Menurut laporan siaran langsung yang baru diadakan seketika tadi, kerajaan telah memutuskan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan untuk tahun ini.
Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, keputusan memansuhkan UPSR dibuat berdasarkan kajian dan selepas perbincangan mendalam bersama pihak berkepentingan.
Menteri Kanan Pendidikan Dr. Radzi Jidin berkata, kementerian akan memperkasakan Pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PPBS).
“Kemasukan asrama adalah berdasarkan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK). Selari dengan itu, Pertaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) juga dimansuhkan,”katanya pada sidang akhbar khas di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas mengenai apa kebaikan bagi pemansuhan UPSR ini, Datuk Dr Radzi Jidin menjelaskan ” pemansuhan yang dilakukan adalah supaya kanak-kanak dapat fokus sepenuhnya di sekolah. Ia ternyata satu perubahan besar dalam sistem pendidikan negara,” jelasnya.
“Dan ini adalah keputusan yang terbaik yang dicapai. Ia satu pendekatan baru, agar karakter keperibadian anak-anak di sekolah rendah dapat dibentuk, dan mereka dapat mengalami suasana persekolahan dengan lebih menyeronokkan,” ulas Dr Radzi.
Selain itu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin juga menegaskan, PDPR akan berlangsung selepas cuti raya. Dan PDPR kali ini bukanlah berterusan. Ia hanya sebagai mengisi jurang 10 hari antara cuti raya sehingga cuti penggal sekolah.
“Guru boleh menyiapkan modul-modul untuk tempoh 10 hari PDPR tersebut,” jelas Dr Radzi.
Sumber: Berita Harian, Kosmo!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Wanita Ini Kongsi Idea Untuk Bantu Anak Fokus PDPR