Perubahan gaya hidup zaman kini telah mendorong pengeluaran pelbagai produk perkembangan kanak-kanak termasuklah supplemen tambah selera makan anak. Bagi ibu bapa yang kini kembali sibuk bekerja di pejabat, anda mungkin tertarik untuk mencubanya setelah menyedari fizikal si manja terlalu kurus dan kecil.
Dalam perubatan tradisional Cina mempercayai bahawa gangguan fungsi hati boleh menjejaskan selera makan dan pencernaan. Biasanya, anak kecil yang sering mengalami sembelit cenderung untuk menolak pemakanan sihat.
Petua tambah selera makan anak secara semula jadi
Pegawai perubatan, Dr. Ahmad Bukhari menegaskan bahawa ibu ayah perlu berhenti menyuap sebarang jenis produk bagi menaikkan selera makan anak tanpa mengetahui sendiri keberkesannya.
Sebenarnya banyak teknik lain yang boleh anda guna bagi merangsang simulasi dan membuatkan si manja suka makan. Antaranya ialah:
#1. Jauhkan makanan manis
Apabila hampir waktu makan, ibu ayah perlu berhenti beri anak makan snek manis ataupun minuman bergula. Hal ini kerana saiz perut si comel adalah sangat kecil.
Makanan tinggi gula akan menyebabkan anak berasa cepat kenyang. Nanti mulalah menolak apabila disuap makanan lain.
#2. Perbanyakkan aktiviti fizikal
Anda wajib beri galakan kepada si manja supaya melakukan pelbagai aktiviti dan bersenam setiap hari. Jangan biarkan anak menghabiskan masa di depan skrin televisyen atau telefon sahaja.
Biasanya anak yang cergas jarang berdepan masalah tidak ada selera makan.
#3. Pelbagaikan menu makanan
Selain menyediakan hidangan berasaskan nasi, anda boleh juga cuba bubur, oat, yogurt, biskut homemade dan pizza. Cara ini boleh menarik perhatian mereka dan tidak mudah bosan untuk mencuba pelbagai jenis makanan di rumah.
#4. Jauhkan anak dari gangguan
Ibu ayah perlu memastikan keadaan dalam rumah ketika tiba waktu makan adalah bebas dari sebarang gangguan lain seperti televisyen ataupun mainan.
Cara ini adalah untuk meningkatkan tumpuan si manja terhadap makanan yang sudah siap terhidang.
#5. Kawal perasaan ketika melayan anak
Elakkan marah-marah anak atau memaksa si manja untuk menghabiskan makan. Kadang mungkin belum rasa lapar.
Namun kalau ibu selalu paksa dan meninggikan suara, sampai satu ketika nanti dalam mindanya akan terbayang bahawa makan adalah sesuatu tidak menyeronokkan.
#6. Kreatif dalam menghidangkan makanan
Jika ibu mendapati si kecil adalah jenis kurang selera makan, anda sepatutnya tingkatkan kreativiti dalam menyediakan setiap hidangan. Hiaskannya biar nampak menarik dan berwarna-warni bagi membuatkan anak-anak rasa terhibur apabila tiba waktu makan.
#7. Jangan tambah bahan perasa
Deria yang ada pada lidah si manja adalah sangat sensitif tidak seperti orang dewasa. Jika anda rasa makanan tersebut masin, anak kecil akan rasa terlampau masin.
Apabila ibu rasa sedikit masam, kalau disuap ke dalam mulut anak akan jadi terlebih masam dan akhirnya dia jadi tidak mahu makan.
#8. Sediakan dalam kuantiti sedikit
Semasa makan, letakkan makanan tersebut sikit-sikit dahulu. Dah habis barulah tambah. Selalunya bila nampak sikit, si manja akan rasa mahu berlumba untuk menghabiskannya.
#9. Guna pinggan kegemaran
Selain menghias makanan bagi cantik-cantik, anda boleh gunakan pinggan yang mereka suka setiap kali mahu makan. Sekiranya si manja minat dengan gambar buah-buahan atau kartun, carikanlah satu pinggan yang ada corak dia minat untuk digunakan khas semasa makan.
#10. Hidupkan suasana gembira
Semasa makan, anda perlu meluangkan masa makan bersama anak dalam suasana gembira. Caranya ibu boleh bersembang, bercerita dan memberikan sepenuh perhatian terhadapnya.
Bila sampai satu tahap nanti, si manja akan sentiasa teringat kenangan semasa waktu makan bersama ibu ayah merupakan paling terindah dalam hidup mereka.
#11. Rangsang psikologi si manja
Jangan lupa bahawa emosi si manja juga sangat penting. Ibu ayah perlu memberikan motivasi kepada mereka dengan menceritakan kelebihan makan sayur bayam, cara untuk jadi kuat seperti superhero pujaannya dan lain-lain.
Anda juga perlu membiarkan anak makan sendiri dan biarkannya bersepah. Elakkan sibuk berleter dan mengemas supaya keinginan makannya tidak terganggu.
Sumber: Ahmad Luqman, Bidadari
Kredit foto: Google
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Resepi Biskut Homemade Untuk Bayi Gatal Gusi & Baru Tumbuh Gigi