Tak sabarnya nak balik kampung, bukan selalu dapat cuti panjang barulah puas dan hilang rasa penat memandu berjam-jam lamanya di lebuh raya. Berikut merupakan tips balik kampung dengan lancar dan selamat yang boleh dijadikan sebagai panduan.
12 Tips Balik Kampung Dengan Lancar Dan Selamat
1. Pastikan Kenderaan Dalam Keadaan Baik
Sentiasa pastikan kenderaan dalam keadaan yang baik dengan melakukan pemeriksaan secara menyeluruh bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
Kenderaan yang telah diselenggara dengan baik dapat mengurangkan risiko kemalangan atau kerosakan sepanjang perjalanan.
2. Rancang Perjalanan Lebih Awal
Apabila anda merancang untuk bercuti panjang sempena perayaan atau cuti sekolah, pastikan anda sudah mempunyai perancangan yang rapi.
Biasakan merancang waktu bergerak dari lokasi dan jangkaan waktu tiba ke destinasi, laluan alternatif yang boleh digunakan sekiranya berlaku kesesakan dan kenal pasti kawasan rehat dan rawat.
Jika merancang untuk memandu pada waktu malam, pastikan mendapat rehat yang secukupnya.
3. Periksa Keadaan Laluan Jalan Raya
Sebelum memulakan perjalanan jauh, periksa keadaan laluan jalan raya termasuklah menyemak ramalan cuaca pada hari tersebut.
Pastikan laluan tersebut tidak ditutup ekoran kemalangan atau berlaku bencana, tidak diselenggara atau mempunyai kerja pembinaan terutama di kawasan hotspot.
Penting untuk mendapatkan informasi semasa melalui media sosial, radio atau televisyen.
4. Patuhi Peraturan Jalan Raya
Sebagai pemandu anda bertanggungjawab untuk mematuhi peraturan jalan raya terutama had laju yang ditetapkan untuk keselamatan diri dan keluarga selain elak disaman.
Anda boleh semak saman trafik dan senarai lokasi AES melalui aplikasi Waze.
5. Caj Telefon Bimbit & Data
Kini, ramai yang menggunakan aplikasi pemanduan untuk mencari alternatif terbaik sepanjang perjalanan. Jadi, bateri telefon bimbit dan data internet sangat penting untuk memudahkan perjalanan balik kampung dengan lancar dan selamat.
Sediakan satu powerbank di dalam kereta supaya mudah untuk mencapainya jika perlu.
6. Muat Turun Aplikasi Navigasi/Peta
Sesetengah tempat mempunyai capaian internet yang lemah, lebih baik muat turun lebih awal peta secara offline supaya anda boleh menggunakannya biarpun tiada penggunaan internet.
7. Tambah Nilai Kad Touch N Go
Tidak kiralah sama ada anda menggunakan kad Touch N Go atau RFID atau Smart Tag, pastikan anda sudah siap mengisi semula dengan jumlah yang mencukupi.
Sekarang Touch N Go dah dilengkapi dengan PayDirect dan RFID yang boleh dihubungkan secara terus melalui aplikasi eWallet, jadi lebih mudah untuk tambah nilai.
8. Bawa Dokumen Penting
Bawa bersama dokumen atau barang penting seperti kad pengenalan, lesen memandu, insurans kereta dan sebagainya apabila pulang ke kampung.
Sekiranya berlaku apa-apa kemalangan sekurang-kurangnya pihak berkuasa boleh mengetahui identity melalui dokumen yang dibawa.
Oh ya, ibu mengandung juga jangan lupa bawa buku pink bersama terutama yang sedang sarat mengandung bagi memudahkan proses menyelamat sekiranya perlu.
9. Sediakan Kit Kecemasan
Yang selalu orang terlupa adalah menyediakan kit kecemasan di dalam kenderaan. Pastikan anda bawa sekali lampu suluh, tayar ganti atau pemadam api yang boleh membantu jika berlaku apa-apa di atas lebuh raya.
Bukan itu sahaja, anda juga boleh gunakan kesempatan untuk menolong orang yang memerlukan.
10. Bawa Bekal
Pastikan bawa bekal makanan dan minuman yang mencukupi terutama jika anda mempunyai anak kecil. Sekiranya kita tersangkut dalam kesesakan lalu lintas yang teruk, sekurang-kurangnya kita mempunyai bekalan untuk mengalas perut yang kosong sekaligus dapat memberikan tenaga.
11. Bawa Wang Tunai Secukupnya
Bawa wang tunai secukupnya bagi tujuan kecemasan untuk membeli barang keperluan atau mengisi minyak semasa perjalanan.
Elakkan berhenti di mana-mana kawasan yang mencurigakan dan sentiasa kunci pintu kereta supaya tidak menjadi mangsa rompakan.
12. Gunakan Lorong Kecemasan Bila Perlu
Jangan tersalah sangka bahawa lorong kecemasan merupakan cara untuk anda cepat sampai ke destinasi. Sebaliknya, gunakan lorong kecemasan sekiranya anda betul-betul perlu menggunakan untuk kecemasan.
Janganlah bersikap pentingkan diri dan hormati pengguna jalan raya yang lain. Mereka juga sama seperti anda mahu sampai ke destinasi dengan lancar dan selamat.
Semoga tips ini dapat membantu anda untuk menikmati perjalanan dengan lebih mudah dan seronok.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Senang Rupanya Kembara Ke Kampung Dengan Anak Kecil, Ikuti Tips Mudah Ini
Baca juga: Drive Sendiri Balik Kampung Dengan Anak, Ibu Ini Kongsi 8 Tips Jalan Jauh Dengan Tenang
Baca juga: Nak Balik Kampung? Ini 5 Barang Wajib Ada Untuk Si Manja Anda