Ramai yang menganggap menjadi suri rumah sepenuh masa ini umpama duduk rumah goyang kaki dan hanya menghabiskan duit suami saja. Bilalah stigma ini dapat berakhir? Percayalah menjadi suri rumah tidak pernah menjadi sesuatu yang mudah, lagi-lagi jika anda mempunyai anak perlu dijaga sendiri tanpa pembantu.
Andalah yang bertanggungjawab menguruskan rumah, menguruskan anak-anak, mendidik anak-anak, memasak dan sebagainya. Kalau pergi pejabat paling-paling pun cuma buat satu kerja saja dalam satu masa. Nak menjadi suri rumah sepenuh masa ni kena ‘multitasking’!
Lagi-lagi di musim pandemik ini, ramai juga ibu yang bekerja terpaksa kerja dari rumah dan menjaga anak-anak memandangkan sekolah dan pusat jagaan tutup. Bekerja, menjaga anak, menguruskan rumah tangga, ini berganda penatnya.
Tahu tak, kami di theAsianparent cukup terkesan dengan luahan hati ibu-ibu baru-baru ini di platform media sosial kami. Rata-ratanya menyatakan mereka murung akibat perlu menguruskan anak-anak dalam masa yang sama perlu bekerja. Ada juga suri rumah yang baru kehilangan suami dan perlu menjaga bayi yang baru berusia 16 hari. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Mengapa suri rumah sepenuh masa satu pekerjaan yang sukar?
#1. Tak dapat dijangka
Tak seperti kerja di pejabat di mana situasi setiap hari adalah lebih kurang sama, jadi ibu yang menjaga anak sepenuh masa di rumah, kita sering terperangkap dalam situasi yang tak dapat dijangka.
Anak demam, cranky, tak nak tidur dan macam-macam lagi yang menyebabkan kita tak boleh buat kerja rumah yang kita rancang pada hari sebelumnya.
Ramai yang menggambarkan jadi seorang suri rumah buat kita mudah untuk memastikan rumah sentiasa bersih dan dapat menyiapkan makan malam yang berkhasiat untuk keluarga.
Tapi realitinya, ia adalah sangat normal apabila kadang-kadang kita tak sempat nak membersihkan rumah dan terpaksa makan luar kerana tak sempat memasak.
#2. Tak ada penilaian prestasi
Kalau di pejabat, kita akan tahu yang kita melakukan kerja yang bagus melalui penilaian prestasi. Tapi bila kita menjaga anak di rumah, kita tak tahu cara kita mendidik anak itu betul atau tak dan bila anak tak berjaya kita pula yang akan disalahkan nanti.
Jadi, apa yang boleh kita lakukan adalah dengan membantu mereka membuat kerja rumah, sentiasa ada di sisi mereka dan mengharapkan satu hari nanti mereka akan menghargai apa yang kita buat.
#3. Kerja tanpa henti
Menjadi suri rumah bermakna anda perlu bekerja 24 jam tanpa henti. Kita sentiasa diperlukan dan kalau dapat masa bersendiri untuk ke tandas pun dah rasa sangat bersyukur.
Apabila anak-anak tidur itulah waktu kita nak berehat itu jugalah waktu kita perlu menguruskan segala hal yang patut dilakukan sementara anak tidur. Ingat ibu-ibu kalau tak berapa penting boleh tundakan saja, beri keutamaan kepada diri sendiri. Badan tu perlu berehat untuk mendapat tenaga secukupnya.
Tapi, kalau nak dilihat dari sudut positifnya, kita sentiasa ada masa untuk menghadiri semua aktiviti anak tanpa perlu meminta cuti atau berkejar ke pejabat semula.
#4. Mencabar tapi tak merangsang minda
Menjaga anak sepenuh masa sudah tentunya satu kerja yang mencabar, kita cuba untuk tak hilang akal apabila mendengar nama kita dipanggil berulang kali.
Selain menjalankan tanggungjawab sebagai ibu, kita juga perlu, memasak, menjadi cikgu, membersihkan rumah dan macam-macam lagi ini membuatkan kita fleksibel dan setiap hari pasti akan ada cabaran baru yang akan kita perlu lalui.
Tapi kadang-kadang mesti kita rindu untuk memikirkan tentang perkara lain yang lebih mencabar minda dan berbual dengan orang dewasa yang lain dan tak bercakap soal anak.
#5. Tak ada gaji
Oleh kerana kita dah biasa mendapat gaji pada setiap hujung bulan, apabila kita menjadi suri rumah sepenuh masa tanpa mendapat gaji hasil dari titik peluh sendiri sudah tentu lain rasanya.
Walaupun suami mampu untuk menyara dan membelikan apa yang kita mahu, tapi kepuasan mempunyai duit sendiri dan membelanjakan duit sendiri tanpa perlu meminta atau fikir dua kali memang berbeza.
Walau bagaimanapun, suri rumah atau wanita bekerjaya mempunyai cabaran dan kelebihan masing-masing. Ia memang tak dapat dinafikan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
Cabaran Ibu Tunggal – Cerita dan Petua Dari Mereka yang Menempuhinya