Seorang ibu menceritakan bagaimana dia menyesal apabila tidak mengendahkan gigitan serangga yang membawa punca anaknya dijangkiti kuman pemakan organ, baru-baru ini.
Jangkitan kuman pemakan organ itu cukup teruk, sehingga doktor mungkin terpaksa memotong kaki kanak-kanak ini!
Berikut kronologi cerita yang menyedihkan ini. Diharapkan lebih ramai ibu bapa di luar sana peka dengan tanda jangkitan kuman pada kanak-kanak.
Ibu Panik Apabila Anak Menunjukkan Tanda Jangkitan Kuman
Juliana Hisyam berkongsi kisahnya ini di Facebook, apabila anaknya Imraan Danish terkena jangkitan yang serius.
“Imraan Danish terkena jangkitan Streptococcus Jenis A. Ia sejenis kuman pemakan organ yang boleh merosakkan seluruh badan anak saya.
Doktor cakap Imraan mungkin tak berjaya diselamatkan. Dia ditahan dalam CICU selama 14 hari. Nasiblah anak saya selamat!”
Tidak cukup setakat itu sahaja, Imraan masih ditahan selama sebulan di hospital. Kaki kanannya teruk dijangkiti kuman, jadi doktor memerlukan masa untuk memantau.
Update terbaru dari Juliana mendedahkan, Imraan kini telah keluar dari hospital, tapi masih diberi ubat dan pemantauan. Walau bagaimanapun, tiada banyak yang berubah. Mereka masih mengharapkan doktor dapat menyelamatkan kaki kanan Imraan.
Menurut Juliana, semuanya bermula dari satu gigitan serangga. Dia syak anaknya menggaru luka gigitan itu, lalu membawa kepada jangkitan bakteria yang lebih teruk.
“Jangan jadi seperti saya. Saya sangka ia hanya gigitan biasa. Jika ada sebarang tanda seperti demam yang tinggi, ruam atau hilang selera makan pada anak, segeralah bawa dia berjumpa doktor.”
Post Juliana di Facebook boleh dibaca di sini.
Tanda Jangkitan Kuman: Apa Itu Kuman Pemakan Organ?
Necrotizing fasciitis, atau kuman pemakan organ, adalah kuman yang sangat jarang berlaku. Namun, ia cepat merebak di dalam badan dan mampu menyebabkan kematian.
Necrotizing fasciitis boleh menyebabkan sepsis, kejang, sawan, dan kegagalan fungsi organ. Ia juga boleh menyebabkan ketidakupayaan untuk menggunakan tisu badan yang telah terjangkit.
Menurut CDC, hampir 1 ke 3 orang dengan Necrotizing fasciitis maut selepas dijangkiti. Segera berjumpa doktor jika anda mengalami pening, rasa nak muntah selepas tercedera atau melalui pembedahan.
Apa Yang Menyebabkan Necrotizing Fasciitis?
Ada banyak sebab kenapa Necrotizing fasciitis boleh terjadi. Tapi salah satu daripadanya ialah Streptococcus kumpulan A. Ia merebak ke kulit melalui:
- Luka calar
- Luka melecur
- Gigitan serangga
- Luka disuntik
- Luka pembedahan
Individu yang menghidap kencing manis, kegagalan buah pinggang, kanser dan lain-lain lebih terbuka untuk kena Necrotizing fasciitis.
Tanda Jangkitan Kuman Necrotizing Fasciitis
Tanda awal jangkitan kuman Necrotizing fasciitis:
- Kawasan merah atau bengkak di kaki semakin merebak
- Sakit di beberapa kawasan, termasuk sakit di kawasan kulit yang merah dan bengkak
- Demam
Segera jumpa doktor jika anda atau anak-anak mengalami tanda jangkitan kuman ini.
Tanda jangkitan kuman Necrotizing fasciitis selepas beberapa ketika:
- Ulser, lepuh, atau tompok hitam di kulit
- Perubahan warna kulit
- Keluar nanah di kawasan luka
- Pening
- Cepat penat
- Rasa nak muntah
Cara Mencegah Jangkitan Kuman Pada Kulit
Setelah anda menyemak tanda jangkitan kuman pemakan organ ini, pasti anda mahu tahu apa cara-cara mencegahnya, bukan?
Ha… di sini ada beberapa cara. Tapi yang paling penting: Sebarang luka harus dijaga dengan rapi untuk mengelak jangkitan kuman pada kulit. Maka, anda haruslah:
- Basuh luka atau cara dengan sabun dan air
- Basuh dan tutup luka yang terbuka dengan bandage kering, hinggalah luka sembuh
- Jumpa doktor jika luka terlampau dalam atau serius
- Basuh tangan dengan sabun sekerap mungkin
Jika anda ada luka yang terbuka atau jangkitan kulit, elak berada di:
- Hot tubs
- Kolam renang
- Tasik, sungai, laut
Semoga perkongsian ini berguna buat anda! Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus ke Facebook page kami.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: