Diet Lepas Bersalin Cara Masyarakat Cina, Kenapa KANGKUNG Berbahaya Untuk Ibu?

Bagi mana-mana kaum di Malaysia, wanita lepas bersalin dianggap sangat 'fragile' jadi segala yang dilakukan perlu berhati-hati termasuklah dalam pemakanan. 

Bagi mana-mana kaum di Malaysia, tidak kira Melayu, Cina, India atau lain-lain, wanita lepas bersalin dianggap individu yang sangat ‘fragile’ jadi segala yang dilakukan perlu berhati-hati termasuklah dalam pemakanan. 

Disebabkan keadaan itu, pelbagai pantang larang dari segi pemakanan selepas bersalin wujud dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini yang menekankan pemulihan dan rawatan tubuh badan diperlukan ibu.

Ada amalan yang sama, ada yang berbeza mengikut kepercayaan, budaya dan adat resam masing-masing. Jom kita tengok pemakanan ketika berpantang masyarakat Cina. 

Wanita lepas bersalin: Makanan sejuk pantang larang besar!

Dalam masyarakat Cina ada beberapa pantang larang dari segi pemakanan untuk wanita lepas bersalin. Bagi mereka, jika ibu bersalin melanggar pantang larang ini, boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan ibu dan bayi.

#1. Makan terlalu banyak herba berbahaya

Sebagai ibu baharu, anda perlu untuk mengembalikan kesihatan fizikal secara menyeluruh disebabkan itu tempoh berpantang dalam masyarakat ini juga dikenali sebagai ‘zhor yuet’ iaitu tempoh ‘berbaring’.

Sepanjang tempoh ini, ibu akan diberikan makanan sihat untuk mengembalikan semula tenaga yang hilang antaranya termasuk makanan tambahan berasaskan ubat-ubatan tradisional dan herba.

Bagaimanapun, kita tidak boleh ‘pukul rata’ dalam hal pengambilan ubat tradisional ini kerana tubuh setiap wanita berbeza dan pengalaman melahirkan juga berbeza bagi setiap individu. Pakar perubatan Cina percaya bahawa dalam beberapa kes makanan tambahan berasaskan herba tidak dapat membantu malah berbahaya untuk ibu lepas bersalin. 

Oleh itu, tidak boleh sebarang ambil, ibu perlu merujuk kepada doktor atau pengamal perubatan Cina yang berkelayakan untuk mendapatkan nasihat mengenai cara mengembalikan semula kesihatan dan keseimbangan badan.

Malah, sup herba yang paling popular dalam masyarakat ini tidak semestinya sesuai untuk semua orang, ia perlu disesuaikan dengan dos yang paling sesuai mengikut keadaan fizikal dan keperluan badan anda. Bukan pakai hentam saja ya ibu!

#2. Elak makanan sejuk 

Kehamilan yang sukar dan proses bersalin yang lama akan membuatkan ibu kehilanga tenaga, letih dan lemah. Untuk membantu pemulihan, pakar perubatan Cina mungkin akan membekalkan mereka dengan suplemen tambahan yang diperlukan sepanjang tempoh berpantang, tetapi makanan sejuk tetap menjadi pantang larang paling ketat daripada segi pemakanan.

Seperti di Malaysia yang beriklim tropika, suhunya sentiasa panas, ibu dinasihatkan supaya mengawal keinginan terhadap air atau makan sejuk atau apa-apa saja yang keluar dari peti sejuk!

Ini kerana pengambilan makanan sejuk selepas bersalin boleh mendatangkan mudarat kepada limpa dan perut ibu yang menyukarkan proses penyembuhan anda. Menurut teori, makanan sejuk menghalang pengeluaran toksik dan cairan kotor dari badan, yang membawa kepada keluarnya darah nifas secara berpanjangan. Disebabkan itu, makanan sejuk adalah pantang larang besar!

Selain itu, maksud makanan sejuk di sini, bukan hanya yang fizikalnya sejuk seperti keluar dari peti sejuk, tetapi makanan yang dianggap ‘sejuk’ secara semulajadinya (kerana ada makanan yang dianggap ‘sejuk’ dan ‘panas’ secara semulajadi). Ada sesetengah pengamal perubatan menggambarkan  makanan ini mempunyai ‘tenaga’ panas atau sejuk.

Antaranya termasuk itik, makanan bercengkerang, sotong, tembikai, tebu, pisang, tembikai susu, belimbing, buah kiwi, sayur kangkung, sesetengah cendawan malah kicap pun dinasihatkan untuk dikurangkan pengambilannya. 

#3. Kurangkan pengambilan kafein, alkohol selain tinggalkan terus nikotin

Sepanjang tempoh berpantang dan selama anda menyusu, kafein, alkohol dan nikotin harus dikurangkan atau dihindari sama sekali.

Kafein dan alkohol boleh masuk ke dalam susu ibu, jadi pastikan untuk tidak mengambil terlalu banyak. Kopi, teh dan Cola semuanya mengandungi kafein. Walaupun satu atau dua cawan mungkin tidak membahayakan, doktor perubatan Cina percaya bahawa apa-apa yang lebih daripada itu boleh membuat anda kurang sabar dan gugup, selain mungkin membuat bayi anda gelisah atau tidak dapat tidur.

#4. Elakkan makanan pedas

Doktor tradisional Cina percaya bahawa makanan panas dan pedas boleh menyebabkan sembelit, yang, jika menjadi keadaan jangka panjang, boleh mempengaruhi pemulihan rahim.

Sumber: babycenter

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: 

https://my.theasianparent.compantang-selepas-bersalin

 

Penulis

Lala Annuar