Tangisan Bayi: Apa Yang Kita Tahu?

Untuk memahami tangisan bayi ini dengan lebih jelas, mari kita lihat 3 sebab utama mengapa bayi menangis.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Setengah dari jumlah keseluruhan bayi baru yang dilahirkan menangis dan resah lebih dari 2 jam dalam sehari. Episod tangisan berpanjangan ini sering menyebabkan kemurungan di kalangan ibu, ketegangan hubungan perkahwinan dan isi rumah, kegagalan penyusuan ibu malah penderaan bayi.

Sindrom bayi digoncang (Shaken Baby Syndrome) atau SBS adalah punca utama penderaan bayi dalam kes trauma kecederaan kepala (Abusive Head Trauma, AHT). Contohnya, dianggarkan sekitar 1000-3000 kes SBS dilaporkan setiap tahun di USA. Peratusan tertinggi dicatatkan bagi kanak-kanak di bawah 1 tahun dengan kumpulan paling berisiko adalah bayi 0-4 bulan. Setiap 1 dari 4 kanak-kanak SBS mati manakala selebihnya menderita kerosakkan kekal. Salah satu punca utamanya? Bayi digoncang secara ganas oleh orang dewasa yang tidak tahan berhadapan tangisan bayi. (sumber: Department of Health, NY State, 2011)

Menjadi ibu baru memang sudah meletihkan secara amnya. Bayi kecil menuntut perhatian yang bukan sedikit. Maka, amat mudah di fahami bagaimana episod tangisan berpanjangan ini ‘melemahkan’ ibu. Sebahagian ibu baru pernah berseloroh; “Mudahnya kalau setiap bayi lahir dengan buku panduan!”.

Memetik kata-kata Prof Dr. Harvey Karp, seorang pakar kanak-kanak selama lebih 30 tahun dan Professor di UCLA School of Medicine; “Gesaan untuk mententeramkan bayi ada dalam naluri setiap individu. Tetapi kemahiran melakukannya adalah sesuatu yang perlu di pelajari”.

Beberapa perkara asas berkaitan bayi dan tangisan harus diketahui. Contohnya, pakar mengkelaskan bayi kepada 3 kategori berdasarkan karekteristik tangisan mereka. Iaitu mudah (easy going), high need (menuntut perhatian tinggi) dan colic (lebih dikenali sebagai sawan tangis di dalam masyarakat Melayu). Sudah tentu ketiga-tiga golongan bayi ini adalah bayi sihat. Yang membezakan hanyalah dari segi perkara yang menyumbang kepada ciri tangisan mereka. Pengetahuan lengkap tentang perkara ini adalah penting agar semua ibubapa sedar bahawa setiap bayi adalah unik, bukan semestinya salah ibu jika bayi menangis tak berhenti, bayi tidak semestinya sakit walau kuat menangis dan paling penting, tiada istilah bayi A adalah bayi yang lebih baik berbanding bayi B kerana bayi A kurang menangis berbanding bayi B.

Walau begitu, bayi yang kuat menangis dan sukar ditenteramkan pasti memberi tekanan kepada sesiapa sahaja. Memberitahu perkara seperti; “Adalah sesuatu yang normal bagi bayi kecil menangis dengan kerap pada bulan-bulan awal kehidupan. Ibubapa harus bersabar kerana episod tangisan ini bukan untuk selama-lamanya. Ia akan berkurangan dan berakhir selepas usia 3-4 bulan..” adalah tidak cukup bagus buat ibu-ibu yang sudah sangat keletihan, dari mental dan fizikal. Mereka benar-benar memerlukan jalan keluar kepada situasi ini, dengan segera.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

‘Unexplained crying’ merujuk kepada tangisan tanpa sebab yang jelas seperti lapar, lampin yang kotor, kembung perut, sakit atau tidak sihat. ‘Unexplained crying’ mewakili 15% dari keseluruhan keresahan bayi. ‘Unexplained crying’ inilah yang sering membuat para ibu terutama yang memiliki bayi sensitif dan colic, buntu dan tertekan. Mengapa? Baiklah, untuk memahami perkara ini dengan lebih jelas, mari kita lihat 3 sebab utama mengapa bayi menangis;

1. Untuk menyatakan keperluan rutin mereka

Ianya seperti lapar, tak selesa, ingin sendawa atau mengantuk. Tangisan yang mewakili keperluan rutin ini selalunya dapat disahkan melalui isyarat-isyarat fizikal yang mengiringi. Contohnya, bayi akan menggosok-gosok mata dan telinga serta menguap jika mengantuk. Ada beberapa cara untuk mengenalpasti tangisan jenis ini.Walaubagaimanapun, ianya boleh menjadi agak mudah untuk dikenalpasti selepas beberapa siri cuba dan salah (try & error) serta setelah ibubapa mendapat rentak rutin dan memahami corak sikap unik bayi mereka.

2. Sakit atau tidak sihat

Kesemua bayi tanpa mengira samada mereka dari kategori mudah, sensitif atau colic, akan menjadi lebih resah, cerewet, lebih kerap menangis atau berkelakuan ‘ganjil’ ketika tidak sihat atau sakit. Bayi boleh menangis dan menjerit tanpa henti serta tidak dapat ditenteramkan. Malah hampir tiada waktu senggang di antara siri tangisan.Atau, bayi membuat tangisan yang lemah dan amat halus. Kelihatan amat tidak berdaya. Malah boleh diiringi kelainan sikap yang amat jelas dan sukar untuk ibu bapa terlepas pandang seperti enggan disusukan atau hanya mahu tidur sepanjang masa selain simptom biasa seperti kenaikan suhu badan, muntah berlebihan, pendarahan dan sebagainya. Sudah tentu, merujuk kepada doktor, hospital atau klinik adalah perkara yang perlu dibuat dalam hal ini.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

3. Gangguan emosi

Tangisan yang mewakili perkara inilah yang ingin saya fokuskan dalam perbincangan kali ini!. Walaupun bayi kecil tidak pandai merasa kecewa, sedih atau marah dengan hal-hal ‘remeh’, ia tetap tidak menafikan hakikat bahawa mereka adalah manusia biasa, sama seperti orang dewasa, yang memiliki emosi dan boleh merasa terganggu. Sudah tentulah gangguan emosi tersebut adalah atas sebab yang berbeza berbanding orang dewasa. Bayi kecil, kerana adaptasinya yang masih amat lemah terhadap dunia luar rahim, sangat mudah merasa terganggu untuk 2 perkara. Iaitu rimas (overstimulate) atau merasa terasing (under stimulate);

a. Rimas (overstimulate)

Semasa di dalam kandungan, rahim menyediakan bayi dengan semua sensasi yang menenangkan dan aman. Dunia luar rahim pula dipenuhi dengan rangsangan atau stimulasi yang datang dalam pelbagai bentuk; sentuhan, cahaya, bunyi dan bau. Bagi sesetengah bayi, ia mungkin bukan satu masalah yang amat besar. Bayi dengan kawalan pusat yang tinggi amat berkemahiran berhabituasi . Mereka tiada masalah untuk tidur di mana-mana dan pada bila-bila masa. Namun, bagi bayi dengan kawalan pusat yang lemah serta corak sikap yang sukar, iaitu bayi dari kategori sensitif dan colic, amat mudah bagi deria mereka menjadi terbeban atau melimpah ruah dengan stimulasi tanpa henti dari sekeliling ini. Mereka cepat rimas dan menangis hasil daripadanya.

b. Terasing (understimulate)

Rangsangan yang diterima dari dunia baru ini amat berlainan dari apa yang biasa bayi dapatkan semasa di dalam rahim. Maka, tidak mustahil keganjilan atau kelainan ini membuat bayi merasa terasing. Cuba kenang kembali saat pertama kali anda berjauhan dari ibubapa dan keluarga. Mungkin ketika memasuki asrama, kolej atau universiti. Apakah yang anda rasakan terutama pada minggu-minggu terawal berjauhan?. Di sekeliling anda mungkin cukup meriah dengan kawan-kawan baru, suasana tempat baru yang mungkin lebih hebat dari apa yang terdapat di rumah anda sendiri dan adanya guru-guru atau pembimbing yang meraikan. Namun, entah bagaimana, jauh di sudut hati, anda tetap terkenangkan keluarga dan suasana kampung halaman. Oleh kerana itu, minggu orientasi diwujudkan bagi memudahkan anda beradaptasi dengan tempat dan suasana baru. Begitu juga dengan bayi. Fasa ‘newborn’ iaitu tempoh 3 bulan pertama kehidupannya, merupakan minggu orientasi buat mereka!. Jadi, sebagai ibu, apa yang dapat anda lakukan bagi membantu bayi melalui proses peralihan 2 dunia ini?.

Suis tutup tangisan bayi

Tahukah anda akan wujudnya beberapa komuniti bebas colic di dunia ini. Ya! komuniti dengan purata tempoh resah bayi hanya sekitar 16 saat dan lebih 90% bayi berjaya di tenteramkan di bawah 1 minit. Rahsia mereka?. Para ibu puak !Kung San yang mendiami Gurun Kalahari misalnya, mereka membedung dan meletakkan bayi dalam gendongan hampir pada setiap masa, menyusukan bayi dengan amat kerap iaitu beberapa kali dalam satu jam serta memberi respon pantas kepada keresahan atau tangisan bayi. Mereka meniru dan menyediakan kesemua kualiti sensasi rahim serapat dan sekerap mungkin kepada bayi mereka untuk beberapa bulan awal. Dalam erti kata lain, mereka bertindak menjadi rahim bergerak buat para bayi.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Sudah tentu kita tidak boleh mengharapkan para ibu moden, berkerjaya dan tinggal di dunia metropolitan hari ini untuk membuat perkara yang serupa. Namun, kita masih boleh mencedok sedikit amalan mereka. Teknik ‘Cuddle Cure’ adalah teknik yang mengambil aspirasi dari amalan meniru kesemua sensasi rahim yang diamalkan puak !Kung San. ‘Cuddle cure’ yang dibuat dengan sempurna mampu mengaktifkan reflek bertenang bayi…dalam masa yang amat singkat!

‘Cuddle Cure’ adalah gabungan 5 teknik yang digelar ‘5S’;

1. Swaddle; membalut bayi dengan kemas dan ketat. langkah pertama ini bertujuan mengekang gerakan tak terkawal tangan dan kaki bayi yang sedang mengamuk seterusnya memudahkan bayi memberi tumpuan kepada perlaksanaan 4S yang lain.

2. Side/Stomach Position; memegang bayi secara mengiring atau di perutnya. Ia juga di panggil ‘fetal position’ merujuk posisi bayi semasa di dalam rahim.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

3. Ssshing; membuat bunyi ‘Ssshhhh’ yang kuat dalam jarak dekat dengan telinga bayi. Ia meniru bunyi berirama yang dicetuskan gabungan aliran deras darah ke setiap salur darah ibu pada setiap saat, degupan jantung ibu, bunyi hasil proses pencernaan yang berlaku dalam usus ibu serta pergerakan cecair amniotic (air ketuban). Irama semulajadi rahim ini telah menemani bayi selama lebih 9 bulan yang lepas!

4. Swing; menghayun bayi dengan intensiti hayunan yang berpadanan dengan kekuatan tangisan bayi dalam pelukan (bukan dalam buaian). Bayi terbiasa ‘dihayun’ ketika masih didalam rahim, setiap kali ibu bergerak.

5. Sucking; membiarkan bayi menghisap pada puting atau jari yang bersih. Perlaksanaan setiap ‘S’ yang sempurna serta mengikut turutan yang betul perlu diambil kira. Ia mungkin tidak dapat dicapai melalui pembacaan semata-mata. Namun sekurang-kurangnya, sekarang para ibu telah tahu bahawa sawan tangis (colic) atau tangisan berpanjangan yang bukan disebabkan oleh masalah kesihatan, ada penyelesaiannya

by Uswatun Hasanah bt Mohd Habib

Artikel ini telah diterbitkan semula dengan izin dari DoktorBudak.

Baca lagi:

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Bayi Sawan Tangis (Colic) – Pengalaman Peribadi

Penulis

DoktorBudak