Segalanya bermula di bulan Disember 2022 apabila si adik, Nurzulaikha Damia kerap mengalami demam yang berlarutan, tanpa menyedari ia sebenarnya tanda leukemia pada anak sebelum disahkan menghidap kanser leukemia jenis pre B-ALL atau Limfoblastik Akut (ALL).
Tidak habis di situ, kakak kembarnya, Norzalikha Damia pula mengalami nasib yang sama pada Mei lalu.
Menurut perkongsian bapa pasangan kembar, Mohamed Faris Idris di Tiktok miliknya, hati ibu bapa mana yang tidak terkesan apabila melihat anak yang dahulunya sihat dan aktif bermain, kini terpaksa menerima rawatan kemoterapi di Hospital Sultan Ismail, Johor.
Letih dan sakit sendi, antara tanda leukemia pada anak
Menurut Mohamed Faris Idris, anaknya mengadu mengalami sakit sendi pada seluruh badan dan tidak bermaya kerana demam yang berpanjangan dan bertambah teruk kerana kurang sel darah merah dalam badan.
“Masa tu, dia asyik nak baring je sebab sakit kaki kalau berjalan. Jadi, kami pun bawa pergi jumpa doktor. Doktor cakap mungkin kena denggi disebabkan ada virus dalam darah. Tapi bila masukkan antibiotik tak berkesan. Kandungan darah putih pun tinggi”.
Namun selepas pemeriksaan lanjut dijalankan, doktor mengesahkan anaknya menghidap kanser darah selepas sel kanser dikesan di dalam sampel darah.
Bagaimanapun, pasangan itu mengakui terkilan apabila si kakak pula menghidap kanser yang sama, namun dalam masa yang sama dia tetap bersyukur diberi peluang untuk menjaga kedua-dua anaknya yang sakit.
“Dulu memang terkejut dan sedih sangat-sangat lepas dapat tahu. Agak sukar terima kenyataan, lagi sakit apabila melibatkan nyawa dua orang anak.” “Tak sangka pula kedua-dua kembar kena kanser yang sama. Setakat ini doktor masih dalam kajian dan belum tahu punca leukemia jenis ini menyerang kanak-kanak.” “Sekarang, saya lega bila nampak anak dah mula berjalan semula walaupun tempang sedikit berikutan rawatan kemoterapi dan pengambilan minuman susu Pedisure sebagai makanan tambahan.”
Menurut doktor, ada kemungkinan kanser ini terjadi sejak dalam perut ibu lagi disebabkan pasangan kembar berkongsi kantung dan uri yang sama. Risiko nak dapat penyakit sama memang tinggi.
Simptom anak leukemia yang ibu ayah perlu tahu
Kadangkala ramai ibu bapa yang terlepas pandang akan tanda leukemia pada anak. Kalau ada tanda-tanda ini, cepat-cepatlah bawa berjumpa dengan doktor. Rawatan awal adalah lebih baik sebelum bertambah parah.
Antara tanda leukemia yang ibu ayah perlu perhatikan pada anak-anak ialah:
- Anak kurang selera makan, berat badan susut dan demam yang kronik yang menyebabkan kesan terhadap metabolisma badan.
- Kerap rasa letih dan lesu, mudah tercungap-cungap, jantung berdebar-debar, pening kepala dan kelihatan pucat.
- Mudah lebam dan gusi senang berdarah.
- Kerap sakit dan mendapat jangkitan kerana sistem imun badan yang lemah.
- Ada benjolan atau kelenjar membengkak di bahagian leher, sekitar tulang selangka, celah kelangkang dan ketiak.
- Sakit sendi dan tulang
- Organ seperti hati dan limpa membesar yang menyebabkan rasa tidak selesa pada abdomen anak.
mStar
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Hati-Hati Ini 15 Tanda Kanser Pada Kanak-Kanak Yang Sering Diabaikan
Baca juga: Perkongsian ibu ini menyelamatkan nyawa anak orang lain dengan kanser mata!
Baca juga: 7 Tanda Anak PERLU Jumpa Doktor, Ramai Parent Abaikan Tanda-Tanda Kecil Ini!