Ada sesetengah lelaki ini, perangainya lain macam sedikit. Mereka sukar untuk diduga atau difahami. Nak mengucapkan kata sayang itu susah sangat!
Ini membuatkan isteri selalu tertanya-tanya dan tercari-cari, apa agaknya tanda suami sayang akan dirinya.
Apabila suami jarang meluahkan rasa cintanya itu, mulalah isteri pun akan cepat terasa, berkecil hati, dan merajuk. Namun sebenarnya, lelaki susah nak ucap kata cinta sebab mereka menunjukkan rasa sayang dan cinta dari bahasa tubuh.
Sebab itu kalau anda nak tahu tanda suami sayang akan anda atau tidak, cuba anda tengok 7 bahasa badannya ini.
Kalau ada tanda-tanda ini pada suami anda, maksudnya dia amat menyayangi anda lah tu. Tapi kalau tiada… mmm, faham-faham sendirilah!
7 tanda suami sayang – semuanya dari bahasa tubuh
#1 Beli barang keperluan rumah untuk isteri
Selalu tak anda pesan macam-macam dekat suami sebelum dia balik ke rumah? Kita wanita ini cepat terlupa.
Apabila terlupa, kita pun cepat-cepat whatsapp suami minta belikan keperluan rumah yang diperlukan.
Tapi kalau anda tertanya-tanya apa kaitan antara beli barang rumah dengan tanda suami sayang…. ha, anda mesti tak percaya jawapan ini!
Sebenarnya, lelaki tidak suka aktiviti membeli-belah. Tapi jika dia tidak kisah, senang hati malah tidak pernah merungut untuk ke pasaraya demi anda, itulah tanda suami sayang anda sangat! Bertuah tau.
#2 Minta pendapat dan nasihat isteri
Suami yang meminta pendapat dan nasihat isteri ialah suami yang amat berbangga, percaya dan kasih akan isterinya.
Suami jenis ini menganggap tiada apa yang salah jika dia meminta bantuan anda. Malah, dia juga amat menghormati dan benar-benar menghargai segala pendapat dan nasihat kita.
Lelaki ini lain sedikit dari wanita. Kalau kita terima pendapat mereka (seperti baju apa yang buat kita tak nampak gemuk), kita tak ikut pun pendapat mereka itu.
Tapi bagi suami, pendapat dan nasihat anda amat bernilai untuk mereka. Itulah salah satu tanda suami sayang anda!
#3 Ikhlas membelikan sesuatu
Isteri ini sebenarnya lebih memahami. Kita tidak akan meminta-minta jika kita tahu suami kita terdesak atau tidak mampu.
Namun, sebarang bentuk hadiah, pujian mahupun layanan dan pandangan yang penuh kasih sayang juga amat dihargai oleh isteri.
Apabila suami anda meluangkan masa untuk membeli sesuatu pada anda, tanpa mengungkitnya semula, percayalah, itu tanda suami sayang anda sangat.
Anda sentiasa ada di fikirannya. Lebih-lebih lagi kalau hadiah yang dibeli itu ialah hadiah kesukaan anda!
Kadang-kadang, kata-kata sayang ini tak terlafaz dek kata-kata. Cuba anda renung mata suami. Anda akan dapat jawapannya di situ.
#4 Rajin membantu isteri
Walaupun suami itu penat baru pulang dari kerja, tapi mereka juga boleh membantu anda mengemas rumah, menjaga anak dan membantu anda memasak.
Memang perkara ini nampak macam sinonim dengan tanggungjawab isteri. Tapi tiada salahnya jika suami membantu isteri tanpa dipinta.
Walaupun kurang dengar ayat manis dari suami, tapi tolong meringankan beban isteri itupun sudah cukup bagus!
#5 Sanggup mendengar segala celoteh anda
Mengaku sajalah, kita wanita ini, ada saja benda kita nak komen dan luahkan. Ada saja yang tidak kena di mata kita.
Tapi kalau anda dapat seorang suami yang sanggup mendengar segala (segala-galanya ya!) celoteh, bebelan dan keluhan anda, berulang-ulang kali tanpa bosan, itulah tanda suami sayang anda sangat!
#6 Tidak malu berpegangan tangan
Kalau masa sebelum kahwin dulu, suami mungkin sedikit malu nak menunjukkan kemesraan. Tapi bagaimana selepas kahwin ini?
Jika anda nak tahu, suami yang tidak malu menyorokkan kemesraan *tapi kena berpada-pada ya* ialah suami yang amat menyayangi anda.
Contohnya seperti dia sanggup memegang tangan anda, memimpin anda melintas jalan dan melakukan perkara lain yang mampu menunjukkan rasa hatinya.
Aww, sweet sangat kan! Setiap kali suami pimpin tangan, rasa nak luruh jantung ini terharu!
#7 Selalu melemparkan senyuman manis
Ingat lagi tak senyuman manis yang suami ukirkan pada anda awal-awal bercinta dulu? Kalau sampai sekarang suami tidak lokek dengan senyuman, itulah tanda suami sayang anda!
Sebenarnya, senyuman itu boleh bawa impak besar pada hidup seorang isteri. Sama seperti berpegangan tangan. Luruh jantung terharu bila lihat suami tersenyum!
Walau apapun 7 tanda suami sayang isteri ini, janganlah anda mengandaikan suami anda itu tidak menyayangi anda dengan sepenuh hati hanya kerana mereka tidak menunjukkan tanda-tanda ini.
Setiap suami berbeza dan cara mereka melafazkan rasa cinta mereka juga berbeza. Tapi kalau tiada langsung sifat suami dalam 7 tanda suami sayang isteri ini, ehem, faham-fahamlah ye?
Jom tag suami tengok kalau-kalau mereka boleh buat 7 perbuatan ini selepas ini 😛
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comtanda-suami-tidak-sayang-isteri/