Kehamilan mungkin satu-satunya masa di mana kita sebagai orang perempuan tidak bimbang sangat untuk makan banyak, yelah macam-macam mengidam kan. Namun apabila berat naik mendadak ketika hamil, memang doktor pun naik risau!
Perlu difahami bahawa kenaikan berat badan ketika hamil juga ada panduannya, tidak boleh main tambah sahaja berat badan dengan sesuka hati.
Ingat, anda makan untuk 2 orang itu adalah salah, sebenarnya lebih kepada anda perlu makan makanan berkhasiat untuk anda dan bayi.
Kenaikan ideal berat badan ketika hamil
Para doktor menyarankan yang jumlah kenaikan berat badan ketika hamil yang ideal adalah 11kg–16kg.
Secara ringkasnya, panduan untuk kenaikan berat badan selama kehamilan adalah seperti berikut:
- Kenaikan berat badan di trimester pertama bagi ibu hamil pada umumnya adalah 1-3 kg
- Pada 6 bulan selanjutnya kenaikan berat rata-rata adalah 0.5kg setiap minggu
- Ibu yang hamil bayi kembar perlu mendapatkan jumlah kenaikan berat badan sepanjang kehamilan antara 15kg hingga 20 kg.
Bahaya berat naik mendadak ketika hamil
Berat badan yang naik lebih daripada 1.5kg setiap minggu pada trimester 2 dan trimester 3 semasa kehamilan adalah tanda-tanda yang tidak sihat.
Menurut satu laporan dari Amerika pada November 2015, 47% para ibu di Amerika yang mengalami kenaikan berat badan berlebihan ketika hamil memiliki risiko masalah kesihatan sepanjang kehamilan dan selepas bersalin!
Berat naik mendadak ketika hamil boleh mengakibatkan masalah tersebut:
- Hasil USG yang kurang tepat. Jika anda berlebih berat badan dan memiliki terlalu banyak lemak dalam tubuh, doktor anda akan mengalami kesukaran untuk melihat keadaan bayi. Hal ini termasuklah kesukaran mengesan jika ada masalah pada janin selama kehamilan.
- Meningkatkan risiko obesiti dan diabetes pada anak. Kenaikan berat badan yang drastik ketika hamil boleh mengubah genetik bayi yang sedang berkembang dalam mengendalikan nafsu makan, metabolisme tubuh dalam menghadam lemak dan karbohidrat, dan proses metabolisme insulin.
- Cacat ketika lahir. Bayi yang lahir dari ibu yang obese akan berisiko tinggi untuk mengalami kecacatan ketika lahir, termasuk masalah jantung dan cacat sistem saraf.
- Bersalin pramatang. Semakin tinggi kenaikan berat badan ibu, semakin besar pula kemungkinan bayi lahir pramatang.
- Meningkatkan ketidakselesaan. Kelebihan berat badan akan menyebabkan segala ketidakselesaan ketika kehamilan, seperti sakit punggung, kebas kaki, terlalu penat untuk bersenam. Masalah lain termasuklah cram betis, pedih ulu hati, buasir dan sengal sendi.
- Tekanan darah tinggi. Mengalami hipertensi gestasional, yang biasanya didiagnosis pada pertengahan kehamilan, boleh menyebabkan komplikasi ketika bersalin.
- Preeklampsia. Preeklampsia boleh menyebabkan masalah pada hati dan ginjal, serta meningkatkan risiko masalah plasenta dan komplikasi lainnya.
- Diabetes Gestasional. Kelebihan berat badan ketika hamil akan meningkatkan risiko diabetes gestasional, yang boleh berlanjutan menjadi diabetes jenis 2 di kemudian hari.
- Bayi terlalu besar. Semakin banyak kenaikan berat badan anda, semakin tinggi kemungkinan bayi menjadi terlalu besar, atau makrosomia. Keadaan ini meningkatkan risiko bersalin dengan menggunakan forsep atau vakum. Juga meningkatkan risiko bersalin secara pembedahan caesarean.
- Obesiti dan isu kesihatan ketika tua. Ibu yang terlalu banyak mengalami kenaikan berat badan selama hamil dan tidak dapat menurunkannya dalam masa 6 bulan selepas bersalin akan memiliki risiko obesiti pada 10 tahun mendatang. Seterusnya, obesiti boleh menyebabkan masalahan kesihatan seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan sakit jantung.
Selain itu, penyelidikan yang dilakukan oleh University of North Carolina terhadap 600 ibu mengandung menunjukkan yang kenaikan berat badan berlebihan ketika hamil akan mengakibatkan proses bersalinyang lebih menyakitkan dan lama!
Teorinya adalah, proses bersalin yang lama pada ibu hamil yang mengalami kegemukan adalah disebabkan oleh lemak tambahan pada bahagian pinggul, yang menyebabkan pintu rahim sempit.
Ia ditambah lagi dengan kemungkinan mendapat bayi besar.
Maka, ibu tersebut perlu mengalami proses bersalin yang panjang dengan kontraksi yang lebih kuat agar bayi boleh keluar.
Jadi ibu-ibu sekalian, jaga berat badan anda ketika hamil agar ia tetap ideal sehingga hari bersalin ya.
Caranya adalah dengan mengambil diet yang berkhasiat dan sebaik mungkin, hindari dari memakan makanan dan minuman yang manis! Sesekali tak mengapa, tapi tak boleh selalu ya.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The Asianparent Malaysia
Baca juga: Ibu Ada Diabetes (GDM) Ketika Hamil, Adakah Mengancam Nyawa Bayi?