Kisah wanita ini amat menyayat hati. Selama 11 tahun berkahwin, tetapi masih tiada anak. Sudahlah sedih kerana belum dikurniakan rezeki, pihak keluarga mertua pula masuk campur, dituduh mandul dan nyaris diceraikan suami!
Kejam sungguh bunyinya. Kisah yang dikongsikan seorang doktor perubatan ini harus diambil iktibar, yang mana jangan hanya menyalahkan dan meletakkan 100 peratus kepada pihak perempuan sahaja bila pasangan yang sudah berkahwin belum dikurniakan cahaya mata.
Adalah lebih baik kedua-dua pasangan mendapatkan rawatan doktor dan rawatan kesuburan bagi mengenalpasti punca permasalahan yang menyumbang kepada lambat dapat zuriat.
Dituduh mandul & hampir diceraikan, sperma suami bongkar kebenaran
Akhirnya keluarga suami wanita ini termalu sendiri apabila disahkan, lelaki itulah yang menyebabkan isterinya sukar untuk mengandung.
Puncanya bukan daripada wanita, tetapi daripada suaminya yang disahkan menghidap teratozoospermia yang mana ia menandakan sperma suaminya bermasalah.
Teratozoospermia adalah kelainan bentuk sperma yang mana bentuk kepala sperma adalah abnormal dan menyebabkan terjadinya masalah apabila ia berenang kepada ovum.
Lebih menyedihkan, wanita ini dikatakan sanggup berjuang bersama suaminya untuk mendapatkan anak tanpa sedikit pun rasa ingin meninggalkan suaminya.
Lebih 50 peratus kes kemandulan disumbang lelaki
Menurut doktor ini, perlu diketahui bahawa lebih daripada 50 peratus kes kemadulan ada disumbangkan kaum lelaki dan bukan suatu yang pelik apabila pasangan itu lambat dapat anak dan puncanya daripada lelaki.
Jadi, jangan cepat sangat salahkan wanita, dan adalah penting untuk pasangan mendapatkan rawatan kesuburan atau berjumpa dengan doktor untuk mengetahui punca permasalahan yang mereka hadapi.
Jangan hingga terpaksa bercerai-berai, sedangkan belum lagi berusaha di peringkat yang sepatutnya. Menyesal tak sudah nanti!Sudahlah menuduh pada pihak yang salah, meruntuhkan masjid pula.
Apakah maksud teratozoospermia?
Teratozoospermia adalah istilah yang diberikan kepada perubahan sperma, yang dicirikan oleh kehadiran sejumlah besar spermatozoa yang cacat.
Teratozoospermia dikaitkan dengan penurunan kesuburan lelaki (ketidaksuburan lelaki). Ini kerana, sperma yang cacat tidak dapat melaksanakan fungsinya untuk mensenyawakan ovum.
Kecacatan pada sperma boleh berlaku kepada kepala sperma, akrosom, leher (badan) dan ekor. Jika kecacatan berlaku kepada salah satu dari empat struktur tersebut, keupayaannya untuk berenang dan hidup di dalam rahim berkurang dengan drastik dan ia boleh menyebabkan kegagalan mendapatkan zuriat.
Faktor risiko teratozoospermia
Antara faktor risiko yang boleh menyebabkan seseorang lelaki mendapat teratozoospermia adalah:
- Faktor genetik
- Obesiti atau kegemukan
- Kurang tidur
- Merokok
- Minum minuman beralkohol
- Infeksi pada testis (Orchitis, Epidydimitis)
- Stress
- Diet yang tidak sihat
- Kencing manis
- Keabnormalan pada testis (hydrocele, varicocele)
Menurut apa yang dinyatakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2010, seorang lelaki mengalami teratozoospermia jika di dalam sperma yang dihasilkan setelah ejakulasi, spermatozoa dengan morfologi normal kurang dari 4% .
Ini bermakna, seseorang lelaki yang mempunyai ejakulasi peratusan spermatozoa yang cacat melebihi 96% adalah dikategorikan sebagai teratozoospermia.
Masih ada harapankah untuk isteri mengandung?
Kehamilan masih boleh berlaku tetapi memerlukan bantuan. Ia berikutan, menurut Dr Zubaidi Ahmad, lelaki yang mengalami masalah ini mempunyai masalah struktur sehingga menyebabkan sperma tidak mampu bergerak ke hadapan dan menembusi lapisan luar ovum.
Kehamilan boleh berlaku sekiranya sperma yang ‘cacat’ ini boleh menembusi ovum dan melepasi lapisan itu.
Antara bantuan yang boleh diberikan adalah dengan cara menyuntik sperma ke dalam lapisan ovum melalu kaedah ICSI iaitu menyuntik sperma terus ke dalam ovum menggunakan jarum khas.
Ia bermakna doktor akan membantu sperma masuk ke dalam ovum untuk membolehkan persenyawaan berlaku. Malah kajian menunjukkan kejayaan teknik ia mencatat peratusan yang agak tinggi.
Selain itu, suami juga boleh mengamalkan pemgambilan suplemen untuk mendapatkan sperma yang sihat. Ia termasuklah dengan pengambilan:
- Vitamin C – Ia mempunyai sifat antioksidan dan menghalang kecacatan sperma
- L-Carnitine – Meningkatkan metabolisme sperma dan membuatkan sperma bergerak laju. Ia juga mampu meningkatkan bilangan sperma
- Selenium – Memperbaiki pergerakan sperma dan membantu pembentukan sperma yang normal
- Zinc – Penting bagi pembentukan sperma yang normal. Kebanyakan kecacatan sperma disebabkan elemen zinc yang kurang dalam tubuh lelaki
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 7 Cara Untuk Hamil, Dengan Cara Mudah Hamil Ini, InsyaAllah Berkesan!
Baca juga: Nak Tahu Apa Akan Jadi Dalam Trimester 2 & 3 Kehamilan? Baca Ini Supaya Lebih Bersedia
Baca juga: Ibu Hamil Digalak Ambil Suntikan TDaP, Cegah Penyakit Batuk Kokol Yang Boleh Bahayakan Bayi!