Kemahiran motor halus perlu diasah, dan bukan berkembang secara sendiri. Terdapat pelbagai aktiviti yang dapat membantu anak anda untuk perkembangan kemahiran motor halusnya. Di sini kami kongsikan aktiviti yang anak anda boleh terlibat bagi perkembangan kemahiran motor halusnya.
Sebagai ibu bapa, anda pasti berhasrat untuk melihat perkembangan tumbesaran anak anda. Baik secara fizikal, mahupun secara emosi ataupun perkembangan kemahirannya. Ya, kanak-kanak yang sedang membesar pasti mempunyai banyak perubahan ketara yang seronok untuk disaksikan.
Tetapi, kemahiran si manja bukan berkembang secara sendiri, sebaliknya kemahiran-kemahiran ini perlu diasah dan digilap oleh ibu bapa terlebih dahulu.
Apa Itu Kemahiran Motor Halus?
Sumber gambar: FunShine Blog
Ketika si manja membesar, adakah anda perasan akan perubahan perkara yang dia boleh lakukan? Semasa usia bayi berada dalam lingkungan 0-3 bulan pun kita sudah boleh melihat perubahan yang ketara kepada kemahiran motor bayi. Ketika lingkungan umur ini, kita boleh melihat bayi yang sentiasa menggenggam tangannya akan mula melembutkan pegangan, dan kemudian mula memasukkan tangan ke dalam mulut. Ya, ini salah satu contoh kemahiran motor halus!
Sementara itu, secara amnya, kemahiran motor halus bermaksud keupayaan bayi dalam mengkoordinasikan pergerakan tangan mereka; dari pergelangan tangan hingga ke jari tangan dan kaki.
Anda mungkin fikir, “Tapi, bukankah itu naluri semulajadi semua individu? Pasti dia akan belajar sendiri.” Ya, betul. Tetapi, otot-otot yang berada di dalam tangan, jari dan sebagainya perlulah sentiasa dilatih untuk berkembang supaya lebih kuat. Ini untuk memastikan ketika bayi sudah meningkat umurnya, dia berkebolehan untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang lebih kompleks.
Ambil diri kita sendiri sebagai contoh, hari-hari kita melatih kemahiran motor halus kita dengan melakukan perkara-perkara kecil seperti menulis, mengambil barang dan juga menaip. Secara tidak langsung, otot kita juga akan semakin mengembang dan kuat.
Oleh sebab itu, si manja anda terutamanya perlu latihan perkembangan kemahiran motor halus. Jadi, si ibu dan/atau ayah bolehlah mencuba aktiviti-aktiviti ini!
Aktiviti Untuk Mengembangkan Kemahiran Motor Halus Anak
Sumber gambar: veldalauder.co.uk
1# 0-3 bulan
Pengasahan kemahiran motor halus si manja sebaiknya bermula seawal usia. Pada usia ini, anda boleh mencuba beberapa aktiviti yang mudah bagi si manja. Jangan risau jika bayi anda tidak dapat melakukannya pada kali pertama, terus galakkan si manja dengan sentiasa melakukan aktiviti di bawah:
- Mengusap buku jari mereka dengan rattle toy. Jika bayi mula membuka genggaman, letakkan mainan tersebut dengan perlahan-lahan di atas tangan bayi. Si manja mungkin tidak dapat memegang mainan tersebut dengan baik, tetapi ia permulaan yang baik!
- Pernah dengar tentang tummy time? Apabila anda meletakkan bayi dalam keadaan meniarap, ini memaksa mereka menggunakan refleks untuk mengangkat kepala mereka, sekaligus menguatkan belakang, otot bahu, lengan dan tangan mereka.Tetapi, jangan biarkan si manja meniarap terlalu lama. Nanti sakit pula.
- Memanfaatkan gim mainan bayi. Letakkan si manja di bawah mainan tersebut; objek-objek berwarna-warni yang tergantung akan menggalakkan koordinasi antara mata dan tangan jika bayi bermain-main dengan objek tersebut.
2# 4-7 bulan
Pada lingkungan umur ini, bayi sudah mula berupaya untuk memegang objek dengan durasi yang lebih lama.
- Hulurkan blok mainan yang lembut pada si manja untuk dia mencapainya. Ini melatih bayi untuk memegang barang mainan tanpa melepaskannya.
- Letakkan bayi anda dalam posisi yang berlainan sekali-sekali, supaya mereka akan mula belajar cara untuk mengkoordinasi pergerakan mereka untuk memudahkan aktiviti-aktiviti mereka seraya menguatkan otot mereka.
Sumber gambar: www.mylearningfun.com
3# 8-12 bulan
Pada umur ini, anda tentu kagum dengan perubahan yang ketara kepada kekuatan otot si manja. Mereka sudah boleh berdiri sendiri dan akan mula berjalan atau merangkak. Ketika bayi sudah menginjak ke lingkungan usia ini, anda boleh mula melakukan perkara-perkara ini:
- Mengalihkan perabot lebih dekat antara satu sama lain supaya si manja dapat berpaut kepada meja atau kerusi untuk menyokong berat badan mereka ketika mereka.
- Berbalik kepada blok mainan lembut yang si manja telah gunakan ketika berusia lingkungan 4-7 bulan, anda boleh mengajar bayi cara untuk menyusun blok-blok tersebut di atas satu sama lain.
- Memperkenalkan si kecil kepada papan putih, hitam atau yang paling ideal, Etch-A-Sketch, supaya si manja boleh belajar menconteng tanpa kecomotan yang melampau.
- Memberikan si manja memegang makanan yang telah dipotong kepada saiz yang bersesuaian untuk mereka genggam. Ini akan menggalakkan bayi menyuap makanan sendiri, walaupun bukan semua yang akan masuk ke dalam mulut mereka.
Semakin usia bayi meningkat dan si manja sudah mempunyai koordinasi kemahiran motor halus yang lebih baik, anda boleh juga cuba melibatkan bayi di dalam aktiviti-aktiviti seperti di bawah:
- Memberi peluang untuk anda membantu anda di dapur dengan tugas-tugas yang mudah dan tidak merbahaya, seperti mengaul adunan atau menuang bahan-bahan basah ke dalam bahan kering ketika membuat kek.
- Memasang papan susun suai gambar sebagai satu keluarga. Bukan sahaja anda akan menggalakkan perkembangan kemahiran motor halus si manja, tetapi anda juga dapat merapatkan hubungan antara anda, anak dan keluarga secara keseluruhannya.
- Jangan takut untuk comot-comot! Ajaklah anak anda mengecat menggunakan jari mereka sebelum mengajar mereka cara untuk memegang berus. Aktiviti ini juga dapat merangsang daya kreativiti anak.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia.
Sumber: Pampers, Parents, Healthline Parenthood
Baca juga: Pentingnya Ajar Anak Melompat, Ada Kaitan Dengan Kemahiran Membaca & Menulis
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!