Tanggungjawab seorang suami bukan setakat tanggung kos bersalin isteri sahaja ya, suami-suami semua anda perlu tahu apa yang perlu dilakukan sebaik isteri bersalin!
Ketika melakukan persediaan untuk bersalin selalunya memang si isteri yang pening seorang diri. Memikirkan apa yang perlu dibeli, nak bersalin di mana dan macam-macam lagi.
Suami ni teruja bila tang nak cari nama bayi dan nak tengok bila lahir sahaja. Apa yang perlu dibuat selepas itu selain mengazankan bayi tak pula terlintas difikiran.
Ini kebanyakannya ya, bukanlah semua suami. Menurut perkongsian seorang jururawat di Facebook baru-baru ini, berdasarkan pengalaman dia melihat ramai bapa yang terkontang kanting tak tahu nak buat apa.
Jadi di sini kita kongsikan sedikit sebanyak apa yang suami perlu lakukan sebaik bergelar bapa, ambil sedikit masa dan hadam. Kadang-kadang ramai isteri yang share artikel sebegini kepada suami, tapi biasalah lelaki masuk telinga kanan, keluar telinga kiri (diingatkan sekali lagi tak semua suami begini, nanti ada pula yang tersentap).
Tanggungjawab seorang suami ketika isteri bersalin
#1. Sediakan baju bayi ketika isteri nak masuk OT atau bilik bersalin
Menurut perkongsian Pakar Diari Hati dalam artikel pesanan cik misi untuk suami, dia perhatikan ramai bayi yang dilahirkan apabila dibawa ke wad bersalin cuma dipakaikan lampin dan dibalut dengan kain. Tidakkah elok jika bayi itu dipakaikan baju siap, nanti orang datang melawat tengok bayi dah bersiap comel dah. Pakaikan stocking dan mitten sekali, kalau nak nampak lagi comel pakaikan topi. Jadi bapa sediakan baju siap-siap untuk bayi dan beri kepada jururawat, jika terlupa, sebaik bayi naik ke wad anda pakaikanlah terus. Jangan nak tukar jururawat buat, baik praktikkan dari awal lagi, untung-untung kalau ada yang salah, boleh misi tunjukkan.
#2. Sediakan makanan untuk isteri
Yang ini paling penting ya, isteri dah bertarung nyawa di bilik bersalin jadi bila keluar dia perlulah topup balik energy yang dah kehabisan itu. Untuk isteri yang bersalin normal mereka boleh saja makan sebaik melahirkan bayi, tak perlu berpuasa lagi seperti yang bersalin czer. Jadi yang tahu isteri bersalin normal tu tolonglah sediakan makan yang ringan-ringan pun tak mengapa seperti air milo dan biskut. Ramai suami-suami yang tak tahu sampailah si isteri mengeluh lapar. Bukan apa untuk ibu yang baru melahirkan ini mereka kena susukan anak, jadi bila tak makan, maka tiadalah tenaga dan sukarlah susu nak keluar.
#3. Bantu isteri nak ke tanda atau menukar tuala wanita
Semua ni sebenarnya tak payah tunggu jururawat yang datang tolong. Suami perlu bersedia saja sebaik isteri kembali ke wad. Tanya isteri “are you okay? Nak apa-apa tak?”, barulah si isteri pun boleh berfikir apa yang dia mahu.
#4. Tanya jururawat bila bayi patut menyusu
Kadang-kadang ibu baru lepas bersalin ni terlampau penat sampai lupa apa yang sepatutnya. Dan disebabkan letih mereka akan tidur ketika bayi tidur. Tapi tanggungjawab si suami bukan tidur sekali tau, peka bila waktu last bayi menyusu, dan kejutkan isteri waktu nak menyusu bayi. Kadang-kadanga bayi pun sedap tidur walaupun lapar. Bayi baru lahir perlu menyusu setiap 2 jam. Ada saja suami yang macam, mengambil inisiatif untuk tanya misi, “bila baby kena menyusu?”, dari situlah misi akan terangkan.
#5. Sendawakan bayi
Selesai bayi menyusu, ini memang tugas penting untuk si bapa ya. Sendawakan bayi, suami saya dulu memang expert sendawakan bayi baru lahir. Saya pula yang takut-takut. Macam-macam stail dibuatnya, meniarapkan bayilah, memegang leher bayi sambil tegakkan bayi pun ada, seriau tengok tapi memang berkesan. Banyak teknik-teknik nak sendawakan bayi ni, jadi suami-suami semua apa lagi, cepat baca banyak-banyak pasal parenting!
Jadilah suami dan bapa yang peka dengan tahu tanggungjawab seorang suami ketika isteri bersalin, percayalah tak rugi anda ambil sedikit masa ketika isteri mengandung 9 bulan ini untuk anda lakukan sedikit persediaan. Ia akan sangat berguna dan membantu anda dan isteri kelak. Menyambut kelahiran bayi ini bukan sekadar keseronokan, datangnya juga satu tanggungjawab yang cukup besar. Baik sekecil-kecil benda hinggalah benda yang besar. Cari maklumat untuk penjagaan bayi itu pun salah satu ilmu, ingat, Tuhan suka hambanya yang sentiasa menimba ilmu baru. Selamat menjadi ibu dan ayah!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Pakar Diari Hati
Baca juga:
Suami, lakukan benda INI ketika ingin bantu isteri bersalin, ia kurangkan sakit kontraksi!