Pengorbanan seorang ibu sehingga ke akhir nafasnya. Semalam telah dilaporkan mengenai penemuan wanita meninggal dunia dalam sebuah pondok bersama bayi lelaki masih bernyawa di sisinya.
Lebih menyedihkan lagi, mayat dipercayai sudah 5 jam bersendirian dalam pondok berkenaan tanpa mengetahui siapakah waris dan pasangannya.
Wanita meninggal dunia selepas melahirkan anak
Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Berita Harian, wanita berkenaan merupakan seorang warga Indonesia telah ditemui meninggal dunia selepas melahirkan bayi lelaki.
Pondok berkenaan terletak berhampiran Jalan Parit, Kampung Piandang, Pusing. Mangsa yang dikenal pasti sebagai Yanti Abas berusia 35 tahun ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa dalam pondok berkenaan di sisi anak lelakinya yang masih bernyawa.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, Balai Polis Pusing telah menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu pada jam 6.30 petang semalam.
”Ketua Balai Polis Pusing dan pasukannya telah bergegas ke lokasi kejadian lebih kurang jam 6.45 petang bagi melakukan siasatan yang kemudiannya menemui bayi lelaki masih hidup di sisi mayat ibunya.”
”Ketua polis tiba di pondok berkenaan, mayat wanita itu telah ditutup dengan sehelai kain dan bayi lelaki yang dipercayai dilahirkannya dalam keadaan tali pusat sudah terpotong dan uri.”
”Kami percaya ada orang lain yang bersama wanita terbabit ketika dia melahirkan bayi dan polis masih dalam proses mengesan individu atau saksi untuk soal siasat bagi mendapatkan maklumat lanjut,” jelasnya.
Masih dalam siasatan polis
Ahmad Adnan berkata, hasil siasatan pasukan forensik juga tidak mengesan sebarang unsur perlakuan jenayah di lokasi kejadiaan dan pada tubuh wanita tersebut. Katanya, mayat wanita itu ditemui dalam keadaan berselimut dan dipercayai sudah meninggal dunia lebih kurang lima jam.
Beliau berkata, mayat wanita itu kemudiannya telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.
”Pemeriksaan saringan Covid-19 yang dijalankan ke atas mangsa diperoleh dan bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik HRPB pada hari esok selepas keputusan ujian swab Covid-19 diperoleh.
”Dipercayai si mati sudah menghembuskan nafas yang terakhir semasa dalam proses melahirkan bayi lelaki berkenaan di lokasi kejadian. Bayi tersebut masih hidup dan diserahkan kepada pihak Hospital Batu Gajah bagi pemeriksaan lanjut,” katanya.
Kedutaan Indonesia dan Polis Antarabangsa (INTERPOL) turut dimaklumkan mengenai kes ini untuk tujuan dibawa pulang ke negara asal bagi urusan pengebumian. Setakat ini ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun siasatan lanjut masih diteruskan termasuklah mengesan suami atau waris si mati.
Perempuan yang meninggal ketika bersalin dikira mati syahid
Mati syahid adalah satu kemuliaan yang besar dikurniakan oleh Allah Taala kepada sebahagian hamba-hambanya. Mati bersalin juga tergolong dalam mati syahid. Ia berdasarkan kepada hadith baginda s.a.w yang bersabda:
Kalau begitu orang yang syahid dari ummatku adalah sedikit. Terbunuh di jalan Allah Azzawajalla adalah syahid, terkena wabak taun adalah syahid, tenggelam adalah syahid, sakit perut adalah syahid, wanita yang meninggal kerana bersalin, anaknya menariknya dengan tali pusatnya ke syurga. (HR Ahmad no.15998)
Wanita meninggal dunia kerana bersalin memperoleh ganjaran syahid apabila ia bersabar dan mengharapkan ganjaran di sisi Allah Taala, sedangkan kandungannya bukanlah terjadi hasil daripada perbuatan maksiat zina. Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w:
Lima perkara yang seseorang mati pada sebahagian darinya maka ia syahid. Orang yang terbunuh di jalan Allah adalah syahid, orang yang tenggelam di jalan Allah syahid, orang yang sakit perut di jalan Allah adalah syahid, orang yang terkena sakit taun di jalan Allah adalah syahid dan perempuan yang bersalin di jalan Allah adalah syahid. (HR Annasai di dalam Al-kubra no.4371)
Kesimpulannya, anda hendaklah sedar bahawa hakikat sebenar seeorang mendapat ganjaran syahid atau sebaliknya hanyalah Allah S.W.T sahaja mengetahui kerana mati syahid merupakan satu kemuliaan yang dikurniakan oleh Aah kepada hamba-hambanya yang terpilih sahaja. Wallahu a’alam.
Sumber: Berita Harian, Wattpad
Kredit foto: istock
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: