Mesyuarat PIBG adalah platform terbaik untuk ibu ayah membahaskan isu-isu dengan pihak sekolah dan guru secara terbuka. Berikut adalah beberapa contoh usul dan cadangan mesyuarat PIBG yang dikongsikan oleh ibu bapa menerusi grup di Facebook, Kami Suri Rumah.
Usul Dan Cadangan Mesyuarat PIBG Untuk Ibu Bapa
1. Sediakan RMT Pada Waktu Rehat
Kadangkala anak tidak sempat atau tidak berselera untuk menjamah makanan yang berat dan berminyak. Jadi, ada baiknya jika pihak sekolah menyediakan RMT pada waktu rehat berbanding waktu pagi.
2. Hentikan Penjualan Makanan Yang Tidak Berkhasiat Di Kantin
Mana-mana ibu bapa pun akan susah hati sekiranya anak-anak mereka membeli dan makan makanan yang tidak berkhasiat seperti keropok, burger atau sosej yang sama sekali tidak bagus untuk kesihatan.
Ibu ayah boleh mencadangkan penambahbaikan dalam penyediaan makanan di kantin sekolah agar lebih sihat dan seimbang.
3. Mewujudkan Persekitaran Sekolah Yang Mesra
Persekitaran sekolah yang mesra dengan membenarkan murid bermain sebelum kelas dan rehat dapat memberikan kesan positif dalam diri mereka.
Sediakan satu ruang bermain untuk mereka bermain aktiviti permainan tradisional supaya tidak dilupakan.
4. Sediakan Penapis Air
Cuaca yang tidak menentu akan menyebabkan bekalan air yang dibawa selalu tidak cukup. Pihak sekolah boleh menyediakan penapis air supaya mudah untuk murid mengisi semula secara percuma.
5. Pantau Aktiviti Jualan Koperasi Sekolah
Koperasi sekolah sepatutnya hanya perlu membekalkan barang kelengkapan sekolah seperti alat tulis, buku dan sebagainya. Hentikan jualan tidak patut dijual kepada pelajar seperti slime, stiker dan buku mewarna.
6. Senaraikan Buku Tambahan Untuk Setiap Subjek
Guru-guru boleh senaraikan buku tambahan yang digunakan setiap kelas. Jadi, ibu bapa tidak akan terbeban dengan permintaan anak-anak terutama ketika di pertengahan bulan.
7. Pemasangan CCTV atau Pagar Keselamatan
Ibu ayah boleh mengusulkan pemasangan peralatan keselamatan seperti CCTV atau pagar keselamatan untuk meningkatkan keselamatan pelajar.
8. Menyediakan Laporan Kewangan
Untuk makluman bagi ibu ayah yang tidak pernah hadir ke mesyuarat PIBG, pihak sekolah akan membentangkan laporan kewangan yang telah digunakan melalui yuran yang dibayar dan dana yang diterima.
Namun, pihak sekolah juga mungkin boleh menambahbaik cadangan usul mesyuarat PIBG dengan menyediakan laporan tersebut dengan lebih terperinci dan berkala.
9. Kaji Semula Jadual Waktu
Mungkin ada dalam kalangan anak-anak yang mengadu sakit belakang gara-gara perlu membawa beg yang berat. Jika pihak sekolah tidak mampu untuk menyediakan locker kerana ruang yang terhad, apa kata kaji semula jadual waktu dalam sehari yang boleh mengurangkan beban buku yang banyak.
10. Kebersihan Tandas
Masalah kebersihan tandas sering dibangkitkan dalam mesyuarat PIBG. Sesetengah murid terpaksa menahan diri untuk membuang air kecil atau besar gara-gara tandas rosak atau kotor.
Sebagai insiatif, pihak sekolah boleh pertimbangkan tentang beberapa perkara iaitu berapa kerap sepatutnya cuci tandas, bilangan pekerja untuk tandas sekolah dan masa yang diambil untuk mencuci tandas yang ada.
Jangan lupa untuk hadir ke mesyuarat PIBG kerana jika ibu ayah tidak hadir usul tidak akan dibacakan. Semoga contoh asal dan cadangan mesyuarat PIBG ini diterima dengan baik.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Senarai Tadika Berdaftar KPM Yang Terbaik & Pilihan Kebanyakan Parents, Ibu Jom Semak!
Baca juga: Isu Beg Berat, Buku Teks dan Latihan Hanya Sumbang 28 Peratus Kepada Permasalahan Ini, Biar Benar?
Baca juga: Cara Tampal Lencana Sekolah Anak Paling Mudah, Ibu Tak Perlu Susah-Susah Nak Jahit Lagi