Kehadiran cahaya mata menjadi pelengkap dalam hubungan suami isteri. Ada yang diberikan rezeki anak awal, ada juga perlu menunggu sehingga bertahun-tahun lamanya seperti warga emas umur 70 tahun ini.
Berbanding dengan dahulu, zaman moden kini menawarkan teknologi rawatan kesuburan yang boleh memenuhi hajat mendapatkan cahaya mata meskipun pasangan sudah lanjut usia.
Warga emas umur 70 tahun melahirkan anak sulung dengan selamat
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh India Today, pasangan warga emas dari wilayah Rajasthan Alwar yang sabar menanti kehadiran anak selama 54 tahun akhirnya berjaya menimang cahaya mata pertama mereka.
Chandravati Devi yang berusia 70 tahun tersenyum gembira apabila dia dapat melihat dan memeluk anak kandungnya sendiri.
Difahamkan pasangan ini sudah pun melakukan pelbagai ikhtiar sejak tahun 1968, namun masih tidak berhasil. Dengan bantuan pakar, akhirnya Chandravati Devi mengandung selepas percubaannya yang ketiga melalui kaedah IVF.
Meskipun teruja, dia turut mengatakan rasa takut untuk mengandung kerana usianya yang sudah lanjut. Sehinggalah pada beberapa hari yang lalu, dia selamat melahirkan seorang bayi secara pembedahan caesar.
Undang-undang baharu tidak benarkan warga emas umur 50 tahun ke atas buat IVF
Mungkin selepas ini tiada lagi bayi dilahirkan oleh ‘ibu ajaib’ seperti Chandrawati. Hal ini kerana Parlimen India meluluskan undang-undang bahawa yang menetapkan setiap pusat rawatan IVF tidak dibenarkan memberi perkhidmatan kepada pasangan warga emas umur 50 tahun ke atas.
Ia berkuat kuasa mulai Jun 2022. Chandravati dan suaminya amat bersyukur kerana mereka bernasib baik sudah berjaya hamil sebelum undang-undang tersebut terlaksana.
Warga emas umur 70 tahun bersalin anak sulung bukanlah kali yang pertama di negara berkenaan
Pada bulan Oktober tahun lalu, Jivunben Rabari berusia 70 tahun dan suaminya, Maldhari, 75 tahun berjaya mendapatkan zuriat menerusi kaedah IVF.
Menurut laporan Harian Metro, pasangan ini tinggal di sebuah kampung kecil bernama Mora di Gujerat, India sudah berkahwin selama 45 tahun. Mereka juga sudah berusaha mendapatkan bayi selama beberapa dekad, tetapi tidak berjaya.
Jivunben berkata dia tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri untuk membuktikan usianya, tetapi mendakwa dia sudahpun berumur 70 tahun.
Dr Naresh Bhanushali berkata, pihaknya sebelum ini mengatakan pasangan itu tidak dapat memperoleh anak kerana usia mereka yang sudah begitu lanjut.
Walau bagaimanapun, mereka tidak dapat menerimanya dan mengatakan bahawa ahli keluarga ramai berjaya buat IVF.
Kebanyakan wanita mengalami putus haid pada usia 50 tahun dan peluang untuk seseorang yang berusia 70 tahun mengandung secara semula jadi adalah agak mustahil.
Namun dengan rawatan IVF, mana-mana wanita dengan rahim yang sihat memiliki peluang untuk mengandung.
Sebelum ini seorang lagi wanita India bernama Mangayamma Yaramati berusia 74 tahun dipercayai wanita tertua di dunia yang berjaya melahirkan bayi kembar melalui kaedah yang sama ketika tahun 2019 lalu.
Dia dan suami dikatakan sudah menunggu selama 57 tahun untuk mendapatkan seorang anak.
Lebih melucukan lagi, suaminya, Raja Rao berusia 78 tahun telah pengsan akibat serangan jantung selepas sehari isterinya melahirkan anak kembar mereka secara pembedahan caesarean.
Pengarah Hospital Ahalya di Kothapet, Dr Sanakayyala Umashankar mengatakan proses bersalinnya berjalan dengan lancar. Ibu dan bayi dalam keadaan sihat tanpa mengalami sebarang masalah.
Risiko mengandung dan melahirkan anak ketika usia 50 tahun ke atas
Seiring pertambahan usia, kesuburan wanita akan mengalami penurunan dan sekaligus membuatkan peluang untuk hamil semakin tipis.
Meskipun hak untuk memiliki anak pada usia tertentu merupakan hak individu, ada beberapa perkara penting anda perlu tahu. Antaranya:
- Masalah darah tinggi atau hipertensi
- Kencing manis
- Kelahiran bayi pramatang dan berat bayi rendah
- Keguguran atau bayi lahir mati (stillbirth)
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Pasangan TTC Paling Lama & Berjaya, Sabar Menanti Kehadiran Cahaya Mata Selama 22 Tahun
Baca juga: Tips TTC Untuk Pasangan Yang Sedang Ikhtiar Dapatkan Zuriat, Wajib Ada 5 Barang Ini!
Baca juga: Syukur Penantian 14 Tahun Berakhir, Sering Loya & Muntah Ingatkan Angin, Rupanya Hamil 3 Bulan