Zaman kanak-kanak memang menyeronokkan dan penuh dengan pengalaman baharu yang akan membentuk keperibadian kanak-kanak sepanjang proses tumbesaran mereka. Pada tahun-tahun awal ini juga tubuh badan kanak-kanak belajar mengadaptasi dunia luar dan hari demi hari meningkatkan sistem imun tubuh terhadap pelbagai ‘serangan’ virus dan bakteria.
Terdapat beberapa penyakit yang biasa menjangkiti kanak-kanak, dan penyakit-penyakit ini tidak mengenal usia, jantina, bangsa, atau latar belakang kesihatan keluarga. Antara yang biasa dialami oleh mereka ialah batuk dan selsema; bronkitis; gastroenteritis; sakit tekak; jangkitan kuman di telinga; cacar air dan banyak lagi1.
Cacar Air: Fakta Penting
Imej untuk tujuan ilustrasi sahaja
- Ia juga dikenali sebagai virus varicella2
- Virus yang sama menyebabkan kayap atau Shingles2
Contoh penyakit kayap. Imej untuk tujuan ilustrasi sahaja
- Simptom/Gejala2:
- Demam dan keletihan lebih kurang lima hari sebelum timbulnya ruam
- Ruam berbentuk bintik-bintik merah kecil yang gatal, bermula di bahagian dada dan belakang badan, kemudian merebak ke muka dan seluruh badan
- Dalam tempoh 24 jam, ruam akan berubah menjadi lepuh air (blister) yang kemudian akan pecah, mengering sehingga berubah menjadi keruping
- Bintik-bintik baru terus timbul sehingga lima hari
- Cara jangkitan2:
- Melalui batuk dan bersin daripada individu yang dijangkiti
- Menghidu atau menyentuh “partikel virus” daripada cecair yang keluar daripada lepuh (blister)
- Jangkitan cacar air sebenarnya berlaku 10-21 hari selepas dedahan kepada individu yang mengalami cacar air. Pesakit boleh menjangkiti orang lain 1-2 hari sebelum ruam kelihatan sehinggalah semua ruam kering2.
- Biasanya tidak begitu serius jika menjangkiti kanak-kanak yang sihat. Namun, cacar air boleh menjadi serius jika menjangkiti orang dewasa dan bayi2.
Komplikasi Cacar Air
Kebanyakan kanak-kanak akan pulih dengan baik daripada jangkitan cacar air. Namun, penyakit ini juga boleh mengakibatkan komplikasi yang memerlukan rawatan rapi. Golongan yang berisiko tinggi mengalami komplikasi cacar air ialah bayi baru lahir, orang dewasa, wanita mengandung dan individu yang mempunyai sistem imun yang lemah seperti pesakit human immunodeficiency (HIV), kanser, individu yang pernah melakukan transplantasi organ, sedang menjalani kimoterapi, mengambil ubat steroid untuk jangka panjang atau ubat-ubatan imunosurpresi3.
Antara komplikasi daripada cacar air yang boleh terjadi kepada golongan berisiko tinggi ini ialah3:
- Jangkitan bakteria pada kulit (Group A Streptococcal disease)
- Radang paru-paru (pneumonia)
- Jangkitan pada saluran darah (sepsis)
- Keradangan otak (encephalitis, cerebellar ataxia)
- Dehidrasi
Komplikasi yang serius memerlukan pesakit dimasukkan ke wad dan dalam beberapa kes, boleh juga menyebabkan kematian. Namun, kematian akibat cacar air jarang sekali berlaku pada hari ini sejak imunisasi untuk virus varicella diperkenalkan.
Untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang komplikasi cacar air, kami menemu bual Dr. Ng Yi-Ki, seorang doktor pakar kanak-kanak yang dikenali ramai untuk mendapatkan pengalaman sebenar beliau merawat kes-kes jangkitan cacar air sepanjang kerjaya beliau.
Soalan: Bolehkah doktor berkongsi pengalaman peribadi doktor sendiri dalam merawat kanak-kanak yang mengalami komplikasi jangkitan cacar air?
Dr. Ng Yi-Ki: “Kumpulan kanak-kanak yang saya lihat berisiko tinggi mendapat komplikasi daripada cacar air adalah kanak-kanak yang masih kecil. Mereka akan dimasukkan ke hospital dengan ruam yang teruk dan selalunya mengalami komplikasi seperti jangkitan paru-paru, sehingga memerlukan bantuan oksigen. Mereka sering berasa lesu dan kurang selera makan, memerlukan titisan intravena untuk memastikan badan terhidrat dan juga perlu dipantau dengan teliti. Saya juga pernah melihat kes cacar air yang rumit dengan jangkitan bakteria pada kulit dan memerlukan antibiotik. Mereka yang mengalami komplikasi selalunya perlu dimasukkan ke wad sehingga seminggu atau lebih lama!”*
Soalan: Pernahkah doktor merawat kes-kes unik komplikasi cacar air?
Dr. Ng Yi-Ki: “Saya juga pernah merawat bayi-bayi baru lahir yang dijangkiti virus itu kerana ibu mereka juga dijangkiti cacar air hanya beberapa hari sebelum melahirkan anak. Ibu-ibu ini biasanya tidak pernah menerima vaksin cacar air, atau tidak pernah mendapat cacar air semasa mereka masih muda.”*
Informasi Penting Untuk Ibu Mengandung
Semua ibu mengandung dinasihatkan berwaspada terhadap virus varicella kerana andainya dijangkiti, impaknya boleh menjadi begitu besar kerana ianya mengancam bukan satu, tetapi dua nyawa pada masa yang sama.
Selain radang paru-paru seperti yang disebutkan di atas, berikut merupakan komplikasi yang boleh berlaku andainya ibu mengandung dijangkiti virus varicella:
- Jika jangkitan berlaku dalam tempoh 20 minggu pertama kehamilan, khususnya antara minggu ke-8 dan ke-20, bayi anda berisiko mengalami kondisi kecacatan kelahiran (namun jarang berlaku) iaitu sindrom varicella kongenital. Bayi yang mengalami sindrom ini mungkin mempunyai parut pada kulit dan kecacatan gastrointestinal, mata, tangan, kaki dan otak4.
- Jika jangkitan berlaku dalam tempoh antara beberapa hari sebelum kelahiran sehinggalah 48 jam selepas kelahiran, bayi anda berisiko dilahirkan dengan neonatal varicella, satu jangkitan yang boleh membawa maut4,5.
Terdedah Kepada Virus Varicella (Cacar Air Atau Kayap)?
Memandangkan virus varicella sangat mudah merebak, segeralah bertindak sebaik sahaja anda tahu bahawa anda atau anak-anak anda telah terdedah kepada virus ini. Hubungi doktor anda dengan segera bagi mendapatkan nasihat untuk tindakan pencegahan yang perlu diambil.
Jika anak anda telah mendapatkan imunisasi cacar air, anak anda mungkin akan menjangkitinya. Namun simptomnya selalunya ringan6.
Tip Doktor Untuk Menjaga Anak Yang Dijangkiti Cacar Air Di Rumah
Kebanyakan kanak-kanak yang dijangkiti cacar air umumnya hanya memerlukan penjagaan di rumah. Ini yang ibu bapa boleh lakukan mengikut saranan Dr. Ng Yi-Ki:
- Kuarantin anak di rumah sebaik sahaja bergejala sehingga keruping mula berkurangan
- Berikan paracetamol jika anak demam
- Sentiasa mencuci tangan selepas menguruskan anak
- Pastikan anak makan makanan berkhasiat dan seimbang dan minum air secukupnya
- Sapukan losyen kalamine pada bahagian ruam untuk melegakan kegatalan
Imej untuk tujuan ilustrasi sahaja
- Jika ruam terlalu gatal sehingga mengganggu keselesaan anak, maklumkan kepada doktor.
- Pastikan kuku anak telah dipotong pendek untuk mengelakkan anak menggaru ruam sehingga terluka.
Bagi pesakit yang berumur 12 tahun ke atas dan mereka yang berada dalam golongan berisiko tinggi, doktor mungkin juga akan memberikan ubat anti-virus untuk cacar air6.
Anda mungkin tertanya-tanya, bilakah anda perlu ke klinik atau hospital? Segeralah mendapatkan rawatan lanjut sekiranya anak anda mengalami beberapa gejala berikut6:
- Demam lebih daripada 4 hari
- Demam melebihi 38.9°C
- Kerap muntah
- Kekejangan leher
- Kesukaran berjalan atau bergerak
- Ruam mulai bernanah (tanda jangkitan bakteria)
- Kesukaran bernafas
- Sakit perut yang melampau
- Batuk yang serius
- Bintik-bintik berdarah atau lebam
Mencegah Lebih Baik Daripada Merawat
Secara umumnya, penyakit cacar air tidaklah serius. Namun, disebabkan virus ini sangat mudah merebak, lebih baik kita mengawal penyebarannya daripada merawat kesan-kesan jangkitannya, yang berkemungkinan mengakibatkan komplikasi serius jika menjangkiti golongan berisiko tinggi.
Walaupun imunisasi cacar air tidak diwajibkan dalam Jadual Imunisasi Kebangsaan, ibu bapa tidak patut memandang ringan terhadap penyakit ini. Nasihat terakhir Dr. Ng Yi-Ki? “Walaupun jangkitannya adalah pada tahap normal, anak anda tetap tidak dapat hadir ke sekolah selama satu hingga dua minggu. Salah satu kaedah untuk mengelakkan jangkitan cacar air ialah dengan mendapatkan vaksinasi cacar air.”*
Sebagai ibu bapa, tanggung jawab anda untuk memastikan kesejahteraan anak dan seisi keluarga amat penting. Dengan menjaga kesihatan keluarga sendiri, anda juga secara tidak langsung turut menjaga kesejahteraan komuniti. Oleh itu, lindungilah anak-anak tersayang daripada penyakit berjangkit seperti cacar air agar mereka dapat menikmati zaman kanak-kanak yang lebih menggembirakan dan berkualiti.
Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan tentang cara pencegahan penyakit cacar air, contohnya imunisasi cacar air, dapatkanlah nasihat doktor pakar. Doktor pastinya akan memberikan nasihat yang memanfaatkan kesihatan anak anda. Jangan tunggu sehingga terlambat.
*Maklumat ini disediakan sebagai perkhidmatan profesional oleh MSD. Pandangan yang dinyatakan dalam penerbitan mencerminkan pengalaman dan pendapat penulis.
MY-VVX-00136 Oct/2022
REFERENCES:
- Nidirect. Childhood illnesses. Available From: https://www.nidirect.gov.uk/conditions/childhood-illnesses. Last Accessed 5 September 2022.
- PORTAL MyHealth. Chickenpox. Available From: https://www.myhealth.gov.my/en/chickenpox/. Last Accessed 5 September 2022.
- Centers for Disease Control and Prevention. Chickenpox (Varicella). Available From: https://www.cdc.gov/chickenpox/about/complications.html. Last Accessed 5 September 2022.
- Mayo Clinic. What are the risks associated with chickenpox and pregnancy?. Available From: https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/pregnancy-week-by-week/expert-answers/chickenpox-and-pregnancy/faq-20057886. Last Accessed 5 September 2022.
- National Institutes of Health. Congenital Varicella Syndrome. Available From: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK568794/. Last Accessed 5 September 2022.
- Centers for Disease Control and Prevention. Chickenpox (Varicella). Available From: https://www.cdc.gov/chickenpox/about/prevention-treatment.html. Last Accessed 5 September 2022.
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!