Tip Menjadi Suami yang Hebat – Nasihat Dari Seorang Lelaki kepada Seorang Lelaki

lead image

Anda ingin menjadi suami yang terbaik kepada isteri anda? Jom ambil kata-kata nasihat dari lelaki ini, yang juga seorang suami dan ayah. Dia ada memberikan tip menjadi suami yang hebat. Nak tahu apa nasihatnya? Jom baca dengan lebih lanjut!

Menjadi seorang suami dan ayah pada masa yang sama bukanlah satu perkara mudah. Apatah lagi mahu menjadi suami dan ayah yang hebat – yang dapat memberikan kasih sayang, sokongan dan didikan yang terbaik buat isteri juga anak-anak.

Mungkin, apabila anda, para suami, mendengar nasihat atau tip menjadi suami yang hebat dari seorang insan yang sama jantina dengan anda, anda akan menjadi lebih terinspirasi.

Tular Seorang Bapa Menidurkan Anak Ketika Isterinya Sedang Tidur

Baru-baru ini, tular satu gambar seorang suami yang sedang menidurkan anak lelaki di atas dadanya (perhatikan juga hubugan dari kulit-ke-kulit antara bapa dengan anak ini!) sementara si isteri pula tertidur kepenatan di sebelahnya.

Dalam caption gambar tersebut, si suami ini juga telah memberikan kata-kata mantra buat para suami di luar sana: jadilah suami impian isteri anda!

Lelaki ini bukan sebarang lelaki. Beliau, yang tidak diketahui namanya, merupakan seorang bekas pesakit kanser testis.

Atas cabaran dalam hidupnya serta melihat susah payah isterinya mengandung dan melahirkan anak sulung baru-baru ini, iaitu seorang bayi lelaki, beliau telah memberikan satu tip menjadi suami yang hebat kepada para lelaki di luar sana.

“Lelaki sejati akan menjaga anak mereka sementara isteri mereka mendapatkan sebanyak mana rehat dan tidur yang dia perlukan. Mereka telah melalui pelbagai kesusahan (ketika mengandung). Bertabahlah dan jadilah suami impian mereka!”

Jerit-Perih Menjaga Anak dan Menguruskan Hal Rumah Tangga

Para suami sekalian, kadangkala, kita merasakan yang isteri kita telah berehat atau cukup tidur ketika menjaga anak di rumah.

Namun, pernahkah anda cuba untuk menggantikan tempat isteri anda untuk sehari? Berapa banyakkah masa untuk anda berehat?

Sebenarnya, dari mata kasar, tugas menjaga anak memang nampak senang. Pada pandangan anda, ia tidak sesukar menguruskan isu atau hal di pejabat.

Tetapi, ketahuilah, anak kecil menuntut banyak masa dan tenaga daripada mereka yang menjaganya. Ketika si kecil bangun dan berjaga, mereka perlu disusu, didodoi, diberi makan, dilayan, dan dimandikan.

Ketika si kecil tidur pula, para ibu terpaksa mengejar masa untuk menguruskan anak-anak yang lain (jika ada abang dan kakak sulung).

relationships household choresistockapril Tip Menjadi Suami yang Hebat – Nasihat Dari Seorang Lelaki kepada Seorang Lelaki

Source: Todaysparent.com

Malah, siapa lagi yang mahu menguruskan hal rumah jika tiada pembantu atau bibik? Sudah tentu, ketika bayi tidur, pada waktu inilah si ibu akan berhempas pulas menyiapkan urusan rumah tangga yang tertangguh.

Baju perlu dibasuh, disidai, diangkat dan dilipat. Dan, anda perasan tak? Itu baru isu baju. Makanan perlu disedia, dimasak dan dihidangkan. Bilik dan ruang tamu perlu disapu, dimop, dan dikemaskan.

Apabila anda pulang pula, segala keperluan anda, wahai suami, perlu diuruskan.

Begitu jugalah yang dirasai oleh isteri yang bekerja di siang hari dan pada waktu malam, masih perlu menjaga dan menguruskan hal rumah.

Tetapi, Isteri Saya Tidak Nampak Penat Pun?

Oran tua-tua kata, “alah bisa, tegal biasa.”

Mungkin rutin harian mereka telah menjadikan para isteri biasa dengan keadaan dan hal yang sibuk sebegitu.

Percayalah, walaupun isteri anda seperti berehat-rehat atau kelihatan tidak penat apabila anda balik ke rumah, mereka sebenarnya amat kepenatan selepas seharian ‘duduk’ di rumah.

Jadilah Suami Impian Kepada Isteri Anda

man helping with the dishes Tip Menjadi Suami yang Hebat – Nasihat Dari Seorang Lelaki kepada Seorang Lelaki

Source: Newlovetimes.com

Mungkin atas kesedaran inilah, si bapa yang tular dalam kisah di atas mengajak para suami di luar sana supaya menjadi suami impian para isteri – suami yang memahami keperluan dan keinginan seorang wanita.

Kadangkala, anda tidak perlu membeli barang semahal intan permata sebagai tanda penghargaan, cukuplah dengan memberikan isteri anda sedikit ruang untuk berehat.

Malah, dengan bantuan yang anda berikan kepada isteri anda dalam hal menjaga anak-anak atau menguruskan urusan rumah, isteri anda pasti akan terus menjadi wanita yang bahagia dalam perkahwinannya!

Jadi, jom kita jadi suami hebat dan suami impian isteri kita – pahala kita dapat, isteri pun bertambah gembira!