7 Tip Rumah Tangga Bahagia – Jadikan Rumah Anda Syurga Dunia!

Perkahwinan memang indah. Namun, dalam melayari dunia rumah tangga, kita perlu mengisi diri dengan ilmu yang baik dan bermanfaat. Jom ketahui 7 tip rumah tangga bahagia yang boleh anda cuba supaya ikatan perkahwinan itu ukuh sampai ke Jannah.

Perkahwinan adalah satu ikatan suci menggabungkan dua hati. Namun, kadangkala dua hati tersebut susah untuk bersetuju tentang sesuatu perkara. Pergaduhan berlaku dan mulalah operasi bermasam muka.

Sebenarnya, anda boleh menjadikan rumah anda syurga di dunia jika anda cuba beberapa tip rumah tangga bahagia yang kami kongsikan di sini.

1.    Berikan Kata-Kata Cinta dan Kasih Sayang Selalu

Ingat tak zaman kita berkenalan dahulu? Kita saling mengucapkan kata-kata yang baik dan indah kepada satu sama lain. “Saya rindu awak” atau “saya tidak sabar untuk berjumpa awak” selalu disebut-sebut.

Untuk memastikan ikatan cinta masih utuh antara anda dan pasangan, pastikan anda terus memberi kata-kata cinta dan kasih sayang, walaupun anak sudah berderet!

“Saya sayang awak”, “selamat pagi sayang” atau “semoga awak seronok di tempat kerja hari ini” sudah cukup untuk buat si dia tersenyum sorang-sorang dalam kereta sewaktu memandu ke pejabat!

2.    Jangan Marah Pada Waktu Yang Sama

Anda pernah tak mengalami situasi sebegini: “Oh, dia marah dekat saya! Sepatutnya saya yang marah.”

Apa yang berlaku seterusnya adalah akan ada seorang pasangan yang sedang marah dan seorang lagi baru mula nak marah. Akibatnya, kedua-dua tidak bercakap dan masalah tidak dapat diselesaikan.

Peraturan yang mudah adalah: Apabila pasangan anda marah akan sesuatu, anda harus menjadi ‘penyelamat dunia’. Anda mulakan bicara secara lembut dan mulakan perbincangan – dalam erti kata lain mula memujuk!

3.    Berikan Pujian jika Pasangan Anda Membuat Perkara yang Menggembirakan Anda

tip rumah tangga bahagia

Source: Pexels.com

Kadangkala, kita sangat cepat untuk mengkritik kesilapan pasangan kita tetapi lambat atau lebih teruk, langsung tidak memuji, kebaikannya.

Anda inginkan rumah tangga yang bahagia dan menyeronokkan? Banyakkan berkata “Terima kasih sebab tolong buangkan sampah”, “Baiknya suami saya ini..dia belanja makan!”, atau “Bagusnya isteri saya tolong masakkan sarapan pagi ini. Sedap sangat.”

Anda akan perasan yang kata-kata pujian ini akan mendorong mereka untuk berbuat lebih banyak lagi perkara baik dalam perkahwinan anda.

4.    Jangan Masuk Tidur Tanpa Menyelesaikan Masalah

Lagi satu tip rumah tangga bahagia adalah pastikan yang anda serta pasangan tidak masuk tidur tanpa menyelesaikan masalah. Apa sahaja yang mengganggu fikiran atau perasaan anda perlu diluahkan kepada pasangan.

Ia akan memupuk kemahiran komunikasi dan yang paling penting, menambah persefahaman antara satu sama lain. Malah, menyimpan perasaan semata-mata untuk menjaga perasaan adalah tidak bagus untuk kesihatan.

Kalau ia dibiarkan berlarutan…takut-takut gunung berapi boleh meletup dan pasangan anda tidak tahu menahu langsung tentang punca ‘letupan’ anda itu.

5.    Tidak Mengungkit Perkara Lama

Jika kita ada tabiat suka mengungkit kisah atau perkara lama, mungkin telah tiba masanya untuk membuang tabiat buruk tersebut. Kata-kata seperti “Hari itu pun awak buat lagi” atau “Kalau awak tidak buat benda ini dahulu..” tidak sepatutnya diucapkan.

Pergaduhan dan pertengkaran akan berlaku dalam perkahwinan – itu lumrah. Cumanya, jangan biarkan pergaduhan lama yang telah pun selesai memburukkan lagi keadaan pada masa sekarang.

Fokus kepada masalah semasa dan kunci mulut anda daripada mengungkit kesalahan lama. Percayalah, ia akan membantu rumahtangga anda.

6.    Memberikan Sentuhan Fizikal Secara Kerap

tip rumah tangga bahagia

Source: Pexels.com

Bila bercakap tentang sentuhan fizikal, ia bukan sahaja melibatkan sentuhan sewaktu di kamar. Sebenarnya banyak lagi cara fizikal lain untuk menunjukkan kasih sayang kepada suami atau isteri kita.

Peluklah isteri atau suami setiap pagi sebelum pergi ke kerja. Mahu lebih mesra? Peluk selama 7 hingga 10 saat. Berikan juga ciuman mesra secara harian.

Ia tidak berhenti di situ sahaja. Salam tangan pasangan kita dan peluknya sekali lagi apabila kita pulang ke rumah. Sentuhan sebegini akan membuatkan mereka berasa amat disayangi. Kalau tak percaya, sila cuba.

7.    Jangan Menjerit Kepada Pasangan…Kecuali Kalau Rumah Anda Terbakar

Jika perlu berbincang akibat berlakunya salah faham, pastikan ia dilakukan secara tenang dan rasional. Antara tip rumah tangga bahagia yang paling penting adalah jangan sesekali menjerit kepada pasangan anda.

Anda hanya dibenarkan untuk berbuat demikian jika rumah anda terbakar dan anda mahu dia menyelamatkan diri!

Kata-kata yang diucap secara kasar, yang selalunya berlaku ketika kita menjerit, hanya akan melukakan lagi hati mereka. Walaupun kata maaf telah diberi dan diterima, akan ada satu masa yang mereka akan teringat semula kata-kata yang melukakan itu.

Cuba Tip Rumah Tangga Bahagia Di Atas dan Lihat Perubahan Positifnya

Sudah tentu, ilmu rumah tangga itu sangat luas. Ada banyak lagi tip-tip lain yang boleh anda cuba bagi memastikan perkahwinan anda bahagia dan menyenangkan sentiasa.

Namun, sebagai permulaan, cuba dahulu 7 tip rumah tangga bahagia yang kami kongsikan di atas dan lihat perubahannya kepada diri anda dan juga pasangan. Mana tahu, mungkin akan ada lagi tip tambahan lain yang kami akan kongsikan?

Dan, jika anda ada sebarang cadangan atau nasihat buat mereka yang sedang menghadapi masalah rumah tangga ataupun akan mendirikan rumah tangga, jangan lupa untuk kongsinya di ruang komen di bawah! Mereka pasti akan mendapat manfaat daripada perkongsian anda.