Kenapa dulu aku tak buat begitu, kenapa dulu aku tak buat begini.
Rupa-rupanya membesarkan seorang anak adalah sukar. Kenapa dulu aku kurang bantu isteri. Kenapa dulu aku kurang bantu uruskan anak-anak, mengemas rumah?
Makan bersendirian ini tidak sedap rupanya. Kenapa dulu aku selalu balik lambat dan jarang makan bersama.
Tidak ada orang untuk bercakap ini pun sudah rasa sangat sunyi dan mencengkam. Kenapa dulu aku kurang bercakap dengan dia dan banyak habiskan masa dengan telefon.
Menyayangi atau mencintai perlu diluahkan rupanya. Tak boleh biar senyap-senyap dalam diri. Sekarang ni nak luahkan i love you, i miss you pun sudah tidak ada gunanya.
Kasih dan sayang membuak-buak dalam dada, namun orang yang nak diucapkan telahpun tiada.
Pelbagai penyesalan datang bertandang.
Walaupun aku ni rasanya dah cukup rajin tolong dia, dah cukup ucap kata cinta, dah cukup segalanya buat dia, namun bila kehilangan semua itu rasanya tak pernah cukup.
Sayangnya, semua tu dah terlambat.
Isteri aku meninggal pada umur 39 tahun. Masih terlalu awal tinggalkan aku dan anak-anak yang ketika itu berusia 2 tahun, 4 tahun dan 7 bulan. Duduk di sebelah katil ICU dengan memegang tangan isteri yang perlahan-lahan pergi meninggalkan bukanlah satu pengalaman yang ingin dikenang.
Setahun anak-anak aku ambil masa untuk faham dengan jelas tentang kematian ibu mereka. Anak sulung aku ambil masa 2 tahun untuk mula menangis melepas beban rindu pada ibunya.
Sumber: Print Lyric, Khairul Abdullah
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: ”Ibu Masak Nasi Je, Lauk Belum Lagi, Lepas Tu Dia Mati,” Kisah Sedih Anak Menyaksikan Ibu Meninggal Dunia