Walaupun bayi mempunyai raut wajah yang polos dan comel, tetapi mereka tidak ada kefasihan bahasa dan skil ini mula diterapkan ketika bayi di rumah. Jadi, inilah antara tips yang ibu dan bapa boleh gunakan untuk merangsang kefasihan bahasa si manja!
Kita semua pasti tahu akan kecomelan bayi, tidak kiralah mereka berumur beberapa bulan pun. Ini mungkin kerana mereka masih terlalu suci dan tidak tahu menahu tentang perkara-perkara yang memeningkan.
Bahkan, hendak berkomunikasi pun mereka tak reti!
Bagaimana Untuk Berkomunikasi Bagi Meningkatkan Kefasihan Bahasa Bayi Anda?
Namun, akan tiba masanya bila bayi kecil ini akan membesar dan perlu fasih dalam berbahasa untuk berkomunikasi. Setelah umur bayi semakin meningkat kepada seorang kanak-kanak, ia pasti akan mengutip skil berbahasa dari keadaan sekeliling, terutamanya di keliling keluarga.
Tanpa kefasihan dalam berbahasa, mereka akan menjadi serba kekurangan dan menghadapi masalah untuk meluahkan perasaan serta pemikiran mereka, dan ini akan membuatkan ibu bapa dan bayi tertekan oleh sebab ketidakhadiran komunikasi yang bagus.
Si anak tidak reti hendak meluah, dan si ibu bapa pula tidak faham kehendak anak. Stres!
Jadi, apa yang boleh anda lakukan dari sekarang untuk menjana dan membentuk skil mereka dalam sesuatu bahasa?
#1. Berikan tindak balas yang merangsang kepada bayi anda
Walaupun bayi anda masih terlalu kecil untuk bercakap, tetapi dia akan lebih peka dengan keadaan sekelilingnya dan kepada tindak balas yang anda beri.
Jadi, ia menjadi satu kepentingan untuk bayi anda tahu bahawa apabila dia membuat sesuatu bunyi atau isyarat, dia akan menerima tindak balas dengan pantas. Ini meyakinkan bayi anda bahawa komunikasinya efektif, lalu mendorongnya untuk teruskan belajar untuk berkomunikasi.
Jika bayi anda melambai-lambaikan tangannya kepada anda, dukung lah dia. Jika dia menatap mata anda, tatap semula matanya dan bercakap dengan dia secara lembut dan perlahan.
Secara tidak langsung, ini juga akan turut mencetuskan satu perhubungan antara ibu dan anak yang sangat kuat dan berkekalan.
#2. Teruskan berbual dengan bayi anda sebanyak mungkin
Sumber gambar: Healthline
Walaupun bayi anda masih terlalu kecil untuk bercakap dan menjawab soalan anda, tidak mengapa. Teruskan sahaja. Beri dia masa untuk memberi maklum balas dengan caranya yang tersendiri.
Contohnya, apabila waktu makan, suruh lah bayi anda pilih pinggan mana yang dia suka. Jika dia menuding jari atau melihat ke arah pinggan yang berwarna merah, senyum dan bagitahu dia yang dia telah memilih pinggan berwarna merah itu. Beritahu juga pada dia apa makanan yang disediakan—sama ada manis, masam, dan sebagainya. Ini membolehkan anak anda mengaitkan antara makan dan juga rasa.
Lama-kelamaan, dia akan mula faham dan tahu membezakan maksud sesuatu perkataan itu. Dia juga akan pandai berinteraksi seawal usia 3 bulan.
Dia akan faham yang komunikasi memerlukan respons dari kedua-dua belah pihak. Jadi, dia akan belajar untuk menunggu maklum balas dan juga memberi maklum balasnya yang tersendiri. Ini juga melatih anak anda peradaban apabila berkomunikasi, iaitu dia harus menunggu gilirannya untuk bercakap dan juga memberi orang lain peluang untuk memberi pendapat.
Kami juga pernah berkongsi tips untuk meningkatkan penggunaan bahasa kepada anak anda di sini.
#3. Bercerita dengan bayi anda sambil menjalankan rutin harian anda
Kajian menunjukkan bahawa bilangan perkataan dan kualiti sesuatu bahasa yang didedahkan kepada kanak-kanak semasa tiga tahun pertama akan mempunyai kesan kepada perbehendaraan kata kanak-kanak tersebut sekitar umur empat tahun ke atas.
Jadi, cara terbaik untuk mendedahkan bayi anda kepada sesuatu bahasa adalah dengan percakapan yang konsisten sambil melakukan rutin harian. Kalau anda sedang melipat kain, bercerita lah kepada bayi anda seperti, “Ibu tengah lipat kain ni!” atau jika anda sedang memasak, “Ibu tengah masak bubur nasi. Sedap tak bau?”
Ini dapat membantu bayi anda mengaitkan perkataan dengan perbuatan. Perlahan-lahan, ia akan menjadi lebih mudah untuk bayi anda memproses informasi serta rangsangan daripada keadaan sekelilingnya.
Jika anda sibuk bekerja, maka memadailah dengan memasang kartun berunsurkan pendidikan untuk ditonton oleh anak anda. Ini juga sudah boleh merangsangkan pemikiran mereka dan mendedahkan mereka kepada banyak perkataaan-perkataan baru.
#4. Membaca bersama-sama bayi anda
Luangkan masa untuk membaca buku bersama-sama dengan bayi anda; mungkin sebelum tidur, semasa menunggu bas, mahupun selepas makan.
Peluk anak anda dan baca kepadanya dengan nada yang ceria supaya dia berasa seronok dan teruja. Jangan lupa untuk teruskan berkomunikasi dengan anak anda—tunjukkan dia gambar-gambar yang menarik dan ceritakan juga tentang warna dan apa yang sedang dilakukan oleh karakter di dalam gambar tersebut.
Jika anad mahukan anak anda fasih berbahasa Inggeris, membaca buku cerita yang menggunakan bahasa Inggeris adalah cara yang sangat bagus untuk anak lebih mengutip skil berbahasa Inggeris.
Ingat, bangsa yang membaca adalah bangsa yang berjaya!
#5. Gunakan sebutan yang betul
Memang tak dinafikan bahawa lagi comel dan mungkin mudah difahami bagi si manja jika kita menyebut “mamam” jika dibandingkan dengan “makan”, atau “miau” dengan “kucing.”
Namun begitu, sebagai ibu bapa, kita tidak boleh membiasakan anak kita bercakap pelat.
Percakapan yang pelat boleh menghindari anak kita daripada bercakap secara matang dan efektif. Mereka juga mungkin akan terikut-ikut, menjadikan ini suatu kebiasaan yang sukar diubah apabila sudah menginjak dewasa nanti.
Anggap lah macam kita sedang bercakap dengan orang dewasa. Justeru, anak kita juga akan cepat berfikir macam dewasa dan memperoleh tahap IQ yang tinggi.
#6. Bawalah bayi anda berkenal-kenalan dengan bayi lain
Sumber gambar: Mom.com
Playdates atau playgroups sangat berkesan untuk membina kefasihan dan kefahaman bayi anda dalam berbahasa. Lebih banyak orang yang dia jumpa dan berkenalan, makin tinggi lah tahap kosa-katanya.
Ia juga akan membiasakan bayi anda berkomunikasi secara efektif dengan orang daripada pelbagai bahasa dan bangsa. Ini juga dapat membantu bayi anda meluaskan pergaulannya dari kecil.
Setiap bayi dilahirkan berbeza dan mempunyai langkahnya yang tersendiri. Justeru, jangan risau jika bayi anda lambat bercakap atau kurang berkomunikasi berbanding dengan bayi lain. Teruskan bercakap dan berkomunikasi dengan bayi anda setiap hari.
Anda akan dapat melihat perubahannya sedikit demi sedikit. Banyakkan bersabar dan teruskan berusaha.
Dan waktu yang paling seronok akan tiba dimana anak anda akan pandai mengucapkan “mama” atau “papa.”
Selamat mencuba!
Sumber: Zero to Three
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca Juga: Ini Cara Untuk Membantu Anak Kecil Bercakap Dengan Cepat