Kehamilan merupakan satu perjalanan yang penuh keterujaan bagi seseorang wanita kerana tubuh akan melalui pelbagai transformasi menarik dalam tempoh sembilan bulan. Namun, ada perkara yang mungkin buat anda pelik iaitu warna puting payudara menjadi gelap ketika hamil.
Memang areola gelap atau puting gelap ini antara perubahan normal yang dialami. Tapi mengapa ia boleh berubah warna? Kami akan beritahu anda lebih lanjut dalam artikel ini.
Punca Warna Puting Jadi Gelap
Bukan perubahan pada warna puting sahaja, tapi payudara anda juga akan menjadi lebih kenyal, besar, sensitif dan selera makan juga meningkat setiap hari serta banyak lagi.
Semua perubahan ini adalah normal sebagai petunjuk tubuh badan anda bersiap sedia untuk menyambut bayi tidak lama lagi. Meskipun ramai wanita sudah bersedia dengan perubahan yang bakal dialami, namun mungkin ada segelintir daripada anda yang terkejut dengan kegelapan di sekitar puting.
Apabila badan ibu sedang mempersiapkan diri untuk menyusu, terdapat beberapa perubahan yang dialami oleh payudara. Sebahagiannya termasuklah:
- Pembesaran dan pertumbuhan payudara
- Kelembutan dan kerap berasa sakit
- Gelap urat di sepanjang kawasan itu kerana bekalan darah bertambah
- Menghasilkan kolostrum
- Puting menjadi lebih besar
- Kelenjar kecil yang terdapat pada permukaan isola membentuk benjolan
Seseorang ibu hamil akan mengalami kegelapan pada areola sekitar trimester kedua selepas dia mengalami morning sickness pada awal trimester pertama seperti keletihan, cepat mengantuk, mual, muntah, sakit kepala dan sebagainya.
Bahkan, pigmentasi juga dapat dilihat di kawasan lain di mana warna kulit berubah sedikit gelap di mana sekitar 45% ke 75% ibu mengandung mengalami melasma di kawasan sekitar leher, garis tengah abdomen dan bahagian belakang badan. Bagi mereka yang berkulit lebih cerah seperti wanita eropah, puting warna pink mereka akan lebih menyerlah ketika kehamilan.
Wanita hamil cenderung mengalami fasa kegelapan kulit yang dipanggil hiperpigmentasi. Ia dikatakan berlaku akibat perubahan hormon wanita yang melaluinya semasa kehamilan.
Peningkatan hormon yang menghasilkan melanin, stimulasi melanosit (MSH) dan estrogen boleh membawa kepada peningkatan keadaan ini.
Adakah ia normal?
Kegelapan kulit secara mendadak di bahagian warna puting mungkin sedikit membimbangkan anda tetapi perkara ini tidak perlu dikhuatiri sangat kerana ia adalah satu keadaan yang normal.
Malah kawasan yang terjejas juga akan berkurangan selepas melahirkan bayi tapi warnanya mungkin sukar untuk kembali kepada warna yang asal seperti anak dara dahulu.
Apa Itu Melanin?
Melanin adalah pigmen yang mempengaruhi kulit wajah seseorang yang juga merupakan pigmen yang sama melindungi kulit dari sinar ultraviolet yang berbahaya.
MSH cenderung untuk terkena melanosit yang merupakan sel yang mengandungi pigmen. Sekaligus ia membawa kepada peningkatan kepekatan melanin dengan mengubah taburan sel.
Seseorang itu akan menyedari keadaan ini apabila melangkah keluar di bawah sinaran matahari sepanjang hari.
Semasa mengandung kadar hormon seperti progesteron dan estrogen akan menyebabkan melanin oleh melanosit akan turut meningkat.
Tips Penjagaan Puting Payudara
Walaupun pelik dengan puting gelap saat hamil ada beberapa tips untuk anda menjaga puting payudara. Antaranya termasuklah:
#1. Jangan gunakan sebarang krim
Walau bagaimanapun, ibu hamil dinasihatkan untuk tidak menggunakan sebarang krim pencerah semasa hamil untuk menutup ruang gelap yang muncul semasa dalam tempoh sembilan bulan itu.
#2. Jauhi terdedah sinaran UV
Sekiranya mengalami masalah ini, anda boleh mengawalnya dengan cara jauhi tempat-tempat yang terdedah dengan sinaran UV.
Meskipun perkara ini mungkin membuatkan anda tertekan, namun jangan terlalu risau kerana keadaan ini hanyalah sementara dan ia akan pulih selepas anda melahirkan nanti.
#3. Lap lembut puting anda
Jika anda rasa puting seperti tegang dan kering, lap lembut puting payudara anda dengan kapas basah untuk mengembalikan kelembapannya.
#4. Sapu pelembap
Apa yang anda perlu lakukan ialah sapu sedikit pelembap atau minyak urut pada hujung jari anda, urut pada puting anda dalam gerakan membulat dan perlahan-lahan tarik puting anda keluar dengan ibu jari dan jari telunjuk anda.
Anda boleh melakukan ini dua kali sehari selama lima minit setiap satu. Ini sahaja yang perlu anda lakukan untuk menjaga puting semasa hamil.
Adakah Ia Efek Susu Ibu?
Pasti ramai yang tertanya-tanya, adakah keadaan payudara yang berubah dan puting hitam ketika hamil ini akan memberi kesan kepada susu ibu?
Hormon dalam sistem badan anda akan menyebabkan perubahan pada payudara semasa anda hamil. Ini adalah biasa dan tidak memberi kesan kepada susu ibu.
Ini antara 17 keunikan susu wanita yang terhasil untuk bayi. Antaranya termasuklah:
- Mempunyai antibodi melawan penyakit dialami bayi
- komposisi susu berubah mengikut jantina
- mengurangkan risiko obesiti
- Mengurangkan risiko asma dan penyakit berkaitan penafasan
- mengurangkan risiko alergi
- bantu bayi tidur lena
- Membekalkan nutrien yang terbaik untuk bayi anda
- Ia mengandungi nutrien dalam kadar yang mencukupi
- Kandungannya berubah mengikut keperluan bayi yang sedang membesar
- Susu ibu, terutamanya kolostrum , menguatkan sistem imuniti bayi anda
- Mencegah kolik bayi
- Mengandungi nutrien tertentu yang amat kritikal untuk perkembangan otak
- Tidak mudah tercemar
- Mudah diperolehi pada suhu yang betul setiap masa
- Membantu mengecutkan rahim dan mengembalikannya kepada saiz yang asal dengan cepat
- Membakar kalori dan mengembalikan bentuk badan asal anda dengan cepat
- Mengurangkan risiko kanser payudara dan kanser ovari.
Bila Patut Risau
Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana perubahan warna puting ini adalah biasa dan dikaitan dengan hormon kehamilan. Namun jika anda dapati perubahan warna itu disertai dengan perkara luar biasa lain seperti adanya cecair yang menimbulkan bau busuk dan sebagainya, ada baiknya cuba dapatkan rawatan doktor.
Tip Penjagaan Payudara Ketika Hamil
Ya semasa hamil payudara anda akan mengalami sedikit perubahan seperti semakin membesar, sensitif, warna yang sedikit gelap dan sebagainya namun diharap tips yang dikongsikan ini dapat membantu.
- Semasa dalam fasa ini pemilihan coli atau bra adalah sangat penting supaya dapat menjaga payudara anda. Jadi anda perlu dapatkan coli khas untuk materniti supaya ia lebih selesa sekaligus menyokong pembesaran payudara ketika ini.
- Pilihan coli daripada material kain kapas, bertali lebar, tidak mempunyai dawai dan cup tidak berkelim adalah jauh lebih selesa semasa hamil.
- Seterusnya dapatkan bra materniti ini ketika anda sudah menjangkau masuk usia kandungan empat bulan. Namun ia bergantung kepada setiap individu untuk menggunakan pada kandungan di usia berapa sekalipun.
- Pastikan anda menggunakan peralatan mandian yang mempunyai ciri-ciri hypoallergenic supaya dapat mengurangkan rasa sakit pada kulit. Biasalah bila tengah mengandung kulit akan jadi lebih sensitif.
- Elakkan mandi air panas kerana ia boleh menyebabkan kulit kering dan sekaligus menyakitkan payudara anda semasa hamil.
- Keringkan payudara dengan lembut menggunakan tuala bersih selepas selesai anda mandi.
- Mengamalkan pemakanan yang sihat dan mendapatkan tidur yang mencukupi sepanjang tempoh kehamilan ini.
- Semasa anda mandi, pastikan guna air sejuk dan urut payudara ke aras atas secara perlahan dalam tempoh masa 35 saat di setiap belah payudara. Ia dapat mengelak payudara dari kendur.
- Elakkan duduk membongkok kerana ia boleh membuatkan payudara jatuh dan mengendur. Pastikan anda duduk dalam posisi menegak.
- Sentiasa mandi dengan kerap kerana cuaca yang panas boleh menimbulkan kesan ruam pada bahagian bawah payudara.
- Mother and Child Hospital (n.d) Care of the Breast in Pregnancy and after Delivery. motherandchildhospital.com/care-of-the-breast-in-pregnancy-and-after-delivery/
- marshfieldclinic (n.d) Tips for breast care and comfort. www.marshfieldclinic.org/specialties/obgyn/pregnancy/care-tips/pregnancy-info-breast-care
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Cara Pam Susu Dengan Betul Supaya Payudara Tak Rasa Sakit, Susu Pun Kekal Meriah!
Baca juga: Abses Payudara: Bakteria Akibat Mastitis Yang Tak Dirawat, Ibu Jangan Ambil Mudah Bengkak Susu!
Baca juga: Ouch, Ngilu Rasanya Apabila Puting Payudara Luka Digigit! Ini 7 Cara Untuk Elak Sakit Ketika Menyusu