Menjadi ibu ayah yang terbaik bukanlah perkara yang mudah. Oleh kerana segala tanggungjawab membesarkan anak-anak berada di atas bahu anda, pastinya anda dan pasangan berusaha mengikuti segala tips keluarga bahagia.
Bagi menambat hati anak-anak, anda sesekali boleh memenuhi keperluan anak-anak dengan membelikan buku atau permainan kegemaran mereka.
Dalam hal ini, sekiranya mereka tidak meminta perkara yang memudaratkan, anda boleh bertolak ansur untuk membelikan kepada mereka.
Tips keluarga bahagia
Sedar ataupun tidak, jika anda bersikap murah hati dengan isteri dan anak-anak, ia sebenarnya memberikan impak positif dalam keluarga sehingga dikurniakan rezeki yang melimpah.
Menurut sebuah perkongsian Zul Fikarullah, dia mengatakan isterinya pernah menasihatinya mengenai tips keluarga bahagia.
Ia berkaitan dengan tidak terlalu berkira dengan keluarga sememangnya berupaya mencorakkan kegembiraan buat seisi keluarga.
Sekiranya anda merasakan ingin makan sesuatu, gunakan sahaja duit yang ada untuk mendapatkannnya.
”Duit boleh cari yang lain tapi belum tentu hari esok kita masih hidup.” kongsinya. Tambahnya, jika anak-anak meluahkan untuk makan sesuatu, usahakan untuk memenuhi kehendak mereka.
Memang normal bagi anak-anak yang makin membesar mempunyai pelbagai ragam selera makan.
”Selagi anak sihat dan berselera untuk makan, penuhi keinginan mereka kerana setiap rezeki datangnya dari Allah,” pesan isterinya.
Bukan itu sahaja, aspek melayan tetamu juga diberikan perhatian agar setiap saudara mara yang datang melawat dari jauh, jangan ‘ketar tangan’ untuk membelanjakan mereka makanan sedap.
Perlu ingat bahawa mereka bukannya datang menziarahi selalu, tidak salah anda memberikan layanan yang baik buat mereka kerana tetamu juga datang membawa rezeki.
Ujarnya sebagai seorang lelaki, dia mengakui bahawa dirinya sendiri seorang yang berjimat cermat ketika berbelanja.
Boleh dikatakan bahawa dia amat kedekut dan dengan diri sendiri juga berkira. Namun, dia bersyukur memperoleh seorang isteri yang sangat pemurah.
”Duitnya sering dibelanjakan kepada orang lain berbanding untuk dirinya. Kini saya sendiri melatih diri untuk menikmati setiap detik kehidupan,” ujarnya.
Duit suami untuk isteri dan anak-anak
Selepas menyedari akan kesilapannya, apabila terdetik sahaja untuk merasai sesuatu hidangan, dia akan mendapatkannya tanpa berfikir panjang.
Bukan itu sahaja, tips keluarga bahagia yang diamalkan ialah dengan meluangkan waktu lapang mengajak anak-anak keluar ‘makan angin’.
Kebiasaannya setiap percutian memerlukan bajet yang lebih. Namun, untuk memastikan segalanya baik-baik sahaja, anda perlu melawan perasaan resah gelisah memikirkan duit yang habis.
Dalam hal ini, sentiasalah bersangka baik dengan setiap perjalanan kehidupan.
”Setiap kali hati saya berasa resah, saya terus membayangkan wajah cinta hati dan ingat kembali setiap kata-katanya tentang rezeki hanya Allah yang bagi. Jadi usah takut,” katanya.
Di sebalik seorang lelaki yang berjaya, akan ada seorang wanita hebat yang memberikan sokongan dibelakang anda.
Selain itu, tips keluarga bahagia memerlukan anda untuk menurunkan ego untuk menerima setiap input pesanan yang baik diberikan oleh pasangan bagi mengubah ke arah yang lebih baik.
”Saya sendiri bukan suami yang hebat. Masih banyak kelemahan yang ada pada diri yang kini saya berusaha untuk memperbaikinya,” ujar Zul Fikarullah.
Dia juga berkongsi mengenai pesanan Imam Ghazali bahawa rezeki seseorang terbahagi kepada tiga iaitu:
#1. Apa yang dimakan
#2. Apa yang disedekahkan
#3. Apa yang dipakai
Sebenarnya, inilah rezeki anda. Duit simpanan yang sudah sekian lama anda kumpul belum tentu akan menjadi rezeki buat diri sendiri.
”Kita hanya tolong menyimpan duit sahaja. Ia mungkin rezeki seorang mekanik, rezeki doktor ataupun rezeki anak-anak,” ujarnya.
Elak terlalu berkira
Dalam hal ini sebagai seorang suami, anda perlu mengelakkan terlalu berkira dengan anak dan isteri kerana setiap kejayaan yang diperoleh pada waktu ini berkait rapat dengan mereka.
”Setiap iringan doa seisi keluarga buat anda akan memudahkan setiap perjalanan hidup. Ia menjemput setiap perkara baik dari arah disangka-sangka untuk anda,” kongsinya.
Dalam pada itu, jangan mengetepikan kebajikan ibu ayah yang telah berjaya membesarkan anak-anak.
Jika tidak mampu memberi banyak, cukuplah anda memberikan mereka sedikit wang agar mereka juga dapat merasai hasil titik peluh anda.
”Sememangnya pengorbanan mereka tidak dapat diganti dengan wang ringgit. Biarpun anda boleh membalas jasa mereka, namun ia tetap tidak akan sama,” ujar Zul Fikarullah.
Sebagai seorang lelaki yang sejati, anda perlu sedar bahawa senyuman dan kegembiraan ahli keluarga bukanlah sesuatu nikmat yang boleh diperoleh melalui wang ringgit.
Sementara masih ada peluang, bahagiakanlah semua orang yang masih berada di sisi anda kerana kita tidak akan tahu waktu mereka akan meninggalkan kita di dunia ini.
Sumber: Zul Fikarullah
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga: