40 Tempat Menarik Di Langkawi & Aktiviti Menarik Untuk Dilakukan Bersama Anak-anak

Tempat menarik di Langkawi yang wajib dikunjungi bersama keluarga tersayang, lebih-lebih lagi jika anda mempunyai anak kecil.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Terkenal dengan lagenda Mahsuri, Pulau Langkawi mempunyai banyak aktiviti dan tempat tarikan pelancong. Selain bermain di pantai, kami berikan anda 40 pilihan terbaik untuk dilakukan di Langkawi bersama anak-anak. Jom lihat senarai tempat menarik di Langkawi dari kami ini!

40 Tempat Menarik Di Langkawi Yang Sesuai Untuk Seisi Keluarga

1. Kereta Kabel & Jambatan Gantung Langkawi

Kredit: Andrew Ng

Anda wajib menaiki kereta kabel ini, paling kurang sekali seumur hidup! 

Sebabnya, Langkawi SkyCab ini dinobatkan yang paling curam di dunia, dengan ketinggian 708m di atas paras laut. Wow! Sepanjang perjalanan, anda dapat menikmati pemandangan laut dan hutan yang indah.

Alamat: Langkawi Cable Car, Jalan Telaga Tujuh, 07000 Langkawi, Kedah.

Waktu Operasi: Isnin- Jumaat: 9.30 pagi – 6.00 petang

                                  Sabtu & Ahad: 9.30 pagi – 6.30 petang

Harga Tiket: RM30-55 seorang (Normal). Pakej lain turut disediakan.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Kredit: dazstudios

Terletak di puncak gunung kecil, Langkawi SkyBridge merupakan jambatan melengkung terpanjang di dunia, kira-kira 125 meter (410 kaki). Bergantung pada cuaca, kawasan ini akan ditutup sementara waktu.

Oh ya! Amaran: Tidak disyorkan kepada mereka yang takutkan ketinggian.

Harga Tiket: RM5 (dewasa), RM3 (kanak-kanak)

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

2. Muzium 3D Art in Paradise

Kredit: 3D Art Langkawi

Suka berposing dalam gambar? Inilah tempat menarik Langkawi yang sesuai untuk anda! Dengan keluasan 21,000 kaki persegi, muzium seni 3D terbesar di Malaysia ini menampilkan lebih daripada 100 lukisan.

Berdiri saja di hadapan dinding lukisan ini, anda seolah-olah boleh terbang, berlayar atau mungkin memberi makan dinosaur!

Alamat: Jalan Telaga Tujuh, 07100 Langkawi, Kedah

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 pagi – 6.00 petang)

Harga Tiket: RM30-38 (dewasa), RM20-28 (kanak-kanak)

3. Oriental Village

Kredit: David Jago

Untuk menaiki SkyCab atau melawat Muzium 3D, anda harus melalui Oriental Village ini dahulu yang terletak di Stesen Pangkalan kereta kabel Langkawi. Bukan sekadar sebuah taman tema, tetapi ia mempunyai banyak aktiviti menarik, terutama untuk kanak-kanak.

Di samping itu, anda boleh mengisi perut di kafe dan restoran, selain membeli-belah cenderahati yang unik di sini. Kampung ini dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 7 malam.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Alamat: Oriental Village, Burau Bay, Langkawi

Waktu Operasi: Setiap Hari ( 9.00 pagi – 7 malam)

4. Underwater World Langkawi

Kredit: Clover Holidays

Akuarium terbesar (60,000 kaki persegi) di Malaysia ini antara tempat menarik di Langkawi yang sentiasa mendapat kunjungan ramai. Akuarium ini terbahagi kepada beberapa bahagian yang meliputi pelbagai spesies hidupan laut.

Selain melalui terowong dalam air sepanjang 15m, anak-anak juga pasti terhibur melihat telatah penguin di sini!

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Alamat: Jalan Pantai Chenang, 07000 Langkawi, Kedah

Waktu Operasi: Setiap Hari ( 9.00 pagi-6.00 petang)

Harga Tiket: RM47.00 (dewasa), RM36 (kanak-kanak)

5. Langkawi Wildlife Park & Bird Paradise

Taman seluas 5 hektar ini yang terletak di Jalan Ayer Hangat, Langkawi.mempunyai lebih 2,000 burung dari 150 spesies dan pelbagai jenis hidupan liar dari seluruh dunia.

Yang menariknya, anda dan anak-anak berpeluang untuk memberi makanan kepada haiwan-haiwan di sini. Di dalam taman ini juga ada air terjun buatan setinggi 15m.

Alamat: Lot 1485, Jalan Ayer Hangat, Kampung Belanga Pechah, 07000 Langkawi, Kedah

Waktu Operasi: Dibuka setiap hari dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang

Harga Tiket: RM43 (dewasa), RM30-40 (kanak-kanak)

6. Rumah Terbalik Langkawi

Kredit: Asia Web Direct

Terletak di Kampung Bayas, Jalan Padang Matsirat. Dengan reka bentuk yang menarik dan unik, rumah terbalik Langkawi ini merupakan yang terbesar di Asia dengan ketinggian 5 tingkat.

Walaupun agak penat menjelajah, tapi memang berbaloi buat seisi keluarga merasai pengalaman ini!

Harga Tiket: RM18-25 (dewasa), RM15-20 (kanak-kanak)

7. Taman Buaya Langkawi

Kredit: BobbijoPMH

Berlatarbelakangkan pergunungan, taman seluas 20 ekar ini menempatkan 4,000 ekor buaya termasuklah beberapa spesies buaya terbesar iaitu Buaya Tembaga dan Buaya Siam.

Persembahan buaya pasti menghiburkan anda dan anak-anak. Nak lebih mencabar? Anda bolehlah cuba beri makan kepada buaya!

Alamat: Jalan Teluk Datai, Mukim Air Hangat, 07000 Langkawi, Kedah Darul Aman.

Waktu Operasi: Dibuka setiap hari (9.30 pagi -6 petang)

Harga Tiket: RM40(dewasa), RM 30 (kanak-kanak). Pakej lain turut disediakan.

8. Taman Agro Teknologi MARDI

Kredit: Naturally Langkawi

Sambil bersantai dan menikmati keindahan di taman, anda juga boleh merasai kemanisan buah-buahan yang ditanam di sini secara percuma!

Anak-anak pasti tertarik melihat 20 jenis pokok buah-buahan tempatan tumbuh segar dan tersusun cantik.

Alamat: 1, Jalan Padang Gaong, Lubuk Semilang, Kuah, 07000 Langkawi, Kedah

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (8.30 pagi -4.30 petang) Jumaat (cuti)

Harga Tiket: RM15 (dewasa), RM8 (kanak-kanak)

9. Galeria Perdana

Kredit: Asia Web Direct

Tak perlu ke luar negara, anda boleh melihat seni berharga dan kebudayaan unik dari seluruh negara yang berada di Kilim, Kedah. Segala anugerah, cenderahati dan hadiah yang diterima dari pemimpin-pemimpin dalam dan luar negara oleh Tun Mahathir telah diabadikan di dalam muzium ini.

Namun, kini lokasi tersebut masih ditutup untuk kerja-kerja naik taraf sehingga diberitahu kelak.

Alamat: Jalan Ayer Hangat, Kampung Kilim, 07000 Langkawi, Kedah

Waktu Operasi: Tiada maklumat

10. Dataran Lang

 

Nak tengok helang besar? Arca helang gergasi berukuran tinggi mencecah 12m ini merupakan mercu tanda bagi Pulau Langkawi.

Antara lokasi yang anda WAJIB berselfie bersama patung ikonik ini bila sampai di tempat menarik di Langkawi ini. Jangan lepaskan peluang untuk merakam kenangan indah di sini!

Alamat: Persiaran Putera Kuah, 07000 Langkawi, Kedah

11. Taman Lagenda Langkawi

Bersebelahan Dataran Lang, taman ini mempunyai landskap yang sangat cantik dan indah. Ia terletak berhampiran dengan jeti Kuah dan mempunyai 50 hektar laman. Terkenal dengan kisah rakyat di Langkawi, antaranya Mahsuri dan dua gergasi iaitu Mat Chincang dan Raya.

Parents bolehlah membaca dan perkenalkan kepada anak-anak setiap kisah yang ditulis atas batu.

Alamat: Kuah, 07000 Langkawi, Kedah

Waktu Operasi: Dibuka 24 jam

 12. Idaman Suri

Tak sah kalau para ibu tak singgah di sini, satu tempat shopping sakan untuk anda!

Tak nak pulang tangan kosong, anda boleh dapatkan pinggan mangkuk dan barang kelengkapan rumah dengan harga berpatutan.

Alamat: Idaman Suri, No 1, Taman Seri Berlian, 07000 Kuah, Kedah

Waktu Operasi: Sabtu – Isnin ( 10 pagi hingga 7 malam) Jumaat cuti

13. Makam Mahsuri

Kredit: squido75

Siapa yang bercuti ke Langkawi patut tahu kisah Mahsuri. Tempat menarik Langkawi yang  terletak sekitar 12km dari Kuah dan terletak dalam kawasan kompleks Kota Mahsuri dikunjungi ramai di mana Mahsuri dibunuh ini telah dijadikan lokasi bersejarah.

Ia beroperasi setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Istimewanya, pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sekitar pukul 3 petang, anda boleh menyaksikan pementasan teater Lagenda Mahsuri. 

Harga Tiket: RM15(dewasa), RM13(kanak-kanak & warga emas)

14. Pantai Cenang

Pantai Cenang merupakan salah satu pantai yang paling popular dan indah di Langkawi, terkenal dengan pasir putih yang lembut dan air laut yang jernih. Ia terletak di pinggir barat daya Pulau Langkawi dan hanya berjarak kira-kira 10 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Terdapat pelbagai aktiviti air yang menyeronokkan seperti  jet ski, parasailing, dan banana boat tersedia untuk anak-anak anda cuba! 

15. Air Terjun Telaga Tujuh

Terletak di Gunung Mat Cincang , 1km dari Oriental Village. Air terjun ini dinamakan Telaga Tujuh kerana ia terbentuk daripada tujuh mata air semulajadi yang mengalir ke dalam tujuh telaga semulajadi yang berasingan. Tempat ini sesuai untuk aktiviti berkelah dan trekking, terutamanya bagi mereka yang gemar dengan aktiviti mencabar.

16. Langkawi Geopark

Langkawi geopark pertama di Asia Tenggara yang menampilkan keunikan geologi dan biodiversiti yang menampilkan keunikan menerusi himpunan 99 buah pulau. 

17. Atma Alam Batik Village

Atma Alam Batik Village bukan sahaja menawarkan pengalaman membeli-belah, tetapi juga peluang untuk mempelajari dan menghargai seni batik yang merupakan sebahagian penting daripada warisan budaya Malaysia. Di sini, jangan lupa bawa anak-anak bersama untuk menyertai bengkel batik untuk belajar cara membuat batik sendiri.

Alamat: Jalan Padang Matsirat, 07000 Langkawi, Kedah, Malaysia

Waktu Operasi: Rabu – Isnin ( 10 pagi – 5.30 petang)

18. Padang Beras Terbakar

Terletak di Kampung Raja, Mukim Padang Matsirat, Langkawi. Jom bawa anak-anak bersama untuk mendalami sejarah padang beras terbakar Tapak bersejarah di mana beras dibakar oleh penduduk tempatan untuk mengelakkan ia jatuh ke tangan musuh.

Alamat: NO 15, Kampung Raja, 07000 Langkawi, Kedah

Waktu Operasi: Dibuka setiap hari (9 pagi -6.30 petang)

19. Kampung Air Hangat

Kampung Air Hangat adalah sebuah destinasi unik di Langkawi yang terkenal dengan kolam air panas semulajadinya. Terletak sekitar 14 kilometer dari Kuah, ibu kota Langkawi, Kampung Air Hangat menawarkan pengalaman yang menenangkan dan memulihkan, di samping memberikan wawasan tentang budaya tempatan.

20. Telaga Harbour Marina

Terletak di Teluk Burau, marina ini menawarkan pemandangan laut yang menakjubkan dengan latar belakang perbukitan hijau. Pemandangan matahari terbenam di sini adalah salah satu tarikan utama.

21. Pulau Dayang Bunting

Pernah dengar nama pulau ini? Pulau ini terkenal dengan tasik air tawar yang menyerupai seorang wanita hamil yang popular dalam kalangan pasangan yang menginginkan zuriat.

22. Air Terjun Durian Perangin

Tempat ini sesuai untuk aktiviti berkelah bersama keluarga. Terdapat kawasan berkelah yang dilengkapi dengan meja dan bangku. Kalau anda datang ketika musim buah, mungkin jumpa gerai jualan di luar kawasan ini.

Alamat: Air Terjun Durian Perangin, Jln Durian Perangin, Kampung Sg Itau, Langkawi.

Waktu Operasi: Dibuka 24 jam secara percuma

23. Pulau Tuba

Pulau Tuba adalah tempat yang popular untuk aktiviti memancing. Pengunjung boleh menikmati aktiviti berjalan kaki di hutan, mendaki bukit, atau bersantai di pantai yang tidak terlalu ramai.

24. Pulau Paradise 101

Paradise 101 adalah destinasi pulau peribadi yang menawarkan gabungan sempurna antara keseronokan, pengembaraan, dan kemewahan. Singgah ke sini untuk merasai pengalaman menaiki bot dari Telaga Harbour Marina kira-kira 10-15 minit.

Alamat: Jalan, Lot 57, Seksyen (HSM) 10DR744, MUKIM, 07000 Langkawi, Kedah

Waktu Operasi: Setiap hari (10 pagi – 10 malam)

25. Pantai Pasir Hitam

Anda boleh berjalan-jalan di sepanjang pantai, membina istana pasir bersama anak-anak, atau sekadar duduk bersantai sambil menikmati bunyi ombak yang menenangkan di pantai pasir hitam.

Alamat: Pantai Pasir Hitam, Jalan Teluk Yu, Langkawi

26. Pulau Beras Basah 

Pulau Beras Basah terletak di negeri Kedah ini sangat sesuai untuk berenang dan aktiviti snorkel, terutamanya jika anak-anak anda sukakannya. 

27. Laman Padi Langkawi

Terletak di Pantai Cenang, muzium ini merupakan pusat agro yang mempamerkan proses penanaman padi. Ia dibuka setiap hari dari jam 10:00 pagi hingga 6:00 petang, dan masuk adalah percuma.

Pengunjung dapat belajar tentang sejarah dan teknik penanaman padi, melihat demonstrasi, menikmati pemandangan sawah padi, serta menyertai aktiviti pertanian.

28. Kristal Langkawi 

Kristal Langkawi terletak di Kampung Belanga Pecah, tidak jauh dari pekan Kuah, pusat bandar utama di Langkawi. Waktu operasi dari 9.30 pagi hingga 5 petang. Ibu ayah, pastikan sentiasa awasi anak anda sepanjang berada di sini. 

29. Herbwalk Langkawi

Menariknya, pengunjung diperkenalkan kepada pelbagai jenis tumbuhan ubatan dan herba yang terdapat di Langkawi. Serta, terdapat demonstrasi tentang cara-cara menyediakan ubat herba atau produk berasaskan herba.

30. Langkawi Wildlife Park

Anak-anak pasti seronok kerana di sini menempatkan pelbagai spesies haiwan liar dari seluruh dunia. Taman ini direka untuk memberikan pengalaman interaktif dan pendidikan kepada pengunjung.

Alamat: Lot 1485, Jalan Ayer Hangat, Kampung Belanga Pechah

Waktu Operasi: Dibuka setiap hari dari jam 8.30 pagi – 5.30 petang

Harga Tiket: RM 43.00 (dewasa), RM 30-40 (kanak-kanak)

31. Masjid Al-Hana

Masjid Al-Hana adalah masjid terbesar di Langkawi, yang menjadi tempat ibadah utama bagi komuniti Muslim tempatan serta pelancong.

32. Teluk Datai

Pantai di Teluk Datai adalah tempat yang ideal untuk berenang, berjemur dan melakukan aktiviti pantai yang lain dengan anak-anak. Ia terletak  di sebelah barat laut Langkawi, sekitar 30 kilometer dari pekan Kuah.

33. Langkawi Golf Club

Berada di lokasi sama di Teluk Datai dengan menyajikan pemandangan menakjubkan dengan latar belakang Gunung Mat Cincang dan Laut Andaman. Direka oleh pemain golf terkenal Ernie Els, padang golf ini mempunyai 18 lubang dan anda boleh menikmati bermain golf sambil mengagumi keindahan flora dan fauna tempatan.

34. Langkawi Skytrex Adventure

Kalau tidak berkesempatan cuba Skytrex di Melaka, pasti rugi jika tidak bawa anak-anak pergi ke Skytrex Langkawi. Terletak di Taman Agro Teknologi Mardi Langkawi, ia menawarkan pengalaman yang menyeronokkan dan mencabar seperti berjalan di atas titian gantung, meluncur melalui zipline, dan memanjat pokok. Ada juga pakej untuk aktivit yang mesra untuk kanak-kanak . 

Alamat: Jalan Teluk Yu, Kampung Kok, 07000 Langkawi, Kedah

Waktu Operasi: Dibuka setiap hari (9 pagi – 5.30 petang)

Harga tiket: RM 80.00 (kanak-kanak)

35. Tanjung Rhu 

anjung Rhu juga dikelilingi oleh hutan bakau dan gua batu kapur, menjadikannya tempat yang menarik untuk eksplorasi dan aktiviti seperti berkayak dan menjelajah gua.

36. Pulau Payar Marine Park

Terletak kira-kira 30 km dari Pulau Langkawi, taman ini menawarkan pelbagai aktiviti seperti snorkeling, menyelam skuba, dan berenang.

37. Langkawi Sunset Cruise

Menawarkan pelayaran dengan pemandangan matahari terbenam yang indah di sekitar pulau-pulau Langkawi. Anda dan keluarga dapat menikmati suasana romantik sambil menikmati makanan dan minuman di atas kapal. Bukan selalu berehat begini.

38. Langkawi Duck Tours 

Jom rasai pengalaman menaiki kenderaan amphibia yang menyerupa itik besar sambil menikmati pemandangan indah Langkawi dari sudut pandang yang berbeza dan mendengar penerangan menarik dari pemandu pelancong mengenai sejarah, budaya, dan geografi Langkawi.

39. Pekan Kuah

Terletak di tenggara pulau, Kuah terkenal sebagai pusat membeli-belah bebas cukai dan tempat yang kaya dengan sejarah dan budaya. Rebut peluang untuk menikmati pengalaman membeli-belah bebas cukai dan makanan yang enak belaka.

40. Nusantara Gamat

Memang rugi kalau pergi ke tempat menarik di Langkawi tanpa membeli minyak gamat. Minyak gamat adalah salah satu produk ikonik dari Langkawi yang terkenal dengan pelbagai khasiat. Bukan sahaja ia boleh digunakan untuk merawat luka dan mengurangkan kesakitan otot, tetapi juga sering dijadikan hadiah istimewa untuk keluarga dan rakan-rakan.

Alamat: Nusantara Maju Enterprise, 07000 Langkawi, Kedah

Waktu Operasi: Dibuka setiap hari dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang

Semoga bermanfaat!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The Asianparent Malaysia

 

Baca juga: 30 Tempat Menarik Di Melaka Percuma Untuk Seisi Keluarga, Jimat Poket & Berbaloi

Baca juga: Tempat Menarik di Johor Bahru : 20 Destinasi Ini Wajib Anda Lawati

Baca juga: 20 Tempat Menarik Di Shah Alam Yang Wajib Anda Kunjungi

Penulis

Dayangku