Hancur luluh hati ibu apabila keempat-empat anaknya yang ditinggalkan seketika terkorban dalam tragedi terbakar rumah mereka malam tadi.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisional Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata dalam kejadian kira-kira jam 7.49 malam mangsa, Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4, dan Fatihah Aisyah, 3, ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik air bahagian dapur kediaman mereka.
Tragedi terbakar rumah ketika ibu keluar seketika
Menurut Raiz Mukhliz, ketika kejadian, ibu mangsa berusia 31 tahun terpaksa keluar sebentar untuk ke kedai berhampiran manakala bapanya yang berusia 30 tahun sedang bekerja di sebuah restoran di sekitar bandar, di sini.
“Maklumat awal oleh ibu mangsa mengatakan keempat-empat anaknya ditinggalkan sementara di rumah dalam keadaan pintu bahagian dapur tidak berkunci.
“Bagaimanapun, kita percaya keadaan api marak menyebabkan empat beradik ini gagal mencari jalan keluar sebelum kesemua mayat ditemui di dalam tandas dipercayai bagi tujuan menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Sabak Awor, Jalan Ismail, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, ibu mangsa yang baru keluar 10 minit dan mengetahui mengenai kebakaran itu selepas dihubungi jiran.
“Kebakaran dipercayai berpunca akibat litar pintas, namun ia masih dalam siasatan lanjut pihak Jabatan Bomba Penyelamat (JBPM). Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan setakat ini kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Yang turut hadir dalam operasi berkenaan, Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Ahmad Izram Osman.
Terdahulu, 20 anggota dari BBP Muar dan BBP Bukit Gambir dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran membabitkan rumah jenis separuh kekal berkeluasan 16 meter x 12 meter.
Raiz Mukhliz berkata, bomba mengambil masa lima minit bagi mengawal kebakaran yang merebak sehingga 70 peratus.
“Pemadaman berjaya dilakukan beberapa minit kemudian dengan kemusnahan sebanyak 80 peratus.
“Setelah api padam sepenuhnya pihak bomba bertindak membuat pencarian mangsa sebelum menemukan dua kanak-kanak perempuan dua kanak-kanak lelaki,” katanya.
Sesetengah ibu ayah terpaksa tinggalkan anak di rumah
Dalam menguruskan tugas seharian, ia bukanlah perkara mudah terutamanya bagi ibu yang memiliki anak-anak yang masih kecil. Ada kalanya anda perlu keluar rumah untuk sekejap sahaja dan memikirkan tidak perlu membawa mereka bersama.
Secara umum, adalah tidak digalakkan untuk meninggalkan kanak-kanak berumur di bawah 10 tahun di rumah sendirian.
Setiap kanak-kanak adalah berbeza, tetapi pada usia itu, kebanyakan kanak-kanak tidak mempunyai kematangan dan kemahiran untuk bertindak balas terhadap kecemasan jika mereka bersendirian.
Fikirkan tentang kawasan tempat tinggal anda. Adakah terdapat jiran berdekatan yang anda kenali dan percayai untuk membantu anak anda sekiranya berlaku kecemasan? Adakah anda tinggal di jalan yang sibuk dengan banyak lalu lintas? Atau adakah ia kawasan yang sunyi? Adakah terdapat banyak jenayah di dalam atau berhampiran kawasan kejiranan anda?
Tips sebelum meninggalkan anak di rumah
Jika anda benar-benar terpaksa tinggalkan anak sementara waktu di rumah, beberapa tips ini mungkin membantu:
- Sentiasa berhubung menggunakan telefon pintar. Sediakan jadual untuk membuat panggilan. Anda juga boleh video call untuk melihat keadaan anak.
- Minta bantuan rakan atau jiran terdekat. Sebelum tinggalkan anak di rumah, perkara paling penting adalah minta bantuan orang yang anda percayai. Dengan ini, sekiranya terjadi sebarang kejadian mereka dapat tahu anak anda masih berada di dalam rumah.
- Tetapkan peraturan asas seperti masa skrin dan tv, tidak boleh bawa masuk kawan ke dalam rumah semasa ketiadaan ibu ayah.
- Rumah yang selamat untuk anak. Tidak kira seberapa bagus anak mematuhi peraturan, anda perlulah mamastikan peralatan bahaya seperti pemetik api atau ubat disimpan di tempat yang tinggi.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bayi MAUT Semasa Tidur Dalam Buaian Elektrik, Sementara Ibu Keluar Ke Pejabat Pos
Baca juga: ”Maafkan Ibu Tak Sempat Selamatkan Kamu,” Anak 3 Tahun Maut Ketika Rumah Terbakar
Baca juga: Bapa Berdepan Detik Cemas Anak Tertelan Bateri Jam Tangan & Esofagusnya Terbakar