Surat terbuka untuk insan bergelar ayah…
Ayah,
Sudah lama kita tak berjumpa…
Saya sudah tak ingat lagi rupa wajahmu.
Adakah ayah sihat? Ayah ada keluarga baru? Keluarga ayah sihat juga?
Sudah banyak kali saya menulis surat terbuka seperti ini untuk meluahkan perasaan yang terpendam.
Perasaan yang saya selalu tolak tepi kerana saya tak suka merasakan perasaan itu.
Saya tak suka perasaan seperti kehidupan saya masih tergantung.
Sebenarnya, saya rasa benci kerana pemergian ayah masih memberi kesan kepada saya.
Saya ada banyak soalan yang belum terjawab dan luka di hati yang belum lagi sembuh.
Dimanakah ayah, apabila saya diperli di sekolah?
Pernahkah ayah ambil peduli?
Tahukah ayah yang budak sekolah selalu ejek saya dan mengatakan saya tak ada seorang bapa?
Adakah ayah tahu kesan yang ditinggalkan pada harga diri saya?
Sudah beribu kali saya membayangkan senario sama yang satu hari nanti kita akan bertemu.
Ayah akan duduk bersebelahan dengan saya dan saya akan tanya semua soalan-soalan saya sehingga saya puas.
“Mengapakah ibu ditinggalkan untuk membesarkan saya bersendirian?” “Adakah ia disebabkan ayah tak sayang kami lagi? Ataupun ayah tak pernah pun sayang dan mengasihi saya?” “Adakah saya ini tidak cukup bagus? Pernahkah ayah teringat akan saya?”
Semua soalan ini bermain di fikiran saya, ayah.
Saya tidak ada sebarang kenangan dengan ayah… Mana ayah pergi?
Ayah tak pernah cuba untuk mengambil tahu tentang hidup saya.
Saya tidak ada satu gambar ayah pun. Ayah sudahpun mempunyai keluarga sendiri masa itu.
Pada mulanya, ibu selalu menanamkan rasa dendam dan akan menyuruh saya belajar dengan tekun supaya saya boleh dapat perhatian ayah.
Tapi semua itu tidak berbaloi langsung dan akhirnya saya juga yang masih kecewa!
Akhirnya, pemergian seorang ayah telah saya redhai…
Tahun demi tahun, saya akhirnya berhenti mengharapkan sebarang panggilan telefon dari ayah.
Saya berhenti mengharapkan apa-apa.
Mungkin ayah tak sedar kesan mendalam setelah ayah tinggalkan saya.
Hati saya tetap luka kerana ayah memilih untuk menjauhkan diri.
Adakah ayah pernah memikirkan tentang saya?
Adakah ayah masih ingat hari jadi saya?
Pernahkah ayah berasa bangga dengan saya?
Pernahkah ayah rasa bersalah? Pernahkah ayah rasa menyesal?
Pernahkah ayah mahu putar balikkan masa untuk memastikan ayah tidak terlepas kehidupan anak-anak?
Pernahkah ayah duduk dan berfikir,
“Saya tidak sepatutnya meninggalkan anak saya?”
Sumber: News
Baca juga: