9 Tanda-Tanda Bayi Anda Kenyang Selepas Menyusu, Tidaklah Ibu Asyik Risau Lagi!

Bagaimana seorang ibu dapat memastikan anaknya cukup susu? Apakah tanda- tanda bayi cukup susu yang ibu boleh perhatikan semasa menyusu anak? Ini antara 9 tandanya...

Rasa risau tentang bayi yang mungkin tidak cukup susu atau sebaliknya memang biasa bagi ibu menyusu terus dari payudara.  Namun, sebenarnya ada tanda bayi cukup susu selepas menyusu yang boleh membantu ibu mengetahui sama ada bayi sudah kenyang.

Cuba perhatikan 9 tanda bayi cukup susu di bawah ini agar ibu boleh menyusu dengan hati yang senang.

9 Tanda-Tanda Bayi Kenyang Selepas Menyusu

1. Kenaikan Berat Badan Bayi

Biarpun berat badan bayi baru lahir mungkin turun sedikit beberapa hari selepas kelahiran, pastikan berat badan tersebut tidak turun lebih dari 10%.

Penurunan berat badan lebih dari 10% mungkin tanda si kecil tidak mendapat susu ibu yang cukup. Dapatkan bantuan doktor atau pakar laktasi ataupun ibu-ibu boleh memberi formula tambahan agar anak tidak kebuluran atau dehidrasi.

Tanda bayi cukup susu adalah kenaikan berat badan sebanyak 400 gram hingga 1 kg setiap bulan. 

2. Jumlah Lampin Kotor

Satu lagi tanda bayi cukup susu ialah jumlah air kencing yang dibuang setiap hari. Seorang bayi baru lahir harus menghasilkan sekurang-kurangnya 6 lampin basah sehari.

Walaubagaimanapun, guna cara ini bersama dengan cara lain untuk memastikan si kecil mendapat susu yang mencukupi kerana jumlah air kencing yang diserap ke dalam lampin tidak dapat diukur.

3. Jumlah dan Warna Najis Bayi

Bayi yang diberi susu ibu secara eksklusif akan mempunyai warna najis yang kuning cerah dan  cair. Warna najis bayi yang diberi formula pula akan kelihatan sedikit hijau kerana formula biasa diperkayakan dengan zat besi.

Tanda bayi cukup susu adalah sekurang-kurangnya 1 lampin kotor sehari. Jika bayi tidak membuang air besar dan kehilangan berat badan, in mungkin tanda jumlah susu yang didapati tidak mencukupi.

4. Perhati Gerakan Dagu Bayi

Satu cara lagi untuk menunjukkan tanda bayi cukup susu ialah untuk memerhati gerakan dagu bayi apabila mereka sedang menyusu.

Cuba lihat bahagian antara leher dengan dagu. Apabila bayi sedang menghisap, dagunya akan bergerak turun naik. Setelah beberapa kali turun naik, dagu bayi akan kelihatan turun lebih jauh ke bawah untuk beberapa saat sebelum kembali ke posisi asal.

Ini menunjukkan bayi anda sedang mendapatkan susu.

Gerakan naik turunnya dagu berlaku apabila si kecil sedang merangsangkan payudara dengan menghisap. Ketika dagu bayi anda turun ke bawah dan berhenti beberapa saat, ini menunjukkan susu ibu sedang mengisi mulutnya. Maka, jika dagu bayi hanya turun naik tanpa berhenti, ada kemungkinan bayi anda tidak mendapat susu ibu.

5.  Keluar Bunyi Ketika Mengisap Payudara

Tidak semua bayi akan mengeluarkan bunyi ketika menyusu.

Namun bunyi bayi menelan susu kadang-kadang jelas kedengaran misalnya bunyi, “he, he, he…”, “glug, glug, glug…” atau “slurp, slurp…..”. Lucu dan comel, bukan?

6. Tekan Payudara Ketika Bayi Menyusu

Apabila ingin memastikan anak sedang mendapatkan susu, ibu boleh cuba pula teknik ini sambil menyusu anak. Perah dan urut perlahan-lahan payudara ke arah puting.

Ini akan menyemburkan susu ibu ke dalam mulut dan mengganggu si kecil yang sedang menyusu Tindak balas dari si kecil adalah tanda bayi cukup susu.

Sebaliknya jika dia tidak menunjukkan sebarang tindak balas, ini bererti semburan susu ibu tidak berlaku!

7. Sisa Susu Ibu Di Sekitar Bibir Bayi

Walaupun tidak semua ibu mempunyai aliran susu ibu yang deras, kadang-kadang kita boleh  melihat sisa-sisa susu ibu pada sudut bibir bayi ketika ia sedang menyusu.

8. Payudara Lembut dan Kempis

Sebelum menyusu anak, payudara akan rasa penuh dan kembung. Payudara anda sepatutnya rasa lembut dan sedikit kempis selepas menyusukan anak.

Ini tanda bayi cukup susu dan si kecil anda sedang aktif menyusu. Tapi jika payudara anda masih rasa penuh, mungkin si kecil tidak mendapat susu yang banyak.

Si kecil akan menghadapi cabaran untuk mengeluarkan susu ibu jika payudara terlalu keras ataupun saluran payudara tersekat.

Ibu juga boleh mendapat petua tuam dan mengurut untuk melancarkan susu ibu di Komuniti Ibu Menyusu kami.

9. Bayi Kenyang Akan Tidur Lena

Ibu pernah tengok si kecil mabuk susu? Tidur sampai mulut pun ternganga selepas kenyang menyusu. Ini adalah tanda bayi cukup susu yang paling comel. Bayangkan telalu kenyang sehingga tidak dapat menahan tidur. Cute betul! Enjoylah rupa muka yang tidur nyenyak.

Ibu baik berehat juga kerana dalam 2-3 jam nanti si kecil dan menangis meminta susu lagi dan ini akan berterusan sehingga bayi itu berusia beberapa bulan.

Apa Yang Perlu Ibu Lakukan Jika Bayi Tidak Kenyang?

Jika anda mendapati bayi masih kelihatan lapar selepas sesi penyusuan, ada beberapa langkah yang boleh ibu cuba:

  • Pastikan posisi penyusuan betul – Kadangkala, posisi penyusuan yang salah boleh menyebabkan bayi tidak mendapat susu yang mencukupi.
  • Tambahkan masa penyusuan – Jika bayi berhenti menyusu terlalu awal, cuba lanjutkan masa menyusu sehingga dia benar-benar puas.
  • Berjumpa doktor atau pakar laktasi – Jika anda masih bimbang tentang jumlah susu yang bayi terima, berbincanglah dengan pakar laktasi untuk mendapatkan nasihat.

Sebagai ibu, penting untuk sentiasa peka terhadap tanda-tanda bayi anda kenyang selepas menyusu. Tanda-tanda seperti bayi melepaskan puting sendiri, kelihatan tenang serta peningkatan berat badan adalah antara isyarat yang boleh meyakinkan anda bahawa bayi sudah mendapat cukup susu.

Jadi, ibu tidak perlu lagi bimbang atau risau secara berlebihan. Bayi yang kenyang akan lebih tenang, tidur dengan nyenyak dan berkembang dengan baik.

Teruskan memberikan kasih sayang dan perhatian, serta nikmati setiap detik bersama si kecil!

Semoga artikel ini banyak membantu.

Sumber: theAsianparent Indonesia

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Penulis

Rosanna Chio