Badan Dah Lembik Gara-Gara Alahan Mengandung Teruk, Ini Cara Untuk Ibu Hadapinya!

Alahan mengandung atau morning sickness merupakan masalah paling kerap dihadapi oleh kebanyakan ibu. Namun adakah normal ia berlaku hingga trimester ketiga?

Masalah alahan mengandung antara yang paling kerap dihadapi oleh kebanyakan wanita bergelar ibu. Ramai mengakui bahawa menderita loya dan muntah melampau terutamanya ketika dalam trimester pertama.

Tentu sahaja keadaan ini membuatkan rasa tidak selesa dan hilang tenaga untuk melakukan aktiviti seharian. Malah deria bau juga menjadi lebih sensitif sehingga sebarang wangian atau masakan terhidu tanpa sengaja pun boleh menyebabkan anda muntah!

Alahan mengandung adalah perkara normal

credit to sources

Menurut seorang pegawai perubatan, Dr Farhanah Ibrahim berkata, alahan mengandung biasanya berlaku kerana perubahan hormon dalam diri ibu hamil. 

”Estrogen dan progesteron yang lebih tinggi akan menyebabkan pergerakan usus menjadi perlahan. Apabila kedua-duanya bergabung, ia menyebabkan perubahan fisiologi yang lain dan menyumbang kepada rasa loya atau ingin muntah pada awal kehamilan,” jelasnya.

Kesan mabuk hamil berbeza bagi setiap ibu mengandung. Ada sesetengahnya hanya mengalami rasa loya apabila bangun pagi dan ada juga perlu bertahan sehingga beberapa minggu atau bulan ‘melayan’ pembawakan anak ini.

Tidak dinafikan, ia berupaya menganggu anda dari segi fizikal, emosi dan sosial. Rutin normal setiap hari akan terpaksa dihentikan seketika kerana diri anda tidak mampu untuk menangani tuntutan bekerja, bersosial dan menjaga anak-anak dalam suatu masa.

Disebabkan itulah ramai wanita mengambil masa untuk berehat atau berhenti kerja kerana masalah morning sickness ini. Pada awal mengetahui diri berbadan dua, anda mungkin tidak ingin menghebahkan kepada sesiapa tentang kehamilan ini. Namun ia amat sukar kerana penampilan mungkin sedikit tidak terurus dan raut wajah selalu pucat.

Sekiranya teruk, dapatkan rawatan doktor

credit to sources

Ramai doktor menganggap bahawa masalah alahan adalah keadaan yang tidak serius. Namun kajian menunjukkan bahawa kadang-kala mereka menganggar kurang kesannya ke atas diri wanita hamil. Hasil kajian membuktikan bahawa sesetengah ibu yang merasakan loya adalah lebih teruk daripada muntah.

Hal ini kerana muntah hanya memberikan kelegaan buat sementara waktu. Jika anda muntah banyak kali dalam sehari sehingga tidak boleh makan atau minum, berat badan akan menjadi berkurang. Anda boleh dehidrasi dan kekurangan nutrisi. Rawatan awal dapat mengelakkan masalah ini atau anda mungkin dimasukkan ke hospital untuk hiperemesis.

Langkah bagi mengurangkan rasa loya dan muntah

Tentu sahaja anda akan mengelak dari mengambil makanan mengandungi bauan yang membuatkan perut memulas. Beberapa langkah ini boleh membantu:

#1. Hidu buah lemon

Sepotong buah lemon berpotensi untuk mengurangkan rasa loya. Caranya adalah dengan menambahkan beberapa hiris lemon ke dalam minuman kegemaran anda.

#2. Mengambil vitamin B6 atau multivitamin kehamilan

Sekiranya anda mengambil vitamin sepanjang kehamilan, ia membantu untuk mengurangkan simptom alahan yang teruk. Jadi dapatkan terlebih dahulu nasihat daripada doktor sebelum mengambil sebarang makanan tambahan semasa mengandung.

#3. Makan sedikit dan kerap

credit to sources

Keadaan perut yang kosong boleh menyebabkan masalah loya menjadi lebih teruk. Justeru, kekalkan tahap gula secara stabil dalam darah. Amal pemakanan kering dan hambar dalam jumlah sedikit sepanjang hari.

#4. Simpan snek ringan

Snek ringan seperti biskut tawar hendaklah diletakkan di tempat yang paling dekat dengan anda dan mudah diambil. Setiap pagi, luangkan sedikit masa untuk makan beberapa keping biskut terlebih dahulu dan berehatlah sebelum anda turut dari katil.

#5. Minum antara waktu makan

Cuba untuk minum antara waktu makan terutamanya jika anda merasakan sukar melakukannya kerana risau akan muntah semula. Hadkan minuman semasa makan, pastikan anda minm dengan kerap. Sekiranya ibu muntah keluar air, boleh juga cuba menghisap beberapa ketul kiub ais.

#6. Guna terapi semula jadi

Aromaterapi seperti minyak limau nipis, sitrus, lemon atau homeopati dapat membantu anda. Namun berjumpalah dengan pakar yang berpengalaman dalam merawat wanita hamil.

Selain itu, elakkan tertekan seorang diri di rumah. Dapatkanlah seseorang yang boleh menjadi pendengar kerana ia boleh membantu anda melalui detik sukar ini dengan baik. Ibu boleh berbual-bual dengan ibu lain yang dalam tahap kehamilan sama dengan anda melalui komuniti kami.

Sumber: Harian Metro, Babycenter

Kredit foto: Google

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:

https://my.theasianparent.combuah-untuk-ibu-mengandung