Malang tidak berbau, itulah ungkapan yang boleh menggambarkan apabila seorang ibu berdepan dengan detik mencemaskan apabila bayi perempuannya terkena air panas.
Setiap ibu ayah pastinya tidak menginginkan sebarang perkara mahupun kemalangan terjadi kepada anak-anak tersayang, namun takdir ini boleh berlaku dalam sekelip mata sahaja.
Anak terkena air panas
Menurut perkongsian oleh seorang ibu, Intan Fadilah dalam akaun laman sosial miliknya, kejadian ngeri berkenaan terjadi pada 23 April yang lalu.
Anaknya, Nur Farah Maleesa berusia satu tahun telah melecur di bahagian muka dan bahu kerana terkena air panas sehingga bahagian matanya sebelah kiri terluka.
Kesannya, Maleesa tidak dapat membuka mata dan perlu menjalani pemeriksaan yang seterusnya untuk menentukan ia melibatkan luka pada luaran ataupun dalaman.
Sehubungan dengan itu, wanita berkenaan memohon doa dari rakan-rakan Facebook agar anaknya segera sembuh dari luka yang agak parah ini.
Pada kemudian harinya, dia menceritakan bahawa doktor telah memaksa Maleesa untuk buka matanya sehingga meraung dan menangis.
”Mommy pun turut menangis sebab doktor tekan bawah mata Maleesa untuk paksa ia terbuka. Sampai melecet bahagian pipi tu,”
”Allah sakitnya kamu sayang, mommy akan cuba buat kamu gembira bagi melupakan segala kesakitan tu,” luahnya.
Kesan melecur pada kulit muka
Bagi rawatan yang seterusnya, ibu ayah tidak dibenarkan masuk di dalam bilik.
”Proses drassing yang sangat memeritkan. Mommy tak sanggup bila doktor suruh tinggalkan Maleesa dalam bilik rawatan. Maleesa menangis minta untuk dipeluk seakan-akan meminta jangan tinggalkan dia,” keluh Intan.
Tambahnya lagi, dia terpaksa keluar dari bilik dan hanya mampu mendengar jeritan dari luar.
Pada hari ke-4, Intan telah memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan keadaan luka akibat terkena air panas pada wajah anaknya.
Mata yang melihat ini sahaja sudah cukup menggambarkan kesakitan dialaminya. Kulit yang melecur mula tercabut untuk menggantikan kulit baharu.
Ibunya tidak henti-henti berdoa memohon bantuan dari Allah agar mengambil kesakitan yang dialaminya supaya Maleesa segera sembuh.
Memasuki hari ke-6, Maleesa sudah menunjukkan luka yang semakin sembuh.
”Alhamdulillah baby Maleesa semakin sembuh. Dia pun dah mula aktif bermain macam biasa. Terima kasih kepada semua sahabat-sahabat yang mendoakan kesihatan dia,” ujarnya.
Tambahnya lagi, doktor turut berpesan supaya sentiasa mencuci luka pada bahagian muka sebersih-bersihnya dan menyapu krim agar terhindar dari terkena jangkitan.
Langkah pencegahan melecur di rumah
Anak-anak yang semakin membesar sentiasa memiliki sifat ingin tahu yang tinggi sekaligus mengundang bahaya dan risiko kecederaan.
Menurut Pakar Kanak-Kanak Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr. Fadzlina Abd Aziz, terkena cecair panas adalah kemalangan paling biasa terjadi dalam anak kecil dan bayi.
Justeru, ibu ayah perlu sentiasa bersedia berhadapan situasi ini dan perlu mempraktikkan beberapa langkah pencegahan kemalangan di rumah. Antaranya ialah:
#1. Letakkan pemegang periuk ke arah belakang dapur setiap kali anda memasak.
#2. Sekat akses ke dapur sebanyak yang mungkin.
#3. Elak menggunakan pelapik meja besar yang boleh ditarik anak-anak dan membalikkan minuman panas atau pinggan makanan.
#4. Jauhkan minuman atau makanan panas dari jangkauan kanak-kanak.
#5. Jangan memegang bayi atau anak kecil ketika memasak.
#6. Jangan sekali-kali memanaskan botol bayi dalam ketuhar gelombang mikro. Cecair di dalamnya mungkin tidak panas dengan sekata sehingga mampu melecurkan mulut bayi.
Walaupun sesetengah luka melecur ringan boleh dirawat di rumah, luka lain yang lebih serius mungkin memerlukan rawatan dari pihak hospital.
Oleh itu, sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga khususnya menjadikan persekitaran rumah anda lebih selamat agar kejadian tidak diingini boleh dihalang.
”Sekiranya kecederaan yang dialami amat serius, ibu ayah perlu segera membawa anak bagi mendapatkan rawatan perubatan. Adalah penting untuk anda mempunyai sedikit pengetahuan bagi mengenal pasti tahap anak melecur,” jelasnya.
Sumber: Intan Fadilah, Harian Metro
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga: