8 Isu Pengancam Perkahwinan Yang Kita Sering Terlepas Pandang

8 Isu Pengancam Perkahwinan Yang Kita Sering Terlepas Pandang

Ada 8 isu pengancam perkahwinan yang dapat meruntuhkan rumah tangga jika ia tidak diurus dan diselesaikan dengan baik antara pasangan suami isteri.

Rasanya, ramai antara kita yang sudah tahu tentang perkara-perkara negatif yang dapat mengancam kedamaian dan kesejahteraan rumah tangga kita.

Antaranya adalah kegagalan untuk berkomunikasi, menjalinkan hubungan affair atau curang, serta masalah kewangan yang tidak diuruskan dengan baik.

Tetapi, kalau ibu ayah semua hendak tahu, selain daripada perkara yang biasa terjadi di atas, ada beberapa lagi isu yang dapat mengancam perkahwinan anda.

Di bawah ini merupakan perkongsian pendapat oleh pakar terapi dan kaunselor perkahwinan tentang hal-hal yang dapat mengancam perkahwinan.

1. Kita fikir jika kita bercakap secara jujur 100%, ia adalah perkara baik

masalah perkahwinan

Sumber: Crosswalk.com

Ya, kejujuran adalah satu sifat yang patut dipuji. Tetapi, anda juga perlu lihat pada keadaan dan tempatnya.

Mengatakan sesuatu yang benar secara terbuka dan jujur 100% – ditambah dengan nada yang sarkastik – hanya akan melukakan hati pasangan anda.

Ia bukanlah satu perkara yang baik dalam rumah tangga, itu penjelasan Bonnie Kennan, seorang kaunselor perkahwinan dari Southern California, Amerika Syarikat.

“Apabila seseorang itu merasakan yang dia boleh berkata apa sahaja yang dia rasa, dengan cara yang salah, dia sebenarnya merosakkan lagi perhubungan mereka dan kadangkala, ia tidak dapat diperbaiki lagi!”

 Dalam erti kata lain, alasan anda bahawa “saya akan bersifat jujur tentang apa yang saya rasa” tidak sesuai dalam sesuatu perhubungan. Terutamanya jika ia dilakukan tanpa mengambil kira perasaan suami atau isteri kita!

2. Berfikir yang perkahwinan akan mengubah sifat buruk seseorang

Ini merupakan lagi satu isu yang dapat mengancam perkahwinan seseorang.

Menurut Profesor Karl Pillemer dari Universiti Cornell, ia adalah satu kesalahan besar dalam perkahwinan apabila kita merasakan yang kita dapat mengubah pasangan kita sepenuhnya.

Menurut beliau lagi, sijil perkahwinan atau rumah tangga itu sendiri tidak dapat menyelesaikan masalah dalam hubungan anda atau membuatkan anda serta pasangan sesuai untuk satu sama lain.

Semuanya terpulang kepada usaha dan keinginan kita untuk berkompromi terhadap kekurangan dan kelemahan diri serta pasangan; dan bukannya mengharapkan yang si dia akan mengubah dirinya demi untuk memuaskan hati anda.

3. Percaya yang anda dapat mengubah pendapat keluarga anda tentang pasangan anda

masalah suami isteri

Source: Zeppfeed.com

Apabila anda merasakan yang anda pasti dapat mengubah pendapat ibu atau ayah anda tentang suami atau isteri anda, maka ia hanyalah akan membuatkan anda semakin tertekan.

Sehinggakan, jika tidak dikawal rasa tekanan itu, anda akan sentiasa dalam keadaan stress.

Malah, ada kemungkinan juga untuk anda menyalahkan pasangan kerana tidak bekerjasama dengan anda bagi mengubah apa yang ahli keluarga anda rasakan.

Percayalah, kita sesekali tidak akan pernah mampu untuk mengubah pendirian seseorang, melainkan orang itu sendiri berfikiran terbuka untuk menukar pendapatnya sendiri!

Dengan berusaha sedaya yang anda mampu dan apabila tiba masanya, pasti keluarga anda akan berubah fikiran juga.

4. Mengabaikan impian dan keinginan pasangan anda

Semua orang memasuki ke alam perkahwinan bersama dengan impian dan keinginan masing-masing.

Antara perkara yang dapat mengancam hubungan anda dan suami adalah anda mengabaikan cita-cita dan visi dirinya.

“Jika pasangan anda memberitahu anda yang dia belum sedia untuk mempunyai anak, mahu sambung belajar, atau mahu bertukar karier atau perniagaan, maka dengar dan sokonglah dia.”

Itu adalah nasihat daripada Becky Whetstone, seorang Terapi Perkahwinan dan Keluarga dari Little Rock, Arkansas.

5. Menganggap perkahwinan itu adalah perkara mudah

perkara ancam perkahwinan

Sumber: Reader’s Digest

Memang seronok apabila kita baru sahaja mendirikan rumah tangga bersama. Namun, kita perlu sedar bahawa akan ada banyak cabaran yang bakal mendatang.

Antara perkara yang dapat mengancam keharmonian sesebuah perkahwinan adalah apabila salah seorang daripada pasangan itu menganggap rumah tangga itu adalah perkara yang mudah untuk diuruskan.

Mereka terlupa bahawa mereka perlu bekerja keras untuk mengubah diri menjadi lebih baik buat pasangan dan sentiasa bekerjasama dalam melayari bahtera rumah tangga.

“Untuk kita kekal berkahwin, ketabahan, semangat dan disiplin amat diperlukan. Ia memerlukan dua orang insan yang matang yang dapat bersama mengharungi susah payah tanpa rasa putus asa.”

Itu kata Profesor Karl Pillemer.

6. Mengharapkan kesempurnaan dari suami atau isteri

Apabila kita mengharapkan sesuatu yang sempurna dari pasangan kita, maka kita telah meletakkan diri dalam keadaan yang sangat berbahaya.

Kita akan mudah rasa kecewa, marah dan putus asa jika suami atau isteri kita (yang hanya insan biasa, penuh dengan kesilapan) jika dia tidak bertindak atau berkelakuan sesempurna yang kita harapkan.

Menurut kata Whetstone,

“Masalahnya apabila kita menganggap pasangan kita sempurna, lambat-laun kita akan sedar yang dia bukanlah seperti yang kita sangkakan seperti dalam imaginasi kita. Maka, amat mudah untuk kita berputus asa, sehingga mampu meruntuhkan rumah tangga.”

7. Tidak menetapkan limit tentang apa yang boleh dikongsi dengan orang lain

kongsi masalah di sosial media

Source: Sfgate.com

Hari ini, amat mudah untuk kita berkongsi cerita dengan orang lain. Tidak perlu buat panggilan telefon.

Twitter, Facebook, Whatsapp dan segala dunia digital lain boleh digunakan sebagai platform untuk meluahkan perasaan.

Apabila kita tidak menetapkan bersama dengan pasangan tentang apa yang boleh dikongsi dan apa yang patut kekal antara pasangan sahaja, maka amat mudah untuk persengketaan antara suami isteri melarat dan menjadi teruk.

Bonnie Kennan menasihatkan:

“Setiap pasangan patut berbincang dan menetapkan hal ini dengan jelas. Ini supaya jika pergaduhan berlaku, kita boleh mengingat semula perjanjian ini dan mengelak daripada menyebarkan hal antara pasangan dengan orang luar (yang kadangkala tidak membantu!)”

8. Terlalu percaya bahawa sikap yang berlawanan itu menarik untuk sesuatu hubungan

Mat saleh ada cakap:  “Opposite attracts”. Jika anda seorang yang sangat mempercayai kata-kata ini, fikir semula!

Kita menyangka bahawa ia membuatkan sesuatu hubungan itu lebih menarik dan mencabar.

Kita lupa bahawa sifat yang berlawan itu, jika tidak pandai diuruskan, hanya akan menyebakan permasalahan dalam rumah tangga.

Contohnya, anda seorang yang gemar melancong tetapi suami atau isteri anda seorang yang suka duduk di rumah.

Pada mulanya, anda mungkin boleh berkompromi. Tetapi, lambat-laun, pasti akan ada rasa tidak puas hati juga.

Profesor Karl berkata:

“Saya telah berkonsultasi dengan ramai suami isteri. Mereka telah berkahwin bertahun-tahun lamanya dan antara nasihat yang mereka akan selalu kata adalah: ‘Kahwinilah seseorang yang sama sifatnya dengan anda!'”

Perkahwinan bukan perkara mudah. Namun, ia boleh menjadi senang dan tenang jika anda berkongsi hidup dengan seseorang yang sekufu dengan anda.

Maksudnya, adalah baik jika si dia itu datang dari latar belakang yang sama, berkongsi minat yang sama, serta ada misi dan visi kehidupan, kerjaya, cita-cita, dan pendapat tentang kekeluargaan yang sama.

Jadi ibu ayah sekalian, pertimbangkan 8 perkara di atas. Adakah ia ada pada diri atau pasangan? Jika ya, ambil jalan untuk berubah, demi kesejahteraan rumah tangga anda.

Sumber: Huffingtonpost.com

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Baca juga:

Rahsia Perkahwinan Bahagia Terletak Di Tangan Suami Yang Bijak!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

Penulis

Noor

Artikel(Cerita)
app info
get app banner