Perkembangan kanak-kanak perlulah seiring dengan usia mereka. Bagi menggalakkan si manja aktif dan sihat, ada beberapa aktiviti motor kasar yang boleh anda lakukan bersama di rumah.
Menurut Pengurus Latihan & Perundingan, Norliyana Raya, maksud kemahiran motor kasar adalah kemahiran pergerakan yang melibatkan sendi-sendi besar iaitu sendi di bahagian atas badan dan sendi di bahagian bawah badan.
17 Aktiviti Motor Kasar Kanak-Kanak
Pergerakan motor kasar sebenarnya memainkan peranan yang besar untuk kemahiran lain dalam diri kanak-kanak terutamanya kemahiran kognitif iaitu pemikiran dan pembelajaran.
Berikut beberapa kemahiran dan aktiviti motor kasar untuk anak:
1. Memanjat
Anak suka memanjat bukanlah tanda mereka bermasalah atau hiperaktif, tetapi ia adalah kemaahiran penting dalam perkembangan motor kasar. Selalunya skil memanjat akan bermula sejak anak mula belajar merangkak semasa umur 7-10 bulan.
Apabila memanjat, ia secara tak langsung anak akan dapat “deep pressure” di telapak tangan dan jari-jari.
Kalau ibu ayah tidak larat bawa anak ke taman setiap petang, luangkanlah masa layankan si manja memanjat tangga, sofa atau gril di rumah sambil menyokong anak di belakang seawal mereka mula memanjat.
2. Main Pasir Atau Lumpur
Pasir adalah bahan deria sempurna untuk kanak-kanak yang suka kepada sentuhan. Melalui aktiviti ini, si manja dapat menggenggam, menghancurkan, menggumpal dan menyelerakkan pasir. Ia adalah bagus bagi meningkatkan membina otot kasar dan otot halus.
#3. Menyapu Lantai
Tidak kira anak perempuan atau lelaki, mereka hendaklah diajar dengan kemahiran asas mengurus rumah. Seawal usia 1 tahun, si manja akan menunjukkan minat untuk ‘membantu’ ibu di dapur atau ketika mengemas rumah.
Aktiviti motor kasar ini tidak hanya baik untuk menguatkan otot tangan dan kaki anak, tetapi juga mendidik mereka dengan tanggungjawab. Justeru jangan halang anak sekiranya mereka bermain dengan penyapu atau alat vakum rumah.
4. Main Air
Tahukah anda, permainan air ini juga bermanfaat untuk perkembangan kognitif dan fizikal mereka? Menurut Ketua Lembaga Penasihat Pendidikan di The Goddard School, perrmainan air adalah aktiviti sensori motor yang sangat baik.
Aktiviti ini juga dapat mendorong perkembangan bahasa dan sosial-emosi. “Bahasa dapat diasah melalui permainan air, kerana menyediakan waktu untuk berbicara, berkomunikasi, dan mengajukan pertanyaan terbuka,” katanya.
Mengaut, menuangkan dan menyaring dapat memberi terapi kepada anak-anak kecil dan mengelakkan dari mudah meragam.
5. Berenang
Berenang antara salah satu aktiviti motor kasar. Hal ini kerana semua otot digunakan untuk mengekalkan posisi dan bergerak di dalam air. Kanak-kanak akan menendang, menarik dan menolak air semasa berenang.
Otot perlu bekerja lebih keras untuk melawan rintangan yang diberikan oleh air. Oleh sebab itu, ia akan lebih cepat menjadi kuat dan fleksibiliti meningkat.
Berenang merupakan aktiviti berimpak rendah. Keapungan air menghilangkan tekanan yang dilakukan oleh graviti pada otot. Jadi, risiko untuk mendapatkan kecederaan akan berkurangan jika dibandingkan dengan aktiviti di darat.
6. Berbasikal
Aktiviti berbasikal dapat meningkatkan kemahiran psikomotor, koordinasi, ketangkasan dan keseimbangan badan. Ia juga mendorong perkembangan intelektual si manja.
Seawal usia setahun, ibu ayah boleh menyediakan balance bike untuk melatih anak-anak kecil untuk menggunakan kedua-dua belah kaki mereka bagi mengimbangkan basikal dan diri.
7. Lempar Dan Tangkap Bola
Sebenarnya dengan bermain bola bayi secara tidak langsung membentuk perkembangan dalam daya penelitian, fokus kepada permerhatian, rasa dan emosi, pergerakan dan juga pemikiran.
Justeru ibu ayah dinasihatkan membeli bola yang sesuai dengan usia anak. Elakkan beli bola yang berat kerana ia sukar dipegang oleh si manja.
8. Main Buaian Dan Gelongsor
Bermain buaian dan gelongsor dapat membantu perkembangan fizikal serta neuro-sensori, seperti: vestibular (keseimbangan), proprioception (posisi tubuh) dan visiospatial (keberadaan).
Perkembangan neuro-sensori ini memastikan kanak-kanak membesar menjadi seorang dewasa yang tinggi ketahanan fizikal, cekap dalam tugasan, dan mudah belajar sesuatu kemahiran.
9. Bergayut
Bergayut merupakan salah satu daripada rangsangan sensori pergerakan (proprioseptif) untuk menambah ketahanan otot dan sendi anak-anak.
Semasa anak mengawal otot badan ketika bergayut, anak akan melatih keseimbangan tubuh badannya. Keseimbangan tubuh badan yang baik akan membantu anak untuk duduk lama di atas kerusi.
10. Main Kejar-Kejar
Berlari dan main kejar-kejar adalah aktiviti paling seronok untuk dilakukan. Ia sangat mudah dan memerlukan masa hanya 10 minit untuk memacu adrenalin dalam tubuh yang membantu mengepam otak kita dengan darah dan membuat kita sihat dan ingin terus bermain.
11. Pretend Play
Kanak-kanak meningkatkan kemahiran motor kasar apabila mereka menggunakan badan mereka untuk menjadi itik yang berjalan terhuyung-hayang, robot berkaki kaku, kuda berlari-lari, kapal terbang terbang tinggi, atau mana-mana makhluk lain yang mereka boleh bayangkan.
Mahu si manja bergerak lebih aktif? Mainkan permainan di mana anda berjalan seperti haiwan bersama-sama dan biarkan mereka cuba bergerak seperti pelbagai jenis haiwan.
12. Menari
Kanak-kanak boleh menari bebas atau mengikuti lagu-lagu dengan pergerakan, seperti “Kepala, Bahu, Lutut, dan Jari Kaki,” “Saya Sebuah Teapot Kecil,” “Roda di Bas,” atau “Popcorn.”
13. Menarik dan Menolak Mainan Besar
Bermain dengan gerabak, trak besar, kereta sorong anak patung, atau troli membeli-belah membantu mengembangkan kekuatan dan koordinasi bahagian atas badan.
14. Yoga Mesra Kanak-kanak
Yoga bukan hanya untuk orang dewasa. Kanak-kanak prasekolah anda akan suka menggayakan posisi yang menarik sambil belajar nama-nama setiap satu. Dan jatuh adalah sebahagian daripada keseronokan.
15. Melontar Kapal Terbang Kertas
Bantu kanak-kanak prasekolah anda membuat dan menghias kapal terbang kertas dan kemudian gunakan otot lengan si manja untuk melihat sejauh mana mereka boleh melontarkannya.
16. Mencari Kepingan Puzzle
Sembunyikan kepingan puzzle kegemaran di sekitar rumah dan biarkan anak-anak anda mencari kepingan itu sambil mereka menyusunnya bersama.
17. Berjalan atau Mendaki
Bawa anak berjalan kaki di sekitar kawasan kejiranan atau taman. Tambahkan keseronokan dengan membawa alat muzik ringkas untuk membentuk perarakan muzik. Semasa berjalan, ceritakan kisah, cari warna, kira, atau mainkan permainan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Selain Kemahiran 3M, Terapis Cara Kerja Senarai Lima Skil PENTING Sebelum Anak Masuk Darjah 1
Baca juga: Penting Kembangkan Kemahiran Motor Halus Anak – Baru Anak Cepat Menulis