Kehidupan berumah tangga tidak sama dengan zaman bercinta. Amat beruntung bagi mana-mana wanita apabila dia memperoleh seorang suami yang baik dan bertanggungjawab terhadap keluarga.
Selepas berkahwin dalam hidup isteri hanya ada suami. Dialah yang menjadi pasangan sehidup semati dan teman untuk berkongsi segala suka duka. Walau bagaimanapun tiada manusia yang sempurna, pasti akan ada ujian-ujian tertentu untuk menguji kesabaran anda.
Suami yang baik atau buruk hanya isteri sahaja tahu
Baik atau buruk suami, hanya isteri seorang sahaja yang tahu. Ayah, mak atau adik beradik kita pun tidak tahu.
Kita buat baiklah macam mana sekalipun pada orang luar, kita pijak semut tak mati sekalipun, lidah tak bertulang dan nampak mulia di mata masyarakat sekeliling kita pun, tapi kalau dekat rumah dengan isteri sendiri adalah sebaliknya, maka anda adalah seorang yang munafik.
Dengan isteri sendiri lain, dengan orang luar lain.
Kalau nak buat baik, buatlah baik pada keluarga sendiri dulu. Anak isteri kita. Itulah yang paling afdhal dan utama. Orang baik pada keluarga dia, insyaAllah akan baik terhadap mereka yang berada di sekelilingnya.
Tapi orang yang hanya berbuat baik terhadap orang sekeliling, belum tentu akan lagi baik pada keluarganya sendiri.
Dengan kawan cakap elok-elok, tetapi dengan isteri cakap tinggi suara dan tengking-tengking. Dengan adik-beradik sendiri boleh saja melawak bergurau senda, tapi dengan isteri jadi serius sepanjang masa.
Dengan ibu ayah boleh hormat dan buat apa yang mereka suruh, tetapi dengan isteri sendiri tidak mahu hormat dan dengar cakap isteri.
Sebenarnya, isteri nampak tingkah laku suami. Isteri tahu pembawakan diri anda yang berbeza. Suami bukanlah lelaki yang sama ketika dia di luar dan di dalam rumah.
Apabila suruh solat pun liat, tetapi semasa berada di kampung solat tepat pada waktunya. Nafkah pun tak bagi, tapi rajin belanja kawan-kawan makan. Tolong orang sana-sini, tetapi bila isteri minta tolong disuruhnya buat sendiri.
Sentiasa hulurkan bantuan dan selesaikan masalah orang lain, tetapi masalah di rumah sendiri pura-pura tidak tahu.
Kalaulah kan isteri tu nak berterus terang bagitahu semua orang dan perangai kita yang SEBENAR, boleh je dia buat. Tapi apa yang dia dapat? Dituduhnya nanti membuka aib suami sendiri.
Dia hanya nak suami dia itu adalah orang yang sama baik di dalam atau di luar rumah. Dia hanya nak suami dia seperti diri suaminya di depan ibu ayah, adik beradik, kawan-kawan dan orang lain. Dia tidak mahu suami jadi seorang yang munafik.
Tips menjadi suami yang baik untuk isteri
Tidak semua lelaki di dunia ini adalah jahat. Masih wujud suami yang baik dan penyayang di muka bumi ini. Jika pasangan anda tidak bahagia, cepat-cepatlah berubah dan tawan hatinya kembali supaya ia tidak menjejaskan keharmonian rumah tangga.
#1. Suami perlu menghargai isteri
Memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu bukanlah semudah yang disangka. Jika anda merasakan penatnya bekerja, percayalah bahawa isteri berdepan kepenatan yang berganda sewaktu melakukan tugas di rumah dan menjaga anak-anak.
Ucapkan terima kasih kepadanya dan luangkan masa bersama untuk menjadi pendengar setia.
#2. Mendahulukan isteri dan anak-anak
Jika hari-hari biasa, anda sudah begitu sibuk dari pagi sehingga malam kerana mencari nafkah, tidak ada salahnya jika hujung minggu diluangkan bersama isteri dan anak-anak.
Jangan gunakan waktu ini untuk bersama kawan-kawan atas alasan ‘hobi’. Isteri dan anak-anak di rumah perlukan perhatian daripada anda!
#3. Membantu meringankan kerja rumah
Masalah yang sering kali terjadi dalam rumah tangga adalah suami pemalas dan tidak ambil tahu langsung kerja dalam rumah. Jika buang sampah pun perlu disuruh berkali-kali, mana tidaknya isteri boleh stres.
Nampak mudah tapi impaknya sangat besar. Walaupun dapat isteri yang rajin, mainkanlah peranan anda kerana tidak semua kerja dalam rumah boleh dilakukan dengan kudrat seorang wanita.
Sumber: Firdaus Shakirin
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 9 Sikap Suami Ini Ternyata Menyakiti Hati Istri & Merosakkan Hubungan Rumah Tangga