Anda pasti pernah mengalami detik tantrum, meragam dan perangai buruk si anak, kan? Apakah agaknya tip menangani anak nakal yang boleh anda cuba untuk menangani ragam si anak ini?
Sudah puas anda menasihatnya, namun dia masih dengan perangai keras kepala itu. Tantrum ditunjukkan di tengah-tengah shopping mall, dalam LRT, atau ketika anda sibuk menghadiri kenduri!
Kita mungkin rasa dia bad mood, tapi kalau dia sering menunjukkan perangai sebegini setiap kali tidak dapat apa yang diingini, mungkin ia sebenarnya berpunca daripada kita.
Mungkin, kita ada lakukan 10 kesilapan berikut yang hanya menyebabkan si kecil anda menjadi semakin nakal dan suka melawan kata.
10 kesilapan ibu ayah dan tip menangani anak nakal
Seorang DJ Radio Shan Wee yang ada 2 cahaya mata menyebut ibu ayah tidak sepatutnya sering dipersalahkan apabila anak mereka nakal.
Kanak-kanak berusia bawah 4 tahun memang cenderung buat perangai dan meragam.
Tapi ada masanya, kita sebagai ibu ayah perlu melihat diri sendiri dan menilai cara kita mendidik mereka. Mungkin kita ada lakukan antara 10 kesilapan berikut.
1. Menurut permintaan anak yang meragam
Bayangkan senario ini – anda berada di restoran dan anak anda baru lepas makan kek. Kini, dia mahu aiskrim pula. Anda menolak permintaannya kerana dia sudah makan terlalu banyak dessert.
Si kecil pun meragam bagai nak rak dan menangis sambil hentak-hentak kaki. Orang lain di meja berhampiran mula memandang anda. Disebabkan anda sendiri belum selesai makan dan tak berdaya nak melayan kerenah si kecil, anda pun memberinya aiskrim.
Kenapa ini adalah satu kesilapan: Dengan menurut permintaan anak anda, terutamanya ketika dia sedang tantrum, ia hanya akan mengajar si kecil anda perkara ini:
Ibu ayah saya akan turut saja apa yang saya mahu jika saya menangis, meragam, dan menjerit!
Menurut Dr. Vasco Lopes, ini digelar “perangai yang dipelajari“. Ia menyebabkan si kecil bersikap nakal, semata-mata untuk menarik perhatian ibu ayah dan memaksa mereka memenuhi permintaannya.
2. Terlampau melindungi anak-anak
Sebagai ibu ayah, kita memang terasa mahu melindungi anak kita dari segalanya.
Namun, ada ketikanya, kita berlebih-lebih dalam melakukannya. Kita akan masuk campur dalam segala hal yang terjadi pada anak kita; merasakan yang si kecil kita tidak berdaya untuk menghadapi dan menanganinya.
Kenapa ini adalah satu kesilapan: Ibu ayah yang mengamalkan gaya keibubapaan sebegini dipanggil “Ibu bapa helikopter“.
Ia akan menghalang anak daripada jadi berdikari, belajar daripada kesilapan dan tidak mahir menyelesaikan masalah sendiri.
3. Marah acah-acah
Katakanlah anak anda sedang melukis dan dia kemudiannya gatal tangan dan mula menconteng lantai, meja atau dinding.
Anda pun menegurnya supaya melukis pada kertas dan jika dia terus menconteng, anda akan ambil pensil di tangannya.
Si kecil anda buat tidak tahu dan berterusan menconteng dinding. Anda terfikir untuk mengambil pensilnya tapi kemudian hanya mengeluh dan membiarkan saja si kecil anda itu.
Kenapa ia adalah satu kesilapan: Anak anda tidak akan memandang serius teguran anda jika anda terus menegur tanpa melakukan amaran denda yang anda katakan.
Dr. Hansa Bhargava, seorang pakar kanak-kanak dari Amerika Syarikat, ada menjelaskan tip menangani anak nakal:
“Anak kecil boleh membezakan antara amaran kosong dan amaran denda yang benar-benar akan berlaku. Kita sayangkan anak-anak kita dan kita mahu yang terbaik buat mereka. Jadi, ia amat penting untuk kita penuhi amaran denda yang kita sebutkan padanya!”
4. Asyik memuji-muji anak
Kita mahu membina keyakinan diri anak. Maka, kita berikan mereka puji-pujian tanpa henti.
Kenapa ia satu kesilapan: Apabila kita memberikan pujian kosong yang berlebihan, ia sebenarnya hanya akan membuatkan si kecil besar kepala. Dia akan merasakan dirinya sentiasa hebat dan betul.
Sehingga akhirnya, dia membina sikap nakal yang tidak lagi dapat dikawal. Cuba tip menangani anak nakal ini: Pujian memang boleh diberikan, namun ia perlu diikuti dengan teguran yang membina.
5. Biar anak kita jadi “boss”
Anda menggelarkan anak “intan payung” dan “pengarang jantung”. Anda lakukan segalanya untuk si kecil itu.
Tugasan mudah seperti membawa pinggan ke sinki selepas makan pun tidak diizinkan oleh anda untuk anak buat. Anda hanya mahu si manja gembira dan mempunyai kehidupan yang mudah.
Ini sebenarnya hanya akan membawa kepada sikap tidak berdikari dan suka bergantung pada orang lain!
Kenapa ia satu kesilapan: Anak kecil yang dididik dari kecil yang ibu ayah akan sentiasa memenuhi permintaan dirinya akan menyebabkan anak itu membesar menjadi seorang insan yang besar kepala.
Dia merasakan dirinya seorang tuan yang perlu sentiasa dilayan. Jika anak membesar sebegini dan mula berperangai nakal, anda perlu mengubah cara.
Tip menangani anak nakal yang kami sarankan adalah: Tunjukkan kepadanya yang seorang anak perlu rajin membantu, pandai menguruskan diri sendiri, bersikap rendah diri, dan saling menolong orang lain.
Dan, bukannya berlagak seperti seorang “boss”.
6. Biar anak bercakap kasar dan biadap
Adakah anda sering membiarkan anak anda bercakap kasar dengan anda? Memukul anda? Menendang kaki anda dan menarik rambut atau tudung anda?
Kenapa ia satu kesilapan: Antara tip menangani anak nakal adalah anda perlu memberikan nasihat dan teguran serius yang berterusan.
Membiarkan anak anda bersikap kasar pada ibu dan ayahnya hanya akan membuatkan dia berasa yang apa yang dilakukannya itu adalah perkara yang betul.
7. Asyik menyalahkan orang lain
Pada mata anda, anak tidak pernah buat salah. Anda akan cepat menyalahkan orang lain apabila seseorang menegur anak.
Jika guru di sekolahnya menyatakan yang dia tidak memberi perhatian dalam kelas, anda menyalahkan guru pula dengan mengatakan yang dia seorang guru yang membosankan dan tidak pandai mengajar.
Atau, apabila anda membawanya bermain di taman dan dia tidak mahu berkongsi mainan, anda segera meluru dan memarahi kanak-kanak lain.
Kenapa ia satu kesilapan: Dengan kesilapan ini, anda hanya akan memberikan kemudaratan berbanding manfaat pada anak.
Dia tidak akan dapat belajar yang setiap kesilapan ada akibatnya. Kenapa? Kerana anda sering menafikan kesalahan pada perbuatan anak.
8. Terlalu ingin jadi kawan dengan anak
Anda ingin jadi ibu ayah yang “cool”. Jadi, anda cuba berperangai seperti seorang kawan kepada anak. Untuk anak remaja, ya, ia adalah antara tip menangani anak nakal yang baik.
Dengan bersikap seperti seorang rakan kepada anak remaja, dia akan lebih mudah untuk rapat dan berkongsi masalah dengan anda. Namun, untuk anak kecil kecil yang sedang membesar, ia bukan langkah yang bijak!
Kenapa ia satu kesilapan: Anak kecil anda sudah ada ramai kawan, anda tidak perlu jadi salah seorang daripadanya.
Apa yang anak anda perlukan adalah orang dewasa yang matang dan dapat menunjukkan padanya apa yang betul dan apa yang salah.
Menurut seorang pekerja sosial veteran, Janet Lehman, MSW,:
“Tugas kita sebagai ibu ayah adalah untuk mendidik, melatih, dan memberikan anak kita kesan atau akibat apabila mereka berperangai nakal. Jika anda menjadi rakannya sejak dari mula, dia hanya akan memijak kepala anda. Anda tidak lagi mampu untuk mendidiknya.”
9. Membuat alasan untuk anak
Apabila anak anda meragam dan berperangai nakal, adakah anda selalu cuba membuat alasan untuknya? Mungkin dia bosan, mengantuk, lapar…
Mesti dia ada sebab mengapa dia menunjukkan tantrum di tempat yang sedang penuh dengan ramai orang, kan?
Kenapa ia satu kesilapan: Sebenarnya, selepas anak anda berusia 4 tahun dan masih menunjukkan tantrum atau bersikap nakal, anda perlu risau tentang sikap ini.
Sepatutnya, semakin bertambah usia, anak anda perlu jadi semakin matang. Anda patut boleh berbincang secara baik dengannya dan dia tidak menunjuk sikap seperti anak kecil.
Jika ia masih berlaku selepas usia 4 tahun, antara tip menangani anak nakal adalah: anda perlu menegur dan mula mendidik anak secara serius supaya menjadi lebih matang sesuai dengan usianya.
10. Beranggapan yang anak kecil memang nakal
Anak kecil memang nakal, kan? Mereka masih kecil dan tidak tahu apa yang dilakukannya itu adalah salah.
Anda menganggap yang dia akan menukar sikapnya dengan sendiri tanpa anda perlu menegur dan memperbetulkannya.
Kenapa ia satu kesilapan: Kajian ada menunjukkan yang anak kecil yang nakal akan membesar menjadi orang dewasa yang biadap.
Ia juga boleh menyebabkan kesan berikut:
- Tidak matang daripada segi emosi
- Tidak mampu menyelesaikan masalah sendiri
- Tiada motivasi diri
- Sentiasa menyendiri dan tidak gembira
Ibu ayah, antara tip menangani anak nakal yang terbaik adalah dengan mengikut kata hati anda.
Jika anda merasakan yang anak anda mula berperangai tidak baik, kita perlu segera mengambil langkah untuk memperbetulkan sikap dan mendisiplinkan dirinya.
Anda kenal siapa diri anak anda, ambillah langkah penyelesaian yang terbaik dan sesuai untuk dirinya.
Adakah anda setuju yang kesilapan ibu ayah adalah antara penyebab mengapa anak menjadi nakal?
Atau adakah anda merasakan yang perangai nakal tidak dapat dielakkan dan anak boleh membina perangai sedemikian melalui pengaruh lain? Jom berkongsi pendapat di ruangan komen ya.
Terjemahan daripada theAsianparent Singapore
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
Anak anda selalu buat perangai? Ikutlah cara berkesan Kristen Bell ini!