Apabila kita mempunyai bayi baru lahir tentunya sebagai ibu kita akan mengorbankan masa tidur, waktu berehat dan masa menghadap telefon bimbit supaya si kecil dalam pangkuan mendapat perhatian yang secukupnya daripada ibu. Ini kerana, bayi baru lahir biasanya tidur terlalu lama di waktu siang manakala berjaga pada sebelah malam.
Akan tetapi bagaimana jika bayi tidur terlalu lama itu sebenarnya telah diberikan ubat batuk orang dewasa, tentunya anda akan marah, bengang dan tak puas hati, kan?
Ini yang berlaku kepada seorang ibu yang telah berkahwin selama 10 tahun dan dikurniakan tiga orang anak. Sementara, dia pula adalah suri rumah yang tidak bekerja selepas bersalin anak sulung.
Ikuti perkongsian dan pengalamannya yang berpantang dengan ibu mentua.
Masa berpantang macam-macam tak boleh buat!
Bukan kehendak saya untuk berpantang dengan mak mentua tapi selepas dipujuk oleh suami dan mak saya sendiri maka saya akur dengan alasan bahawa anak saya merupakan cucu sulung dalam keluarga mentua jadi saya mengalah jua.
Namun, dalam masa yang sama mak saya juga bimbang dan susah hati kerana sedia maklum dengan perkara yang mungkin akan berlaku.
Boleh dikatakan mak mentua saya ini seorang manusia yang suka berpura-pura dan betapa azab berpantang dengannya hanya Tuhan saja yang tahu.
Bayangkan selepas satu jam saya dibenarkan keluar dari hospital, mak mentua terus paksa suami bawa saya pulang ke kampung yang perjalanannya mengambil masa lebih kurang lapan jam!
Kami bertolak pulang ke kampung pada jam 9 malam dan sampai di sana lebih kurang jam 5 pagi. Semuanya di atas kehendak mak mentua yang suami sendiri takut untuk membantah. Sementara itu, dalam pantang pula saya tidak dibenarkan baring, tidak diberikan makanan berpantang, tidak diberikan mandian air panas atau air suam dan banyak lagi.
Anak tidur terlalu lama rupanya diberi makan ubat batuk dewasa!
Lebih mengejutkan, saya tidak diurut, tidak dipakaikan bengkung malah tidak juga ditungku. Alasan yang ibu mentua berikan kalau mandi air daun , badan akan berkerutu. Menurutnya lagi berurut pun tak siapa boleh urutkan. Manakala bengkung pula susah kalau nak menyusu. Tungku pula tak ada batu bertungku. Sedangkan sebelum bersalin, suami sudah siapkan segala kelengkapan ini.
Dari segi makanan pula, saya makan sama seperti orang lain seperti ikan bawal sambal, ayam kari dan telur. Jika saya tak makan, mak mentua akan perli dan tinggikan suara cakap dia anak lima pun berpantang dan makan semua yang dimasak itu elok saja sampai sekarang.
Pesan dia lagi dalam pantang jangan jaga makan kerana susu nanti tak ada zat. Jadi, mahu atau tidak saya menjamah sedikit dan kesannya saya BENTAN! luka bersalin pula bernanah dan suami hanya diamkan diri. Namun saya tidak salahkan dia seorang sahaja.
Sebabnya, saya tahu mak mentua sudah brainwash suami konon apa yang dia buat itu betul dan suami percaya bulat-bulat.
Tak cukup dengan itu, seminggu berpantang tiba-tiba mak mentua bawa balik botol susu dan susu tepung. Kemudian saya nampak dia bancuh dan terus susukan anak saya. Dia kata susu saya tak elok dan cair!
Bila saya tegur, mak mentua kata baru sorang anak memang macam itulah jaganya konon. Tak lama selepas itu anak saya batuk dan selsema. Keesokannya pula saya kena tinggalkan anak dengan mak mentua sebab kena pergi klinik untuk cek luka di bawah. Saya buat macam itu sebab dia tengah tidur dan dalam keadaan tak sihat jadi takut nak bawa dia keluar.
Namun selepas balik dari klinik, anak saya tidur dengan nyenyak sehingga malam tak minta susu. Bila mak mentua tengok saya usik anak suruh bangun hisap susu, mak mentua kata jangan kacau sebab dia dah beri makan ubat batuk pagi tadi sebab itu dia tidur. Allah…berderau badan bila dengar dan saya menangis sepanjang malam untuk kejutkan anak dan berharap tiada apa yang berlau.
Alhamdulillah akhirnya anak saya terjaga dan tiada apa yang berlaku dan sejak dari hari itu saya tidak bagi ibu mentua pegang anak.
Minta suami hantar pulang ke rumah keluarga
Kemudian saya minta berpisah dengan suami jika dia tidak bawa saya pulang ke rumah keluarga saya dengan segera. Akhirnya dia menurut kata dan sampai saja di rumah mak saya ceritakan apa yang terjadi dan barulah suami buka mata.
Sejak dari itu kami sama-sama gali ilmu tentang penjagaan dalam pantang. Jadi, anak nombor dua dan tiga saya berpantang sendiri dengan suami yang menjaga makan dan minum saya serta anak-anak. Sehingga kini hubungan saya dan ibu mentua tidak baik.
Namun saya maafkan apa yang telah dia lakukan namun saya tidak akan lupa apa yang telah dia buat pada si kecil kami.
Alhamdulillah saya bersyukur Allah masih sayangkan anak saya, harta di dunia dan akhirat saya.
Semoga ibu mentua saya terbuka hati untuk menjadi umat yang mentaati perintahNya.
Kesan diberi ubat terlalu awal kepada bayi bawah 6 bulan
Menurut petikan daripada Majalah Rapi, kanak-kanak lebih peka terhadap kesan ubat berbanding orang dewasa kerana fungi organ mereka masih belum matang.
Antara kesan buruk yang boleh berlaku akibat pengambilan ubat batuk dan selsema adalah seperti sawan, peningkatan kadar denyutan jantung, menurunkan paras kesedaran, kematian mengejut dan lain-lain.
Sebab itu, penggunaan ubat batuk untuk kanak-kanak di bawah umur dua tahun adalah tidak digalakkan kerana berisiko untuk kesan buruk yang tidak dijangkakan.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Apampink
Baca juga:
https://my.theasianparent.comubat-berbahaya-untuk-bayi