Manusia tidak lari dari sifat lalai dan pelupa, sebab itu kita disunatkan sujud sahwi. Ia dilakukan apabila terlupa sunat ab’adh seperti doa qunut, tertinggal rukun solat kecuali niat dan takbiratul ihram dan keliru bilangan rakaat.
Sahwi bermaksud lupa atau lalai terhadap sesuatu atau meninggalkan secara tidak sengaja. Dari segi syarak pula, sahwi bermaksud kecacatan atau kekurangan yang dilakukan ketika sedang solat sama ada terlupa atau tertinggal dengan sengaja.
Sujud sahwi adalah tambahan dua sujud yang dilaksanakan selepas selesai bacaan tahiyat akhir dan sebelum memberi salam.
Dalam artikel ini, kami kongsikan panduan lengkap cara berserta bacaan yang memudahkan anda mengamalkannya.
Hukum sujud sahwi
Hukum melakukan sujud ini adalah sunat muakkad. Jadi, solat tidak akan terbatal jika terlupa atau sengaja tidak melakukannya.
Namun, tujuan ia dilakukan adalah untuk menutup cela atau kekurangan disebabkan tertinggal rukun atau sunat atau terlupa bilangan rakaat yang dikerjakan.
Bacaan sujud sahwi
Berikut adalah doa sujud sahwi yang dibacakan ketika bersujud:
سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَيَسْهُوْ
Subhana Man Laa Yanaamu Walaa YasHuu
Maksudnya: Maha Suci Allah, zat yang tidak tidur dan tidak lupa
Cara sujud sahwi yang lengkap
Walaupun hukumnya adalah sunat, ada baiknya jika dilaksanakan mengikut tertib seperti di bawah:
- Niat – Ia perlu diniatkan dalam hati pada penghujung solat sebelum memberi salam. “Sahaja aku melakukan sujud sahwi”.
- Sujud pertama – Baca doa sujud sahwi sebanyak 3 kali
- Duduk antara dua sujud – boleh membaca bacaan duduk antara dua sujud atau diam dengan tomakninah.
- Sujud kedua
- Duduk dalam posisi tahiyat akhir dan memberi salam tanpa mengulang bacaan tahiyat akhir.
Kelebihan yang diperoleh apabila melakukannya
Anggaplah bahawa dua sujud tambahan ini merupakan satu pengiktirafan Allah kepada sifat manusia yang mudah lupa.
Ia juga memberikan gambaran bahawa Allah Maha Penyayang kerana masih mengizinkan kita untuk memperelokkan ibadah walaupun kita lalai atau leka ketika menghadap-Nya.
Dengan melakukan sujud ini, kita sebagai hamba merasakan dekat dan hanya kepada Allah lah tempat kita bersujud dan memohon keampunan atas kealpaan kita dalam melaksanakan amal ibadat.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Sah Ke Solat Subuh Tak Baca Doa Qunut? Doa Qunut Rumi Bantu Anda Hafal Di Samping Penghayatannya
Baca juga: 5 Doa Untuk Orang Sakit, Ringkas & Senang Hafal Yang Diajarkan Oleh Rasulullah SAW
Baca juga: Doa Selepas Solat Fardhu, Ringkas & Lengkap Berserta Maksud Yang Senang Dihafal