Setiap pemandu dan penumpang kenderaan bermotor diwajibkan untuk memakai tali pinggang keledar ketika dalam perjalanan menggunakan kereta.
Tetapi jika anda ibu hamil, ini mungkin satu cabaran terutamanya kalau perut anda sudah semakin besar.
Adakah lebih selamat untuk meletakkannya melentang pada perut? Adakah cara ini akan memudaratkan bayi dalam kandungan jika berlakunya kemalangan?
Jangan bimbang, hari ini kita akan bincang tentang cara betul dan selamat.
Bolehkah ibu hamil pakai tali pinggang keledar?
Pastinya ada sesetengah ibu hamil rasa ragu-ragu untuk memakai tali pinggang semasa hamil kerana ada mitos menyatakan ia boleh membahayakan bayi dalam kandungan. Walaupun diingatkan berkali-kali tentang pentingnya memakai tali pinggang namun masih ada yang mengambil mudah tentang ini. Tali pinggang wajib dipakai oleh sesiapa pun termasuk ibu hamil.
Menurut Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi, Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Imelda Balchin berkata, terdapat kajian menunjukkan bahawa pemandu wanita yang hamil lebih berisiko mengalami kemalangan jalan raya berbanding wanita tidak hamil.
“Kemalangan tersebut mungkin berlaku disebabkan wanita hamil mempunyai masalah seperti loya, keletihan, tidak cukup tidur atau tidak selesa. Punca-punca itu menyebabkan wanita hamil mempunyai tindak balas yang lebih lambat untuk mengelak kemalangan.
“Oleh itu, penting untuk melindungi wanita hamil dengan memberi maklumat untuk memakai tali pinggang ketika memandu waima menjadi penumpang sekalipun,” jelasnya.
Ini mungkin cabaran buat anda sebagai ibu hamil untuk memakai tali pinggang kerana perut semakin membesar. Pastinya anda berasa tidak selesa apabila terpaksa memakai tali pinggang. Memakai tali pinggang yang betul adalah sangat penting. Kecuaian tidak memakai tali pinggang adalah punca utama seseorang akan mengalami kecederaan parah termasuk penumpang.
Berikut merupakan perkara yang patut dilakukan:
- Sentiasa pakai tali pinggang walaupun perjalanan dekat
- Pastikan pakai tali pinggang dengan cara yang betul
- Periksa tali pinggang agak berfungsi dengan baik
Apakah cara yang betul untuk memakai tali pinggang keledar ketika hamil?
Tali pinggang keledar sebenarnya adalah “car seat” pertama bayi anda.
Apabila dipakai dengan betul, ia boleh menjaga keselamatan anda dan bayi anda jika berlakunya kemalangan. Semua orang, tidak kira sama ada anda hamil ataupun tidak, sepatutnya memakai tali pinggang keledar dengan cara yang sama.
Berikut adalah cara pemakaian ketika anda hamil:
Tali pinggang yang melintang sepatutnya berada di bawah perut ibu hamil, dengan rata dan tidak terbelit.
Ini untuk memastikan tali pinggang itu berada pada tulang punggung dan tidak melintang pada perut ibu.
Jika berlakunya kemalangan dan tali itu melintang pada perut ibu hamil, ia boleh menyebabkan kecederaan pada buah pinggang, hati, limpa, usus, saraf tunjang tulang belakang, plasenta serta janin.
- SENTIASA pakai tali pinggang, walaupun duduk di belakang
- Angkat perut dan pastikan tali pinggang dalam keadaan rata and berada di atas paha tetapi di bawah perut
- Ketatkan tali pinggang dan pastikan tali pinggang yang melintang di bawah perut adalah cukup ketat.
- Tali pinggang bahu sepatutnya berada di celah-celah payudara ibu hamil.
- Jika ibu hamil adalah pemandu, laraskan kedudukan roda stereng ke atas.
- Tegakkan kerusi anda sebanyak yang mungkin. Kerusi yang terlalu rendah akan meninggikan risiko tali pinggang mencederakan rahim dalam kemalangan.
- Jika ibu hamil adalah penunggang hadapan, laras kerusi anda ke belakang sebanyak yang mungkin untuk mengelak dari terlalu dekat dengan airbag.
Baca juga: Nak Beli Car Seat Anak? INI 5 Car Seat Terbaik, Selesa & Dijamin Keselamatannya!
Produk tali pinggang keledar tambahan untuk wanita hamil
Jauhi produk-produk yang mengatakan mereka boleh menukarkan kedudukan tali pinggang keledar untuk wanita hamil agar mereka lebih selesa dan “selamat”.
Produk-produk ini tidak mempunyai kelulusan dan tidak pernah diuji dalam ujian kemalangan maka mereka tidak selamat untuk digunakan.
Jangan percaya gimik pemasaran mereka kerana ini soal keselamatan ibu hamil dan bayi dalam kandungan.
Dengan mengubah posisi atau menukarkan fungsi tali pinggang keledar, ia boleh menyebabkan tali pinggang menjadi longgar dan berbahaya.
Reka bentuk produk-produk ini juga tidak bagus dan akan menempatkan tali pinggang melintang atas rahim dan memudaratkan.
Jika ia diuji dengan patung ujian kemalangan, ujian itu masih tidak tepat dan tidak dapat mengukur sejauh mana risiko kecederaan kepada janin.
Kajian menunjukan penggunaan tali pinggang keledar yang betul dapat mengurangkan kecederaan kepada ibu hamil TANPA menggunakan produk tambahan.
Risiko kecederaan janin juga dapat dikurangkan sebanyak 50%.
Bagaimana pula dengan airbag kereta?
Untuk wanita hamil yang bimbang airbag kereta boleh mencederakan bayi dalam kandungan, jangan bimbang lagi.
Hasil kajian ini menunjukkan kesan penggunaan airbag sama seperti penggunaan tali pinggang keledar sahaja. Airbag kereta tidak akan mendatangkan kesan.
Risiko pemakaian tali pinggang yang salah
Kecuaian tidak memakai tali pinggang keledar menyebabkan seseorang itu mengalami cedera parah semasa kemalangan. Pemakaian tali pinggang keledar yang salah akan menyebabkan kecederaan yang serius seperti kecederaan kepala, tulang belakang dan kehilangan anggota badan. Selain itu, jika berlaku kemalangan ngeri ia boleh menyebabkan pemandu atau penumpang tercampak keluar daripada kenderaan
Berikut merupakan perkara yang perlu dielakkan:
- Jangan memakai tali pinggang yang berpintal
- Jangan letakkan tali pinggang di bawah atau di belakang badan setelah dipasang
- Elak memangku anak di atas riba
- Jangan berkongsi tali pinggang keledar dengan anak
- Elakkan penggunaan ‘dummy buckle’ atau alat nyah aktif pengera tali pinggang keledar
Semoga ini akan membantu dan menjaga keselamatan semua ibu-ibu hamil yang membaca. Sebarkan untuk keselamatan semua.
Sumber: The Car Seat Lady
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: Inilah Sebab Mengapa Anda Perlu Letak Anak Anda Dalam ‘Car Seat’
Baca juga: Bayi Maut Apabila Pengasuh Mengikat Tali Pinggang Keledar Tempat Duduk Kereta Secara Salah!