Pasti ada yang tertanya-tanya, apakah tanda-tanda kehamilan yang boleh dikenalpasti sekiranya merasakan diri sedang hamil? Kali ini kami kongsikan pada anda, ini yang mungkin anda rasakan pada peringkat awal kehamilan.
Tanda – tanda kehamilan
Bagi pasangan yang bakal bergelar ibu ayah buat kali pertama, adalah normal sekiranya anda dilanda kekeliruan dalam menentukan tanda-tanda kehamilan. Kebanyakannya diketahui apabila menggunakan alat penguji kehamilan dan naik garisan berganda.
Bagi wanita yang datang haid lewat, anda mungkin sudah dapat mengesyaki atau berharap diri mengandung. Biasanya minggu pertama kehamilan dan tarikh jangkaan bersalin dikira berdasarkan tarikh haid anda yang terakhir1.
Bagaimana cara membuat anak
Membuat keputusan untuk memiliki cahaya mata adalah sesuatu yang mengujakan. Ada pasangan dikurniakan dengan rezeki awal dan ada juga perlu menunggu sehingga bertahun lamanya.
Justeru adalah penting untuk anda mengetahui bagaimana cara membuat anak dengan tepat bagi memudahkan proses kehamilan berlaku.
#1. Beri perhatian pada waktu subur
Anda perlu tahu bahawa sperma mampu bertahan sehingga lima hari di dalam lendir serviks, sedangkan sel telur hanya bertahan 24 sahaja setelah ovulasi. Perkara inilah yang membuatkan sebahagian besar kehamilan terjadi pada pasangan yang melakukan hubungan seks dua hari sebelum ovulasi.
Untuk menjayakan proses persenyawaan, anda dan pasangan hendaklah merancang untuk bersama ketika waktu subur. Jika haid teratur, anda boleh menggunakan kalkulator ovulasi.
#2. Kekerapan melakukan hubungan intim
Sebenarnya tiada jumlah yang khusus untuk melakukan seks dalam seminggu kerana ia bergantung kepada kemampuan diri masing-masing. Namun pakar menyarankan pasangan yang sudah berkahwin berhubungan intim paling kurang 2 hingga 3 kali dalam seminggu.
#3. Memilih posisi bersetubuh yang tepat
Cara membuat anak yang seterusnya ialah memilih posisi seks yang terbaik. Sememangnya ada banyak pilihan yang boleh anda dan pasangan lakukan, namun untuk meningkatkan peluang hamil, gaya missionary sudah mencukupi kerana ia membantu sperma berenang dengan cepat menuju ke sel telur setelah ejakulasi.
Sebaiknya selepas melakukan hubungan intim, isteri hendaklah berbaring selama 10 hingga 15 minit dan tidak terburu-buru untuk buang air kecil2.
Selepas bersetubuh, berapa lama boleh hamil
Sebaik sahaja anda dan pasangan berusaha untuk mendapatkan anak, kebanyakannya menjangkakan mereka dapat segera sebaik sahaja melakukan hubungan seks. Realitinya ia memerlukan masa selama setahun untuk pasangan berusia di bawah 35 tahun yang ingin hamil.
Satu kajian mendapati bahawa 1,400 wanita telah merancang kehamilan mereka, namun sebanyak 44 peratus daripadanya memerlukan masa lebih lama daripada yang dijangkakan.
Lewat mengandung sering dikaitkan oleh hubungan seks yang salah, faktor usia serta masalah kesihatan. Bagi anda yang berusaha memiliki anak, adalah sangat penting mengetahui bilakah waktu subur agar proses persenyawaan dapat berlaku3.
Kehamilan tidak semestinya bermula pada hari anda bersama dengan pasangan. Ia mungkin mengambil masa sehingga 6 hari selepas hubungan seks untuk membolehkan sperma bergabung dengan telur.
Kemudian, diperlukan tiga hingga empat hari bagi proses persenyawaan dan penempelan pada lapisan rahim. Kehamilan bermula semasa implantasi, apabila hormon yang diperlukan untuk kehamilan dilepaskan oleh tubuh badan.
Tanda awal kehamilan bagi haid tidak teratur
Kredit: alodokter
Haid yang tidak teratur boleh menyebabkan kesukaran untuk anda mengetahui sama ada diri hamil ataupun tidak. Bukan itu sahaja, ia boleh menjadi lebih sukar untuk meramalkan waktu subur (telur matang dilepaskan dari ovari) atau menentukan tarikh terbaik bagi menjalani ujian kehamilan4.
Walau bagaimanapun jangan risau kerana terdapat tanda-tanda kehamilan untuk menentukan kemungkinan besar menunjukkan anda kini sudah berbadan dua. Antaranya:
#1. Pendarahan implantasi
Tompokan atau pendarahan ringan 6 hingga 12 hari selepas haid terakhir dapat menunjukkan telur disenyawakan dan menempel pada dinding rahim. Sesetengah wanita mungkin rasa kekejangan perut, seolah-olah mengalami haid.
Penghasilan darah yang sedikit ini sering disalah anggap sebagai haid ringan, terutama bagi anda yang mengalami masalah haid tidak teratur.
#2. Mudah berasa letih
Ketika badan menyesuaikan diri dengan kehamilan, wanita biasanya mula berasa letih dan tidak bermaya. Ini boleh berlaku pada awal minggu persenyawaan. Keletihan ini disebabkan oleh peningkatan hormon progesteron dan turut membuatkan anda mudah mengantuk.
Jika ada peluang untuk anda mengandung, elakkan pengambilan kafein berlebihan kerana ia boleh menyebabkan keguguran.
#3. Rasa sakit kepala, sakit belakang dan kerap membuang air kecil
Rasa sakit ini terjadi disebabkan oleh gabungan hormon kehamilan, jumlah darah yang lebih banyak dan fungsi buah pinggang. Elakkan pengambilan ubat tahan sakit tanpa mendapatkan nasihat doktor.
Pertimbangkan dengan rawatan di rumah seperti mandi air suam, guna pad pemanas, dapatkan urutan badan dan sebagainya
#4. Mual dan loya
Morning sickness biasanya berlaku kira-kira 2 hingga 8 minggu selepas proses persenyawaan. Jika anda mula berasa loya, inilah masanya untuk melakukan ujian kehamilan di rumah.
Rasa mual dan loya boleh menghilangkan selera makan anda. Selain itu deria bau menjadi lebih peka daripada biasa.
#5. Terlalu mengidam terhadap sesuatu makanan
Walaupun pada awal kehamilan, hormon boleh mengubah keinginan anda terhadap sesuatu makanan, malah makanan pelik yang tidak pernah anda mahukan sebelum ini.
Adalah normal jika kegemaran anda dahulu boleh menyebabkan rasa loya. Banyak wanita mengatakan mereka berasa kurang selesa dengan bau kopi meskipun seorang penggemar kopi sebelum kehamilan.
Jika anda menyedari berlaku perubahan selera, ia mungkin adalah tanda-tanda kehamilan.
Kenapa bayi mengeras dalam kandungan
Perut mengeras boleh terjadi ketika awal trimester pertama iaitu sewaktu janin sedang berkembang di dalam rahim. Semasa usia kehamilan meningkat, keadaan ini boleh menjadi tanda kemungkinan berlaku keguguran pada minggu-minggu awal, kelahiran pramatang atau bakal bersalin.
Berikut adalah sebab mengapa bayi mengeras dalam kandungan mengikut peringkat kehamilan anda:
#1. Trimester pertama
Ketika trimester pertama, perut anda mungkin terasa sesak kerana rahim meregang dan membesar bagi menampung peningkatan saiz janin. Rasa sensasi lain yang mungkin anda alami ialah rasa sakit bahagian perut semasa otot meregang.
Perut mengeras dan menyakitkan boleh menjadi tanda keguguran. Biasanya ia terjadi sebelum minggu ke-20, walaupun paling biasa sebelum minggu ke-125.
#2. Trimester kedua
Semasa proses penyesuaian diri dengan kehamilan, anda mungkin mengalami rasa tidak selesa atau perut mengeras. Ia boleh berlaku dari kawasan perut atau pinggul sehingga ke pangkal paha.
Kesakitan pada ligamen ini dianggap masalah normal bagi kebanyakan ibu mengandung. Selain itu anda mungkin mengalami kontraksi Braxton-Hicks seawal bulan keempat kehamilan.
Semasa latihan kontraksi ini, perut anda mungkin mengeras dan tidak selesa. Ia biasanya tidak begitu sakit seperti sakit bersalin. Jika bayi kerap mengeras dalam kandungan, pastikan anda minum banyak air kosong. Anda juga dinasihatkan untuk segera berjumpa doktor sekiranya sakit kontraksi berlaku dengan begitu kerap.
#3. Trimester ketiga
Bayi mengeras dalam kandungan semasa trimester ketiga boleh menjadi salah satu tanda bersalin. Sakit kontraksi yang sebenar bermula ringan dan kemudian bertambah kuat dari masa ke masa.
Kontraksi Braxton-Hicks atau dipanggil sebagai kontraksi palsu lebih kerap berlaku pada trimester ketiga kehamilan. Bagi ibu kali pertama, anda mungkin dilanda rasa keliru bagi menentukan adakah ia tanda bersalin yang betul atau palsu.
Segera ke hospital sekiranya anda hamil kurang dari 36 minggu dan mempunyai tanda-tanda bersalin awal seperti:
- Keluar darah
- Pecah air ketuban
- Tekanan kuat pada pelvis atau faraj
Bagi mengatasi bayi mengeras dalam kandungan dengan kerap, ibu juga boleh melakukan beberapa perkara berikut:
- Minum air kosong mencukupi
- Gerakkan badan untuk mengubah kedudukan dan membantu mengendurkan perut anda
- Elakkan bangun terlalu cepat dari tempat tidur
- Dapatkan urutan kehamilan
Kenapa ibu jari kaki kebas
Sindrom kebas boleh terjadi pada bahagian kaki atau tangan semasa proses kehamilan. Ia tidaklah menyakitkan, namun mendatangkan rasa kurang selesa ketika melakukan tugasan harian di rumah ataupun pejabat.
Lebih merisaukan keadaan ini boleh menyebabkan ibu hamil sukar menggerakkan jari kaki atau menggenggam tangan.
Menurut Perunding Fertiliti dan Sakit Puan, Dr Salini Suhaila Nasir, tidak semua ibu mengandung mengalami ibu jari atau bahagian tangan kebas. Anggarannya berbeza antara 20 hingga 60 peratus6.
‘’Apabila usia kehamilan meningkat, wanita cenderung mengalami bengkak seluruh pergelangan kaki, tapak kaki dan tangan. Sindrom ini lebih kerap berlaku dalam trimester kedua dan ketiga.’’
Tekanan pada saraf yang membengkak boleh menjadi penyebab rasa kebas dan mencucuk. Selain itu ia terjadi kerana penimbunan cairan tubuh yang berlebihan.
Keadaan boleh menjadi teruk jika ibu hamil mengambil makanan yang tinggi dengan kandungan garam. Unsur garam dalam makanan boleh menahan air di dalam tubuh dengan lebih banyak.
Sebab yang lain adalah ketika bangun dari tidur. Posisi tidur tidak betul boleh menyebabkan berlakunya tekanan pada bahagian kaki atau lengan.
Tanda keguguran awal kehamilan
Keguguran adalah kehilangan kandungan sebelum minggu ke-20 kehamilan. Biasanya ia terjadi secara spontan ketika ibu sedar ataupun tidak sedar diri sedang mengandung.
Sebanyak 50 peratus dari kes kehamilan berakhir dengan keguguran. Paling banyak berlaku sebelum seorang wanita datang haid lewat atau mengetahui bahawa mereka hamil. Kira-kira 15 hingga 25 peratus kehamilan diakui berakhir dengan keguguran7.
Antara tanda-tanda keguguran awal kehamilan ialah:
- Pendarahan yang berlaku dari ringan kepada berat
- Kekejangan perut yang teruk
- Sakit perut
- Badan lemah
- Sakit belakang
- Kehilangan berat badan
- Keluar lendir putih atau merah jambu
- Sakit kontraksi
- Tisu kelihatan seperti darah beku keluar dari faraj
- Tanda kehamilan semakin berkurang
Perbezaan tanda kehamilan dengan tanda akan menstruasi
Tanda-tanda kehamilan bakal ibu boleh dikelirukan kan dengan simptom atau tanda menstruasi seperti sakit kepala, perubahan mood, sakit pinggang dan sebagainya.
Walaupun sukar, ada beberapa perbezaan antara tanda kehamilan dengan tanda akan menstruasi8:
#1. Sakit pada bahagian payudara
Rasa sakit payudara boleh terjadi sebelum datang haid dan mula berkurang selama menstruasi.
Sementara itu, sakit payudara disebabkan oleh kehamilan biasanya akan berlanjutan sepanjang kehamilan. Anda mungkin rasa lebih payudara lebih sensitif, tegang dan lebih berat.
#2. Perubahan emosi
Menjelang datang haid, kebanyakan wanita mengalami perubahan emosi seperti mudah menangis dan lebih sensitif. Ini disebabkan oleh hormon dalam tubuh mengalami perubahan.
Namun perubahan emosi disebabkan oleh kehamilan boleh berterusan sehinggalah anda selamat melahirkan bayi.
#3. Kekejangan perut
Kekejangan perut boleh terjadi 1 hingga 2 hari sebelum menstruasi bermula. Rasa kekejangan ini sangat berat sehingga anda tidak dapat melakukan apa-apa.
Sementara itu kekejangan perut pada awal kehamilan biasanya terjadi kerana proses implantasi. Rasa nyerinya ringan dan boleh hilang dengan cepat.
#4. Peningkatan nafsu makan dan kerap mengidam
Perbezaan tanda-tanda kehamilan dan menstruasi boleh dilihat dengan jelas melalui peningkatan dalam selera makan. Ketika datang haid, anda cenderung menginginkan makanan mengandungi karbohidrat serta tinggi gula atau garam.
Bezanya mengidam ketika hamil, makanan adalah sangat spesifik. Bahkan anda mungkin menolak makanan lain yang tidak diidamkan kerana rasa mual apabila terhidu baunya.
Keputihan tanda kehamilan
Kredit: klikdokter
Kehamilan menyebabkan perubahan keputihan9, yang boleh jadi berbeza dalam warna dan teksturnya. Peningkatan jumlah keputihan selalunya merupakan salah satu tanda awal kehamilan.
Beberapa perubahan warna juga normal, tetapi ada juga yang mungkin menandakan jangkitan dan sebagainya.
Warna keputihan yang mungkin muncul adalah:
#1. Putih jernih, sedikit putih susu
Keputihan yang sihat, juga disebut leukorea, nipis dan jernih atau putih dan hanya berbau ringan. Jumlahnya keputihan yang keluar akan meningkat sepanjang kehamilan untuk mengurangkan risiko jangkitan faraj dan rahim.
#2. Putih susu dan likat
Warna ini menunjukkan keputihan yang normal dan sihat, terutama jika baunya ringan. Walau bagaimanapun, sebarang perubahan dalam kuantiti tanda masalah. Seorang wanita yang sedang hamil mesti berjumpa doktor sekiranya mendapati keputihan pekat ini semakin banyak secara berterusan. Perubahan ini berisiko menyebabkan kelahiran pramatang.
#3. Hijau atau kuning
Keputihan hijau atau kuning tidak sihat dan menunjukkan jangkitan kelamin (STI), seperti klamidia atau trichomoniasis. Gejala lain yang mungkin berlaku adalah kemerahan atau kerengsaan pada alat kelamin. STI kadang-kadang tidak menyebabkan gejala.
#4. Kelabu
Keputihan kelabu mungkin menunjukkan jangkitan vagina yang disebut vaginosis bakteria (BV), terutama jika ia juga mempunyai bau hamis yang menjadi lebih kuat setelah hubungan seksual.
#5. Coklat
Keputihan yang berwarna coklat adalah disebabkan penempelan telur pada rahim yang mungkin menunjukkan gejala awal kehamilan. Walau bagaimanapun, wanita hamil yang mengalami keputihan berwarna coklat perlu berjumpa doktor sekiranya ia keluar semakin banyak.
#6. Merah jambu
Keputihan berwana merah jambu semasa kehamilan mungkin menunjukkan tanda tidak normal. Ia sering berlaku semasa kehamilan awal atau pada minggu-minggu terakhir ketika badan bersiap untuk bersalin. Ia juga boleh berlaku sebelum keguguran atau semasa kehamilan ektopik. Jadi sekiranya masih belum tiba masanya untuk anda bersalin, segera berjumpa doktor jika keputihan anda berwarna merah jambu.
#7. Merah
Keputihan berwarna merah semasa kehamilan memerlukan perhatian segera daripada doktor, terutamanya jika pendarahannya berat, mengandungi gumpalan, atau terjadi bersekali dengan kekejangan dan sakit perut.Gejala ini menunjukkan keguguran atau kehamilan ektopik.
Hamil 4 minggu apa yang dirasakan
Ini adalah peringkat awal kehamilan. Ibu biasanya akan merasa getaran kecil di perut yang tidak menyebabkan kesakitan. Ada wanita juga yang sudah mengalami morning sickness pada ketika ini. Kadang kala air liur juga akan jadi banyak dan anda akan rasa loya dan ingin muntah.
Hamil 5 minggu apa yang dirasakan
Antara perkara yang mungkin dialami oleh wanita yang hamil 5 minggu10 adalah mereka akan rasa mual di pagi hari selain sakit kepala yang berpanjangan. Ada juga yang sering buang air kecil selain deria bau juga semakin peka.
Jangan pelik ketika ini deria bau anda akan dapat menghidu bau yang selama ini anda tidak kisah pun. Anda juga mungkin akan terasa mudah penat. Payudara juga akan semakin membengkak dan terasa penuh atau tegang.
Hamil 9 minggu apa yang dirasakan
Ketika ini perut anda akan semakin nampak ia membesar walaupun tidak terlalu kelihatan. Anda mungkin akan mula rasa seakan-akan perut penuh atau perut sebu (bloated). Ia adalah perkara biasa dialami ibu mengandung terutama sekiranya anda lambat makan.
Ketika ini, ada yang mengalami mual lebih teruk.
Hamil 16 minggu apa yang dirasakan
Perut anda akan kelihatan lebih besar pada ketika ini. Ada yang morning sickness sudah beransur pulih dan selera untuk makan sudah kembali terbuka.
Ada juga yang masih mual atau muntah-muntah tetapi sudah kurang kekerapannya. Pada ketika ini anda akan mula rasakan tendangan kecil.
Bila boleh rasa pergerakan bayi
Anda mungkin mula merasakan bayi anda bergerak, seperti ‘benda laju’ dalam perut sekitar 18 minggu kehamilan anda. Sekiranya ini adalah kehamilan pertama anda, ini mungkin tidak akan berlaku sehingga lebih kurang 20 minggu. Namun, pada kehamilan kedua, anda mungkin akan melihat tanda-tanda kisah awal seawal 16 minggu.
Bila period selepas bersalin
Tempoh untuk anda kembali haid selepas bersalin biasanya sekitar enam hingga lapan minggu selepas anda melahirkan, jika anda tidak menyusu. Sekiranya anda menyusu, masa untuk kembali boleh berbeza-beza. Mereka yang mengamalkan penyusuan susu ibu secara eksklusif mungkin akan mengalami tempoh lebih panjang tanpa haid.
Berapa lama benang jahitan bersalin akan tanggal
Secara umumnya luka jahitan bersalin11 akan sembuh dalam tempoh dua hingga empat minggu. Benang yang digunakan itu akan larut sendiri tanpa perlu dibuang selepas luka sembuh.
Jahitan selepas bersalin sembuh berapa lama
Secara umumnya luka jahitan bersalin akan sembuh dalam tempoh dua hingga empat minggu. Benang yang digunakan itu akan larut sendiri tanpa perlu dibuang selepas luka sembuh.
Ia juga banyak bergantung kepada bagaimana cara anda menjaga luka jahitan.
#1. Jaga kebersihan luka
Bersihkan luka selepas setiap kali ke tandas. Alirkan air di tempat luka bagi mengelak jangkitan. Lalukan air bersih dan lap luka.
#2. Dedahkan luka sekali sekala
Jika berpeluang, ambil masa dalam sehari untuk membiarkan luka terdedah supaya luka dapat melalui pengudaraan yang baik.
#3. Rapatkan punggung
Rapatkan punggung ketika mengubah posisi untuk elak luka meregang.
#4. Rendaman air garam
Ambil segenggam air garam dan larutkan dalam satu bekas air panas. Campurkan dengan air biasa supaya menjadi suhu suam dan tuangkan ke dalam besen. Duduk di dalam besen itu dalam tempoh 10 hingga 15 minit.
#5. Elakkan sembelit
Minum air secukupnya dua hingga tiga liter sehari dan makan makanan yang kaya dengan fiber.
#6. Lakukan sedikit tekanan ketika membuang air besar
Tekan kawasan perineum dengan tuala wanita bersih ketika membuang air besar. Kerap meneran ketika membuang najis boleh menyebabkan luka meregang dan terbuka semula.
#7. Senaman kemutan
Lakukan senaman kemutan untuk menguatkan semua otot pelvik yang mengembang sepanjang kehamilan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Sumber:
- Healthline. (2018, September 5). Early Pregnancy Symptoms. Healthline. www.healthline.com/health/pregnancy/early-symptoms-timeline#symptoms-timeline
-
Pop Bela. (2019, November 27). 7 Cara Membuat Anak Agar Cepat Hamil. Pop Bela. www.popbela.com/relationship/married/andinarahayu/cara-membuat-anak-agar-cepat-hamil/4
- Planned Parenthood. (2019, October 28). How Long After Sex Does Pregnancy Occur? Planned Parenthood. www.plannedparenthood.org/learn/teens/ask-experts/how-long-does-it-take-for-a-girl-to-get-pregnant-after-having-sex
- Medicine Net. (2021, January 25). How Can You Tell If You’re Pregnant If You Have Irregular Periods? Medicine Net. www.medicinenet.com/how_to_know_youre_pregnant_with_irregular_periods/article.htm
- Healthline. (2017, December 13). What Causes Stomach Tightening During Pregnancy? Healthline. www.healthline.com/health/pregnancy/stomach-tightening-during-pregnancy
- Harian Metro. (2019, Julai 7). Sindrom Kebas Ketika Hamil. Harian Metro. www.hmetro.com.my/hati/2019/07/473150/sindrom-kebas-ketika-hamil
- WebMd. (2020, July 28). Miscarriage. WebMd. www.webmd.com/baby/guide/pregnancy-miscarriage#1
- EMedicine Health. (2019, October 10). PMS vs. Pregnancy Symtomps and Signs. EMedicine Health. www.emedicinehealth.com/pms_vs_pregnancy_symptoms_and_signs/article_em.htm
-
Medical News Today. (2020, Januari 17). What do different colors of discharge mean in pregnancy?www.medicalnewstoday.com/articles/323433
-
American College of Obstetricians and Gynecologists. (2020, Ogos). How Your Fetus Grows During Pregnancy.www.acog.org/womens-health/faqs/how-your-fetus-grows-during-pregnancy?utm_source=redirect&utm_medium=web&utm_campaign=int
-
Harian Metro. (2019, September 2). Jaga jahitan selepas melahirkan. www.hmetro.com.my/hati/2019/09/492305/jaga-jahitan-selepas-melahirkan
Baca Juga: Jika Anda Ada Salah Satu Tanda Kehamilan Ini, Anda Mungkin Hamil!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!