Kekuatan seorang wanita hamil dan kandungannya
Meskipun gelap dan sempit, rahim ibu adalah tempat paling selamat untuk perkembangan janin.
Namun, masih ramai ibu ragu-ragu dan selalu mengelak untuk melakukan senaman yang terlalu berat semasa hamil.
Baru-baru ini bakal ibu dan pemain sukan antarabangsa Quzandria Nur Mahamad Fathil, telah membuktikan kepada kita yang wanita juga setanding lelaki dalam acara sukan.
Malah ada yang mampu bersaing dan memenangi pingat ketika hamil!
Quzandria telah mendapat tempat pertama dalam acara menunggang kuda di Sukan SEA, dan berjaya mengalahkan abangnya Qabil Ambak.
Ini kali pertama dia berjaya mengalahkan abangnya, selepas 16 tahun bertanding.
Hamil 5 bulan tak menjadi penghalang
Orang ramai yang bimbang tentang keselamatan ibu serta anak yang dalam kandungan ini, telah bertanya jika sukan itu selamat.
Quzandria meyakinkan pihak media, mengatakan dia sudahpun mendapat kelulusan dari doktor sebelum memutuskan untuk bertanding.
Beliau dipetik mengatakan:
“Sekarang saya mengandung 5 bulan dan saya telahpun berjumpa dengan doktor sebelum memutuskan untuk bersaing.”
Sudah pasti Quzandria telahpun menghadapi pelbagai cabaran semasa membuat persiapan untuk bersaing kerana selalu teringatkan dirinya yang hamil.
Di sini dia telah berkongsi cara untuk kekal fokus:
“Ketika berlatih dan semasa bersaing, saya mengingatkan diri supaya jangan terlalu memikirkan kehamilan saya kerana ini hanya akan menghalang saya dari mencapai matlamat saya.”
Rahim ibu adalah tempat paling istimewa
Tahukah anda yang rahim ibu adalah “ruang” yang paling kebal dan selamat dari sebarang ancaman?
Ia mampu melindungi janin dari macam-macam ancaman seperti bunyi bising, trauma ke perut dan pelbagai siri gegaran.
Pada trimester pertama, adalah hampir mustahil untuk mencederakan bayi walaupun jika anda terjatuh, kerana otot-otot rahim yang tebal, serta kedudukan rahim yang dilindungi oleh tulang pelvis.
Bayi anda juga dilindungi oleh penyerap kejutan semulajadi yang terdiri dari otot perut, otot rahim, membran janin dan cecair amnion.
Semua ini berfungsi sebagai bantal untuk melindungi janin dari trauma luar. Otot-otot kenyal juga banyak menolong untuk menstabilkan rahim serta menahan ia dari sebarang gegaran.
Dulu, wanita akan disarankan untuk mengelak atau mengurangkan senaman semasa hamil.
Tetapi pada zaman sekarang, semuanya sudah berubah. Kita sudah tahu bahawa senaman fizikal semasa hamil bukan sajaselamat, malah juga boleh memberi kesan positif pada kedua-dua bayi dan ibu.
Jika bakal ibu memang sudah aktif sebelum hamil, sihat, dan tidak mengalami sebarang masalah kehamilan, biasanya doktor akan memberi kelulusan untuk meneruskan senaman.
Tetapi ibu hamil perlulah peka terhadap tindak balas tubuh badan, dan jangan terlampau melakukan senaman sehingga menjejaskan kesihatan diri dan janin.
Jangan lupa untuk sentiasa minum air bagi mengelak diri dari dehidrasi dan rujuk kepada doktor jika ada sebarang kebimbangan.
Sumber rujukan: NST, World of Buzz, Dr. Sears dan Web MD
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: