Tanda Tanda Depression, Ujian Saringan & Cara Berkesan Mengatasinya
Tanda tanda depression dapat dilihat melalui perubahan ketara seperti rasa sedih yang berpanjangan, keletihan melampau dan tidur berlebihan.
Pernahkah anda merasakan dunia seakan gelap, semuanya serba tak kena dan semangat makin hilang hari demi hari? Kadang-kadang, kita tak sedar itu mungkin lebih dari sekadar keletihan atau tekanan biasa yang mungkin tanda-tanda depression. Ia sering datang secara perlahan tanpa kita sedari.
Penting untuk mengenalinya lebih awal agar anda tidak terus terperangkap dalam kegelapan tanpa bantuan.
Isi Kandungan
Apa Itu Kemurungan?
Kemurungan bukan sekadar rasa sedih biasa. Ia adalah penyakit mental yang menyebabkan:
- Perasaan sedih atau putus asa berterusan.
- Hilang minat atau keseronokan dalam aktiviti harian.
- Cepat letih, sukar tidur atau terlalu banyak tidur.
- Perubahan berat badan yang ketara.
- Pemikiran untuk mencederakan diri atau bunuh diri.
Kemurungan juga boleh menjejaskan hubungan sosial, prestasi kerja dan kualiti hidup seseorang jika tidak dirawat dengan segera.
Punca Depression
Kemurungan sering kali berpunca daripada gabungan beberapa faktor. Antara punca yang boleh menyumbang kepada masalah ini termasuk:
1. Perubahan Kimia Dalam Otak
Ketidakseimbangan bahan kimia otak seperti serotonin dan norepinephrine boleh mempengaruhi mood seseorang menjadikannya lebih mudah terdedah kepada kemurungan.
2. Faktor Genetik
Individu yang mempunyai sejarah keluarga dengan masalah kemurungan mungkin mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalaminya.
3. Trauma Atau Kekurangan Sokongan Sosial
Kehilangan orang tersayang, penceraian, atau masalah kewangan tanpa sokongan emosi boleh mencetuskan kemurungan.
4. Pengaruh Ubat-Ubatan
Sesetengah ubat, seperti ubat darah tinggi, boleh menyebabkan simptom kemurungan yang biasanya hilang selepas ubat dihentikan.
5. Penyakit Fizikal
Masalah kesihatan seperti gangguan fungsi tiroid (hypothyroidism), penyakit kronik atau keadaan kesihatan lain boleh meningkatkan risiko kemurungan.
6. Corak Pemikiran Negatif
Cara seseorang melihat dirinya, persekitaran dan kehidupannya secara keseluruhan boleh mempengaruhi kesihatan mental.
Individu yang sering berfikiran negatif atau pesimis lebih cenderung mengalami kemurungan.
7. Penyalahgunaan Bahan Terlarang
Ketagihan terhadap alkohol atau dadah bukan sahaja boleh menyebabkan kemurungan tetapi juga memburukkan lagi simptomnya.
8. Kehilangan Orang Tersayang
Kematian atau perpisahan dengan individu penting dalam kehidupan boleh mencetuskan episod kemurungan yang serius.
Perubahan Hormonal Selepas Melahirkan Anak
Wanita yang baru melahirkan anak mungkin mengalami postpartum depression iaitu kemurungan yang berlaku akibat perubahan hormon selepas bersalin.
Tanda Depression Dan Gejala Kemurungan Yang Anda Perlu Tahu
Antara tanda-tanda kemurungan yang perlu diperhatikan:
- Rasa sedih atau kekosongan berpanjangan.
- Kehilangan minat terhadap perkara yang sebelum ini menggembirakan.
- Kesukaran memberi tumpuan atau membuat keputusan.
- Gangguan tidur, sama ada insomnia atau tidur berlebihan.
- Fikiran untuk mencederakan diri atau bunuh diri.
- Kehilangan tenaga dan rasa letih melampau.
- Rsa putus asa atau tidak berharga
- Rasa bersalah yang berlebihan.
- Hilang selera makan dan berat badan turun mendadak.
- Sakit kepala, gangguan pencernaan
Ujian MyMinda
Bermula 22 Oktober 2023, aplikasi MySejahtera telah menambah modul baharu iaitu MyMinda, yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan saringan kesihatan mental.
1. Fungsi Utama MyMinda
- Saringan kesihatan mental menggunakan instrumen PHQ9 & GAD7.
- Memberikan maklumat psiko-pendidikan dan akses kepada talian bantuan psikososial.
2. Proses Saringan
- Saringan boleh dilakukan secara kendiri dengan mudah melalui aplikasi.
- Hasil saringan akan dihantar ke Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (KKM) untuk tindakan susulan oleh kaunselor terlatih.
Cara Mengatasi Kemurungan
Meskipun kemurungan boleh kelihatan seperti masalah yang tidak berpenghujung, terdapat pelbagai cara untuk menanganinya:
-
Rawatan Perubatan
Mengambil ubat-ubatan seperti anti-depressant mengikut nasihat doktor sangat penting. Lebih daripada 80% pesakit menunjukkan pemulihan positif dengan rawatan yang konsisten. -
Psikoterapi dan Kaunseling
Terapi seperti Cognitive Behavioral Therapy (CBT) boleh membantu anda mengubah corak pemikiran negatif dan memperbaiki cara menghadapi tekanan. -
Amalan Gaya Hidup Sihat
Aktiviti fizikal seperti bersenam, pemakanan seimbang dan tidur yang mencukupi adalah asas penting untuk kesihatan mental yang lebih baik. -
Aktiviti Sosial atau Keagamaan
Sertai kumpulan sokongan, program komuniti atau kegiatan keagamaan untuk mendapatkan rasa kebersamaan dan sokongan emosi. -
Pengurusan Rutin Harian
Atur jadual harian dengan memberi fokus kepada perkara yang penting. Ini dapat membantu mengurangkan tekanan dan memberikan rasa kawalan dalam hidup.
Kemurungan bukan tanda kelemahan. Jika anda atau seseorang yang dikenali sedang menghadapinya, jangan segan untuk mendapatkan sokongan.
Rawatan dan sokongan yang betul mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bahaya Kalau Anak Selalu Bad Mood, Mungkin Tanda Anak Stres, Ibu Ayah Kena Pantau SEGERA!
Baca juga: Penyebab Baby Blues Selepas Bersalin Buatkan Ibu Kurang Happy & Stres Ada Anak
Baca juga: Apa Itu Murung Dalam Senyum? Tanda-Tanda Kemurungan Orang Sering Abaikan