Scan Melalui Faraj @ TVS Semasa Hamil Amat Penting, Ini Prosedur Perlu Ibu Tahu!

Scan melalui faraj sewaktu mengandung mempunyai beberapa tujuan tertentu. Pada minggu awal kehamilan, ia dikatakan lebih berkesan bagi melihat kantung bayi

Kadang-kala semasa kehamilan anda, doktor anda akan mencadangkan supaya anda melakukan pemeriksaan ultrasound vaginal, ataupun scan melalui faraj.

Ultrasound melalui faraj adalah ujian yang menggunakan gelombang bunyi frekuensi tinggi (ultrasound) untuk mengeluarkan gambar organ dalaman anda.

Baca juga: Tiap Kali Scan Bayi Selalu Sorokkan Jantina? Rahsianya Ibu Kena Minum Banyak Air Kosong!

Apakah itu scan melalui faraj atau transvaginal scan (TVS)

Perkataan “transvaginal” bermaksud “melalui faraj.” Biasanya, doktor akan menggunakan cara ultrasound pelvis dengan menggunakan scanner di bahagian pelvis.

Manakala prosedur transvaginal dilakukan dengan cara memasukkan scanner ultrabunyi beberapa inci ke dalam faraj.

Kedua-dua jenis ultrasound ini membolehkan anda untuk melihat imej pada monitor pada mesin ultrasound di mana scanner itu disambungkan.

Ultrasound transvaginal memberikan gambar imbas yang lebih baik untuk organ-organ pembiakan wanita. Ia termasuklah rahim, ovari, tiub fallopio dan serviks.

Mengapakah anda perlu melakukan scan melalui vagina ini?

Apabila dilakukan semasa kehamilan, jenis ultrasound ini biasanya digunakan untuk menentukan yang berikut:

  • Membantu memberikan tarikh bersalin yang lebih tepat bagi sesetengah wanita
  • Memeriksa kehamilan ektopik (kehamilan luar rahim)
  • Menentukan punca sakit pelvis atau pendarahan
  • Memeriksa sista, terutamanya dalam ovari
  • Mencari denyutan jantung awal janin
  • Memeriksa plasenta untuk keabnormalan
  • Menilai lapisan rahim
  • Menilai rahim atau ovari
  • Memeriksa serviks bagi apa-apa perubahan yang boleh membawa kepada keguguran atau kelahiran pramatang
  • Kemungkinan keguguran

Imej-imej dari ultrasound melalui faraj adalah sebagus seperti jenis ultrasound yang lain.

Malah pemeriksaan ini mungkin menyediakan gambar awal yang lebih baik kerana ultrasound ini tidak perlu melalui abdomen dan scanner mesin adalah lebih dekat dengan rahim.

Ini memberikan anda gambar-gambar awal yang terbaik. Pemeriksaan ini paling kerap dicadangkan sebelum minggu kelapan kehamilan.

Apakah yang perlu anda jangkakan semasa prosedur scan melalui faraj?

Untuk menjalani pemeriksaan ini, anda boleh melawat pusat diagnostik di mana juruteknik melakukan ultrasound, atau doktor anda boleh melakukan ujian di klinik.

Anda akan diberikan gaun hospital untuk dipakai, kerana pakaian dari pinggang ke bawah perlu dibuka. Seterusnya anda akan berbaring di atas meja pemeriksaan dan meletakkan kedua-dua kaki ke tempat meletakkan kaki.

Doktor pula akan menyarung scanner ultrasound dengan kondom dan gel pelincir sebelum memasukkan ia ke dalam faraj anda.

Cara ultrasound ini tidak menyakitkan, tetapi sesetengah wanita mungkin merasa sedikit tekanan dari scanner itu. Seluruh ujian memakan masa antara 10 hingga 30 minit.

Persediaan sebelum melakukan tvs scan

Doktor anda boleh memberikan anda beberapa siri arahan sebelum pemeriksaan anda bermula.

Sebagai contoh, doktor anda mungkin perlukan pundi kencing anda penuh atau dikosongkan (pundi kencing yang penuh membantu mengangkat usus dan organ-organ pelvik anda supaya boleh dilihat dengan lebih baik).

Pundi kencing yang penuh akan memerlukan anda minum sejumlah besar air, kira-kira 30 minit sebelum temu janji anda.

Jika anda telah mula mengeluarkan cecair faraj yang banyak dan memakai tampon atau pad, anda juga mungkin perlu membukanya sebelum ultrasound bermula.

Anda boleh mendapat keputusan anda sebaik sahaja selepas pemeriksaan.

Jika ia adalah seorang juruteknik yang melakukan ultrasound, imej mesti dianalisis oleh pakar radiologi sebelum keputusan dihantar kepada doktor anda untuk semakan.

Keputusan biasanya mengambil masa 24 jam, tetapi jika gambar yang jelas tidak diperolehi, anda mungkin perlu mengulangi prosedur tersebut.

Doktor anda akan berbincang dengan anda tentang keputusan dan rawatan seterusnya jika sebarang masalah dapat dilihat di dalam imej ultrasound. Berdasarkan penerangan di atas, boleh dikatakan hampir tidak wujud sebarang risiko berkaitan dengan ujian ultrasound transvaginal jika ia perlu dilakukan.

Cumanya, ia mungkin akan menyebabkan anda mengalami ketidakselesaan.

Adakalanya bergantung kepada masalah kesihatan atau gejala yang dialami, doktor mungkin akan meminta anda menjalani ujian ultrasound pelvis atau perut terlebih dahulu sebelum melakukan ujian ultrasound transvaginal. 

Sekiranya anda berasa sangat tidak selesa semasa prosedur ujian dilakukan, doktor mungkin akan memilih untuk melakukan ultrasound transabdominal.

Rencana diterjemahkan daripada Very Well

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Ibu Yang Gemar Makan Kacang Ketika Trimester Pertama Cenderung Miliki Anak Yang Bijak-Kajian

Penulis

Michelle Goh