Masing-masing pastinya berhasrat untuk menziarahi keluarga dan saudara mara di kampung atau di bandar sepanjang musim perayaan ini. Dalam kemeriahan menyambut hari raya, jangan lupa juga menjaga adab beraya di rumah orang.
Gara-gara tidak tahu common sense atau beradab, anda bermasam muka dengan tuan rumah. Di sini kami kongsikan adab beraya sebagai tetamu supaya anda tidak melakukan perkara-perkara yang tidak disukai tuan rumah.
12 Adab Beraya Di Rumah Orang Sebagai Tetamu
1. Beritahu awal sebelum datang ke rumah
Walaupun Hari Raya Aidilfitri disambut selama sebulan, ia tidak bermakna kita boleh sesuka hati berkunjung ke rumah orang lain pada bila-bila masa mengikut masa kita. Seeloknya, beritahu awal sebelum kita menziarahi rumah mereka mungkin ada masa mereka juga tidak berkelapangan atau tidak bersedia menerima tetamu.
Tuan rumah juga perlukan masa untuk lakukan beberapa persiapan sebelum menerima tetamu seperti mengemas rumah dan menyediakan juadah jadi, elakkan datang mengejut ke rumah orang lain sesuka hati.
Di samping itu, anda sebagai tetamu juga apabila sudah berjanji mahu datang, pastikan datang. Tuan rumah mungkin sudah bertungkus lumus menyediakan juadah kerana seronok mahu menyambut tetamu.
2. Jaga kelakuan anak-anak kecil
Naluri semula jadi kanak-kanak ialah mahu meneroka benda baru, bermain dan berseronok malah ada sesetengah kanak-kanak juga sangat aktif jadi dalam hal begini ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk menjaga dan mengawal kelakuan mereka.
Ibu bapa teruja dapat menziarah rumah sanak-saudara atau kenalan, namun jangan sampai terleka sehingga membiarkan anak-anak melakukan perkara yang boleh menimbulkan ketidakselesaan pada tuan rumah.
Antara pesanan yang dikongsikan oleh pengguna Twitter adalah jangan sesuka hati masuk bilik tanpa kebenaran. Ada juga yang berkongsi pengalaman televisyen di rumah terjatuh dan kucing kesayangan mereka dilayan dengan lasak oleh anak tetamu.
3. Jangan buang sampah merata
Kalau makan kuih raya yang ada pembalut seperti paper cup dan sebagainya, jangan pula lepas makan kuih pembalutnya dimasukkan semula ke dalam balang atau buang merata-rata. Seeloknya, kumpul satu tempat dan minta izin untuk ke dapur bagi membuang sampah tersebut.
Ada juga yang pesan, jangan terus menghabiskan kuih dalam balang. Sekurang-kurangnya tinggalkan satu supaya mudah untuk tuan rumah kenal pasti kuih apa yang perlu diisi semula untuk dihidangkan kepada tetamu yang seterusnya.
4. Jangan membuka aib tuan rumah
Apa sahaja yang anda nampak, dengar atau berlaku di rumah orang yang dikunjung, jangan pula bercerita kepada orang lain.
Ini juga dikira sebagai hormat menghormati sesama manusia dalam menjaga privasi. Agama Islam juga menegaskan supaya aib orang jangan sesekali dibuka.
Oleh itu, jaga percakapan dan adab masing-masing. Sudah penat mengumpul pahala ketika bulan Ramadan, jangan pula kita menambah dosa dengan membuka aib orang lain.
5. Jangan sesuka hati cium anak kecil
Bila tengok telatah bayi pasti membuatkan kita berasa teruja untuk mencuit dan mencium pipinya. Sebaiknya, elakkan bersikap begitu ya.
Kita pun tidak tahu sama ada pakaian dari luar kita bersih atau tidak dan bebas dari asap rokok dan pencemaran yang mengundang bahaya kepada si manja.
6. Rajinkan diri basuh pinggan selepas makan
Sekiranya kita berkunjung ke rumah orang tua yang tinggal bersendirian, apa salahnya sekiranya kita ringan tulang untuk tolong menggangkat pinggan dan membasuhnya di dapur.
Tetapi, sekiranya tuan rumah tidak beri keizinan, cukuplah sekadar mengemas apa yang perlu.
7. Makan biar berpada
Tahu hidangan raya memang sedap tetapi jangan pula sedap makan sampai licin satu bekas! Kita kena beringat mungkin ada ramai lagi jemputan yang datang beraya selepas ini.
Sebaiknya makan biarlah berpada, kita pun ada banyak lagi rumah lain untuk berkunjung.
8. Jamah sedikit hidangan walaupun sudah kenyang
Kalau beritahu awal nak datang, selalunya tuan rumah dah siapkan juadah istimewa buat kita. Walaupun ia rumah yang terakhir, sebolehnya jamahlah sedikit walaupun sudah kenyang untuk mengambil hati tuan rumah yang sudah penat memasak di dapur.
9. Jangan merokok di kawasan berdekatan
Wujudkan ‘common sense’ dalam diri supaya bertanggungjawab untuk tidak merokok di luar rumah kerana tuan rumah atau tetamu lain mungkin mempunyai bayi atau anak kecil.
Asap rokok bukan sahaja boleh membahayakan kesihatan bayi, malah sistem pernafasan orang dewasa turut terganggu.
10. Jangan beraya sampai lewat malam
Tidak salah sekiranya kita datang dari jauh untuk beraya ke rumah sahabat handai tetapi jadi salah apabila kita berborak sampai lewat malam. Ahli keluarga tuan rumah pun nak tidur tau.
Kalau boleh adab beraya di rumah orang, hadkan waktu untuk beraya. Cukuplah sekadar 30 minit atau 1 jam untuk setiap rumah supaya tidak terlajak waktu.
11. Jangan buka sampul raya depan tuan rumah
Sebelum keluar beraya, pesan pada anak-anak jangan buka sampul raya depan tuan rumah takut anak mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati.
Sebaiknya, sediakan satu beg kecil untuk anda kumpul dan simpan sampul raya yang diberikan pada anak.
12. Elakkan bersembang berkaitan isu sensitiviti
Contoh soalan yang menyentuh sensitiviti orang lain ialah berkaitan rezeki, zuriat, perkahwinan, bentuk badan dan sebagainya.
Selagi apa sahaja keputusan yang dilakukan oleh orang lain dalam kehidupan mereka tidak menyentuh kehidupan anda, jangan mempersoalkan atau menegur secara berlebihan.
Sesetengah soalan yang ditanya mungkin kedengaran biasa-biasa sahaja bagi kita tetapi boleh mengguris perasaan tuan rumah tanpa kita sedar kerana kita tak tahu apa yang dilalui oleh mereka.
Namun begitu, setiap tahun ada sahaja diskusi berkaitan orang yang lebih berumur bertanya tentang soal jodoh dan zuriat.
Mungkin mereka hanya mahu bersembang sahaja, tetapi kita sebagai orang muda perlu menjawab dengan penuh rasa hormat. Meskipun tidak suka dengan soalan yang ditanya, jangan menjawab dengan biadap.
Contoh jawapan yang tidak mengguriskan hati sesiapa ialah “mungkin belum rezeki lagi, makcik dan pakcik doa-doakan lah ya.”
Semoga raya kali ini dapat mengubati kerinduan anda untuk menziarahi saudara-mara serta kenalan yang sudah lama tidak berjumpa.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga : Nak Beraya Dengan Anak, Kena Tahu Adab Bertamu Dulu! Jangan Sampai Tuan Rumah Tegur Anak Kita…
Baca juga : Ibu Ayah Wajib Ajar Anak Adab Di Meja Makan Sejak Bayi, Ini Sebabnya Menurut Pakar
Baca juga : Didik Anak Adab Terima Duit Raya, Jangan Didik Anak Jadi Pengemis Kata Ustaz Ini