Abang beri adik 7 bulan hisap jarinya di tepi kaki lima untuk menahan lapar

lead image

Tular di media sosial kisah seorang abang duduk di tepi kaki lima bersama adiknya berusia 7 bulan yang penuh hingus di hidung. Sebak hati bagi siapa yang melihatnya! Ibu bapa mereka entah ke mana dan di rumah tiada duit dan tiada makanan. Ikuti kisah yang sangat menyentuh hati ini dan ketahui apa yang boleh kita lakukan.

Tatkala harga barang melambung tinggi dan nilai matawang ringgit semakin lemah hari demi hari, tidak mustahil akan ada golongan kurang bernasib baik yang terkesan dengan keadaan kegawatan ekonomi ini.

Sudah pasti, yang paling terjejas adalah golongan miskin. Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan cerita tular di laman sosial bagaimana seorang abang duduk bermain di kaki lima dengan adiknya berusia baru 7 bulan – duduk di lantai tanpa sebarang lapik dan tiada makanan untuk di makan.

Dua Beradik Duduk di Kaki Lima Tanpa Alas

Berlaku di Sabah, seorang wanita bernama Hamiatie Abd Hamid, menceritakan semula bagaimana ianya berlaku. Ketika itu, beliau baru keluar dari kedai. Beliau terserempak dengan seorang budak lelaki yang duduk di kaki lima.

Seorang bayi pula baring tertiarap di hadapan budak tersebut dengan hingus di hidung yang meleleh. Nampak terbiar tanpa kelibat ibu atau bapanya di sisi. Si abang ralit bermain-main dengan adik kecilnya.

Beliau menegur si abang berkenaan yang kemudiannya mendedahkan yang bapanya telah ditangkap oleh polis kerana tiada kad pengenalan diri. Ibunya pula meninggalkan mereka di situ, lalu pergi entah ke mana.

Abang beri adik 7 bulan hisap jarinya di tepi kaki lima untuk menahan lapar

Source: FB Hamiatie

Adik Merengek, Abang Beri Jari untuk Adik Hisap Bagi Menghilangkan Tangisan

Sambil mengelap hingus yang meleleh di hidung adiknya, si abang turut berkata yang di rumah mereka tiada makanan kerana tiada duit. Adiknya pula mula merengek dan si abang memasukkan jari ke dalam mulutnya untuk menghilangkan tangisan si adik.

Tersentuh melihat keadaan yang menyedihkan itu, Hamiatie kemudiannya pergi ke kedai roti berhampiran dan membeli sekotak susu dan roti, sambil berharap yang ia mampu menghilangkan lapar dan dahaga dua beradik itu.

Abang beri adik 7 bulan hisap jarinya di tepi kaki lima untuk menahan lapar

Source: FB Hamiatie

“Nah, bagi adik kamu minum susu ini”….

Air mata sudah tidak tertahan lagi. Sambil menghulurkan makanan kepada si abang, air mata beliau mula menitis. Si abang lalu mengambil makanan dan mula memberikan minuman susu tersebut kepada bayi kecil tadi.

Sudah pasti, siapa sahaja yang melihat keadaan ini dijalanan, akan meruntun hatinya. Hasrat di hati pasti ingin membantu lebih daripada sekadar memberi duit atau makanan. Tetapi, apakan daya, tidak ada yang mampu dilakukan untuk mengubah keadaan tersebut.

Dengan hati yang masih sayu, Hamiatie pun meninggalkan dua beradik ini dan menuju ke keretanya sambil berdoa semoga dipelihara anak-anak ini oleh Allah.

Kanak-Kanak Palauh di Sabah

Di Sabah, memang terdapat ramai kanak-kanak yang berkeliaran di sekitar bandar mengemis. Ada yang tidak meminta-minta (seperti dua beradik ini), namun ada yang meminta duit sehingga mengganggu ketenteraman orang awam. Status kewarganegaraaan mereka juga ada yang meragukan. Orang tempatan menggelarkan kanak-kanak sebegini sebagai ‘budak palauh’.

Abang beri adik 7 bulan hisap jarinya di tepi kaki lima untuk menahan lapar

Source: Ashgive.com

Ada di antara mereka yang datang dari negara jiran dan ada juga yang merupakan dari kalangan orang asli, iaitu orang yang hidup di atas perahu di laut dan kemudiannya ke bandar.

Apa yang boleh kita lakukan?

Sudah pasti, di samping mengetahui dan mengambil iktibar daripada cerita ini, pasti ada di antara kita yang inginkan jalan penyelesaian bagi masalah kanak-kanak di kaki lima begini.

Apa yang kita boleh lakukan supaya golongan yang kurang berkemampuan dapat dibantu untuk meneruskan kehidupan mereka dengan lebih baik?

  1. Pertamanya, bantulah sekadar di dalam kemampuan kita. Ada yang menghulurkan duit kepada anak-anak ini supaya mereka boleh membeli apa yang mereka perlukan.
  1. Ada juga yang lebih gemar untuk membelikan makanan, minuman atau keperluan lain yang mereka rasa diperlukan oleh kanak-kanak ini. Ini bertujuan untuk mengelakkan anak-anak daripada menyalahgunakan wang yang diberi.
  1. Selain itu, kita juga boleh menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jika kita lihat kanak-kanak ini selalu berada di tempat tertentu. Pegawai JKM akan turun padang dan mengambil anak-anak bagi tindakan lanjut.

Jadi, apa yang berlaku selepas anak-anak ini di ambil oleh pegawai JKM?

JKM akan menyelamatkan pengemis atau anak-anak kutu rayau ini mengikut Akta Orang Papa 1977. Selepas menyoal siasat, mereka yang di selamatkan ini akan sama ada di pulangkan kepada keluarga atau di beri penjagaan dan pemulihan di institusi kebajikan.

Jika yang di selamatkan ini tidak mempunyai taraf kewarganegaraan yang sah, JKM akan menyerahkan mereka kepada Jabatan Imegresen bagi dewasa dan pengemis kanak-kanak akan di uruskan pula mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

Penulis

Noor