Selain Period Tidak Hadir, Hakikatnya Ada Banyak Lagi Tanda Tanda Awal Kehamilan Yang Sering Disalah Sangka

Untuk wanita yang memang ternanti-nantikan zuriat mungkin lebih peka dengan tanda-tanda kehamilan awal. Bagi yang tidak, ini yang anda patut tahu!

Untuk wanita yang memang ternanti-nantikan zuriat mungkin lebih peka dengan tanda tanda awal kehamilan sebelum haid. Berbeza dengan anda yang mungkin tidak tahu anda hamil sehinggalah tiba waktu haid anda lewat. 

Walau bagaimana pun selain haid yang datang lewat, ada banyak lagi tanda simptom awal kehamilan yang anda boleh tahu. Dan ia tidak semestinya haid yang lewat atau alahan. 

Dan bagi yang tidak merancang kehamilan seterusnya atau merancang tapi mengalami haid yang tak menentu, sekiranya anda dapati anda punyai tanda-tanda kehamilan awal, maka anda seharusnya perlu lebih berjaga-jaga. Bimbang sekiranya terlebih aktif dan membuat kerja-kerja berat anda mungkin merisikokan bayi dalam kandungan. 

Kali ini kami kumpulkan segala jenis tanda kehamilan awal oleh ibu-ibu yang pernah mengalaminya. Ada yang cukup rare, kalau boleh terjadi kepada mereka mungkin juga anda alami tanda yang sama. 

Tanda Tanda Awal Kehamilan Yang Dialami Ibu-ibu

1. Berasa ekstra letih

Ya, memanglah hari-hari pun boleh jadi sangat memenatkan namun letih ketika hamil ni cukup berbeza tau. Lain macam sikit penatnya. Rasa seperti malas pun ada. Waktu saya hamil dulu saya boleh tidur di mana-mana sahaja! Walaupun suami sedang bertukang di sebelah (waktu awal-awal pindah rumah baru). 

2. Senggugut teruk

Ada ibu-ibu yang keliru dengan senggugut nak datang haid. Sebab sakitnya memang sama saja seperti anda nak period setiap bulan. Seperti kata Sarah Voon, ibu kepada bayi 1 tahun ini “saya mengalami senggugut teruk sehingga saya pergi ke hospital, namun sebaik tiba doktor menyarankan untuk membuat ujian kehamilan (UPT test) dan kemudian saya disahkan mengandung!”

3. Sopak garam, urticaria

Ini dialami oleh ibu kepada dua orang anak yang bernama Lala Anuar. “Saya alami sopak garam ini pada awal kehamilan, sebelum saya tahu yang saya hami lagi dah kena gatal-gatal ni. Puas menggaru macam monyet pun ada, sehinggalah nak masuk trimester ke dua, baru saya tahu saya mengandung. Tapi gatal-gatal ni berlarutan sehingga saya bersalin. Seksa sungguh,” kata Lala. 

4. ‘Backne’ 

Anda tahu istilah ‘backne’? Itulah nama panggilan yang molek sikit untuk back acne atau jerawat badan! Ya, ini juga antara salah satu tanda kehamilan tau. Bagi anda yang sebelum ini tak pernah kena dan tiba-tiba pula penuh satu belakang badan tu dengan jerawat, bolehlah check segera.

Hormon memang memainkan peranan penting ketika kehamilan, jadi tidak mustahil untuk wajah juga dipenuhi jerawat terutama pada awal kehamilan. “Belakang badan saya terutama di belakang bahu penuh dengan jerawat, pada awalnya saya pelik juga namun apabila diselangi dengan rasa mual juga apabila period saya lewat, saya dan boleh agak yang saya hamil,” kata Anis Hanini, seorang ibu kepada anak lelakinya yang berusia 2 tahun. 

5. Susah tidur dan rasa seperti nak demam

Ini juga antara tanda-tanda kehamilan awal. Badan terasa panas sampai susah nak tidur. Ada kalanya rasa seperti nak demam. Ini dialami oleh ibu yang bernama Azleen Asyiqin, katanya dia jarang susah tidur, dan waktu hari pertama dia sepatutnya datang period dia terus check ujian kehamilan dan ia positif! 

6. Payudara bengkak

Ini juga antara simptom yang sama seperti nak datang period. “Tapi bengkak payudara tanda hamil ini saya perasan bengkaknya lebih terasa dan juga rasa payudara lebih penuh,” kata ibu kepada 3 orang anak, Syazlin Pilus. Ada juga kemungkinan bahagian areola tampak lebih gelap dan puting payudara menonjol keluar. Ini antara tanda kehamilan awal selain anda lewat datang haid. 

Rasa sakit payudara boleh terjadi sebelum datang haid dan mula berkurang selama menstruasi. Sementara itu, sakit payudara disebabkan oleh kehamilan biasanya akan berlanjutan sepanjang kehamilan. Anda mungkin rasa lebih payudara lebih sensitif, tegang dan lebih berat.

7. Lenguh pinggang/sakit punggung

Tidak mustahil ada ibu-ibu yang sudah merasa lenguh-lenguh pinggang pada awal kehamilan. Memang selalunya trimester kedua atau ketiga baru akan mengalami sakit pinggang atau sciatica. Tapi jika anda mengalaminya pada trimester pertama janganlah panik pula, anda boleh dapatkan nasihat doktor. 

8. Mengidam

Perubahan selera makan yang mendadak boleh dijadikan salah satu tanda kehamilan. Walaupun ini tidak boleh dijadikan garis penentuan kehamilan, tetapi jika ianya diikuti dengan tanda-tanda lain (sila rujuk ciri-ciri seterusnya), segeralah berjumpa dengan doctor anda untuk pengesahan.

Perbezaan tanda-tanda kehamilan dan menstruasi boleh dilihat dengan jelas melalui peningkatan dalam selera makan. Ketika datang haid, anda cenderung menginginkan makanan mengandungi karbohidrat serta tinggi gula atau garam.

Bezanya mengidam ketika hamil, makanan adalah sangat spesifik. Bahkan anda mungkin menolak makanan lain yang tidak diidamkan kerana rasa mual apabila terhidu baunya.

9. Tompokan darah dan kekejangan perut

Tompokan darah boleh berlaku seawal seminggu kehamilan. Ini kadang-kala diikuti juga oleh sedikit kekejangan seperti anda sedang mengalami haid. Proses ini adalah normal ketika sel telur mula melekat pada dinding rahim.

10. Sering buang air kecil

Perubahan hormon ketika hamil adalah biasa dan ini secara tidak langsung memberi kesan terhadap sistem pencernaan badan anda.

Dengan perubahan itu, sejajar dengan pembesaran bayi anda, ini akan memberi tekanan terhadap pundi kencing dan seterusnya menyebabkan anda mengunjugi tandas berulang kali.

11. Perubahan deria rasa dan bau

Pada awal kehamilan, anda mungkin akan mengalami deria rasa dan bau yang tajam terutamanya terhadap bau-bauan yang tertentu.

Makanan yang anda suka mungkin menjadi sesuatu yang amat memualkan manakala makanan yang anda tidak suka sebelum hamil mungkin akan menjadi sesuatu yang menyenangkan.

12. Mabuk hamil

Ini adalah salah satu petanda yang kerap-kali menjadi pengukur tanda kehamilan. Mabuk hamil selalunya akan melibatkan rasa loya, muntah-muntah dan kadang-kala ketidakselesaan perut.

Keadaan ini tidak semestinya dilalui oleh setiap wanita yang baru hamil kerana setiap wanita adalah berbeza ketika melalui kehamilan.

Begitu juga dengan masa terjadinya mabuk hamil, ia tidak semestinya berlaku di waktu pagi kerana ia juga boleh berlaku di waktu petang atau malam.

13. Perubahan kitaran haid

Petanda ketara sekali ketika hamil adalah kitaran haid yang tiba-tiba lambat atau terhenti. Ini akan menjadi lebih ketara jika anda mempunyai kitaran haid yang teratur.

14. Ujian hamil positif

Jika anda masih ragu dengan semua petanda di atas, cubalah menggunakan alat ujian hamil untuk memastikan kehamilan anda. Walaupun cara ini tidak memberi kepastian yang penuh, ia masih boleh membantu anda kerana ujian ini memberi ketepatan 95%-99%.

15. Rasa sakit kepala, sakit belakang

Rasa sakit ini terjadi disebabkan oleh gabungan hormon kehamilan, jumlah darah yang lebih banyak dan fungsi buah pinggang. Elakkan pengambilan ubat tahan sakit tanpa mendapatkan nasihat doktor.  Pertimbangkan dengan rawatan di rumah seperti mandi air suam, guna pad pemanas, dapatkan urutan badan dan sebagainya.

16. Mual dan loya

Morning sickness biasanya berlaku kira-kira 2 hingga 8 minggu selepas proses persenyawaan. Jika anda mula berasa loya, inilah masanya untuk melakukan ujian kehamilan di rumah. Rasa mual dan loya boleh menghilangkan selera makan anda. Selain itu deria bau menjadi lebih peka daripada biasa.

17. Perubahan emosi

Menjelang datang haid, kebanyakan wanita mengalami perubahan emosi seperti mudah menangis dan lebih sensitif. Ini disebabkan oleh hormon dalam tubuh mengalami perubahan.

Namun perubahan emosi disebabkan oleh kehamilan boleh berterusan sehinggalah anda selamat melahirkan bayi.

18. Kekejangan perut

Kekejangan perut boleh terjadi 1 hingga 2 hari sebelum menstruasi bermula. Rasa kekejangan ini sangat berat sehingga anda tidak dapat melakukan apa-apa. Sementara itu kekejangan perut pada awal kehamilan biasanya terjadi kerana proses implantasi. Rasa nyerinya ringan dan boleh hilang dengan cepat.

Adakah anda punyai tanda-tanda hamil seperti di atas? Kalau ada tak salah nak buat dulu ujian kehamilan di rumah. Namun seeloknya pakar ginekologi menyarankan agar tunggu period anda lewat dalam 5 hingga 7 hari untuk mendapatkan keputusan yang tepat! Jika awal kehamilan lagi boleh lagi bagus, ada juga pakar menyatakan kalau hamil anak kembar ujian kehamilan dilakukan awal pun boleh nampak jelas!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The Asianparent Malaysia

Baca juga: Tanda-Tanda Awal Kehamilan 2 Minggu Yang Jarang Disedari Oleh Ibu, #3 Paling Konfius!

Bagus juga: 6 Tanda Anda Mungkin Mengandung Anak Perempuan! Antaranya Kulit Berjerawat?

Bagus juga: Selain Suka Makanan Manis, Ini 11 Tanda Hamil Anak Perempuan Sering Dialami Ibu!