Senarai Amalan Ibu Mengandung Agar Janin Membesar Dengan Baik & Mudah Bersalin

Amalan ibu mengandung sangat penting merangsang perkembangan janin agar membesar dengan sihat dan memudahkan proses bersalin. Tips ini mungkin membantu!

Setiap pasangan suami isteri pastinya ternanti-nantikan kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap rumah tangga. Bagi anda yang baru pertama kali dikurniakan zuriat, beberapa amalan ibu mengandung ini perlu dipraktikkan dalam seharian agar anak membesar dengan sihat dan bijak.

Semestinya kedatangaan orang baru dalam keluarga ini memberikan pelbagai perasaan teruja, bersyukur dan gembira. Mungkin sahaja bagi sesetengah ibu hamil, anda akan mengalami fasa perubahan emosi dan fizikal disebabkan hormon tidak stabil.

Kepentingan Amalan Ibu Mengandung

Bayangkan anda meneruskan kehidupan seperti biasa ketika mengandung, tanpa mengamalkan apa-apa yang ekstra, tentunya ia sedikit sebanyak memberi impak kurang baik pada kandungan. 

Minum kopi seperti biasa, menonton televisyen dan menonton filem di pawagam seperti biasa, melakukan rutin kecantikan dengan menggunakan produk-produk berkimia seperti biasa. Bayangkan saja, sudah cukup mengerikan. 

Ini kerana ketika mengandung banyak benda biasa yang dilakukan sebelum mengandung, kini tidak boleh dilakukan. Dan amalan yang jarang kita buat sebelum mengandung, perlu diperbanyakkan ketika hamil supaya janin yang dikandung sentiasa dalam keadaan sihat dan membesar dengan selamat. 

Ketika mengandung perlu perbanyakkan bacaan ilmiah, bacaan Al-Quran, berzikir, mendengar dendangan muzik yang tenang, makan makanan yang sihat dan pengambilan suplemen. 

Sekiranya semua ini tak dilakukan, bimbang bayi dalam kandungan tidak membesar dengan ‘gembira’ dan sihat. Untuk ketahui lebih lanjut ayuh kita semak senarai amalan ibu mengandung yang penting. 

Senarai Amalan Ibu Mengandung

credit to sources

1. Bersyukur Atas Setiap Rezeki Dan Ujian

Memandangkan perjalanan kehamilan tidak semudah yang anda sangkakan, tetaplah bersyukur kepada Allah kerana diberi nikmat zuriat. Kebanyakan wanita mengakui bahawa akan datang ujian berbeza bagi setiap anak seperti susah tidur malam, sakit-sakit badan, pening kepala dan loya.

Menurut surah Luqman, ayat 14:

”…ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya)…”

Dalam hal ini walaupun terpaksa berdepan pelbagai kesukaran, sentiasa meningatkan diri bahawa Allah tidak pernah membebankan hambaNya melebihi kemampuan anda. 

Allah juga menitipkan hikmah dan kebaikan yang setiap manusia sendiri tidak mengetahuinya. Jadi sentiasa bersyukur dan bersabarlah kerana Allah mempunyai perancangan lebih baik berbanding hambaNya.

2. Kurangkan Perkongsian Di Media Sosial

Memandangkan segala kenangan manis kini sering dikongsikan dalam media sosial, ibu-ibu perlu elak memuat naik gambar imbasan bayi, menunjukkan baby bump dan menulis caption dengan tujuan menghebahkan kehamilan anda secara keterlaluan.

Sebenarnya ramai tidak tahu bahawa maksud janin berasal dari perkataan Arab iaitu ‘perkara yang tersembunyi’. Jadi anda perlu menyembunyikannya kerana risau mengundang fitnah atau penyakit ‘ain.

Menurut Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, penyakit ‘ain atau penyakit mata adalah sesuatu menyerupai hasad dengki, di mana dari Aisyah r.a Rasulullah S.A.W bersabda:

Maksudnya: Mintalah kalian perlindungan kepada Allah dari ‘ain (mata jahat) kerana sesungguhnya ain itu haq (benar) (HR Ibnu Majah).

3. Menjadikan Solat Sebagai Meditasi 

credit to sources

Ketika tempoh mengandung, setiap ibu amat disarankan untuk kekal aktif dan melakukan senaman ringan di rumah.

Bagi ibu bekerjaya, anda mungkin lebih cenderung berasa tertekan dengan kerja. Dalam hal ini, meditasi atau senaman pernafasan turut dianjurkan. Sebenarnya solat adalah gabungan kedua-dua senaman dan meditasi melalui pergerakan serta luahan masalah kepada Allah S.W.T.

Sesudah solat jangan lupa untuk doa dipermudahkan urusan. Bacaan ayat Kursi, Al Fatihah dan tiga kul juga jangan ditinggalkan. Ketahui juga surah amalan ibu mengandung supaya elok untuk diamalkan sepanjang kehamilan.

Selain itu, senaman lantai yang diamalkan oleh orang Barat turut mengakui bahawa posisi tubuh dalam keadaan sujud dapat membantu ibu hamil supaya mudah bersalin.

4. Menjaga Pemakanan Sihat Sebagai Amalan Ibu Mengandung

Islam adalah agama yang sangat mengutamakan perkara-perkara baik. Selain melakukan ibadah, anda turut diajar tentang tabiat pemakanan seimbang dan tidak diambil secara berlebihan.

Manakala rahsia generasi Yahudi dikatakan bijak disebabkan amalan ibu mengandung dipraktiskan mereka melalui pemakanan seperti:

  • Gemar memakan kacang badam atau almond
  • Makanan sunnah seperti kurma, delima, madu dan etc
  • Makan kurma bersama susu
  • Suplemen vitamin seperti asid folik jangan pernah tinggal
  • Ikan tanpa kepala (dipercayai bahan kimia boleh merosakkan perkembangan otak)
  • Daging merah supaya boleh menambah darah dan mengelakkan Anemia
  • Salad digaul bersama pelbagai jenis kacang
  • Pengambilan pil minyak ikan
  • Makan buah-buahan dahulu sebelum nasi (bagi mengelakkan rasa mengantuk dan lemah memahami sesuatu perkara)
  • Banyakkan sayuran berwarna warni. Juga sayuran hijau untuk mengelakkan sembelit
  • Minum air dengan banyak

Makanan yang perlu dielakkan

Dalam anda mengamalkan pemakanan sihat, ada makanan yang perlu dielakkan kerana ia mungkin membahayakan kandungan seperti:

  • Ikan mentah (shashimi) atau daging mentah
  • Keju 
  • Susu yang tidak dipastur
  • Telur separuh masak atau telur mentah

Ibu hamil juga boleh mengamalkan pemakanan sunnah seperti madu, delima, kurma dan buah tin seperti yang disebutkan di dalam al-quran dan hadis kerana ia adalah golongan superfood tinggi khasiat.

5. Mendalami Ilmu Dan Sentiasa Berzikir

credit to sources

Peranan ilmu adalah sangat penting agar ibu ayah menjadi contoh yang baik bagi anak-anak. Justeru, sentiasalah melengkapkan diri dengan ilmu agama dan keibubapaan dengan menghadiri majlis ilmu, perkongsian di internet atau media sosial atau melalui majalah.

Apabila memasuki trimester kedua, bayi dalam kandungan memiliki kebolehan untuk mendengar. Menurut hadis, roh sudah ditiupkan ke dalam kandungan anda. perkembangannya. 

Justeru pakar menyarankan ibu ayah untuk sering bercakap dengan bayi dan membacakan ayat suci al-quran bagi merangsang perkembangan janin serta memberikan kekuatan kepada diri.

Bukan itu sahaja, ibu juga digalakkan untuk mengamalkan beberapa zikir mudah dan senang diingat. Antara yang diajarkan oleh Rasulullah kepada Fatimah RA yang mengadu kepenatan melakukan kerja harian iaitu:

Rasulullah bersabda, ”Takutlah akan Allah, hai Fatimah. Bertaqwalah dan teruslah melakukan tugasmu terhadap Allah dan kerja-kerja rumah tanggamu. Sewaktu hendak tidur, ucapkanlah 

Subhanallah 33 kali

Alhamdulillah 33 kali

Allahuakbar 34 kali

Dengan ini akan engkau dapati lebih berguna dari seorang pembantu.”

6. Mendengar Muzik Yang Tenang

Tidak kisah sama ada ingin mendengar muzik-muzik yang tenang atau bacaan zikir dan alunan Al-Quran, terserah kepada anda. Bayi boleh mendengar sejak di dalam kandungan lagi, iaitu seawal 18 minggu. 

Sebaik anda menginjak 24 minggu, pendengaran mereka semakin rancak. Jadi rajin-rajin mainkan lagu kegemaran anda yang tenang juga alunan surah-surah yang baik ketika hamil.

Bila bayi anda lahir nanti mereka akan familiar dengan lagu-lagu yang dimainkan. Malah ada potensi mereka menjadi tenang apabila mendengar lagu-lagu itu nanti. 

7. Senaman Ringan Jadi Amalan Ibu Mengandung

Jika anda bukanlah orang yang suka bersenam jangan risau. Ia bukanlah senaman berat dan memenatkan. Cukup sekadar berjalan dan duduk di atas bola gym. Ia dapat membantu anda mengekalkan berat ideal sepanjang kehamilan, malah memudahkan anda untuk kembali ke berat asal selepas bersalin nanti. Malah proses bersalin juga boleh jadi lebih mudah apabila anda bersenam. 

Apa yang perlu dielakkan ketika mengandung

1. Elakkan bercakap benda yang tidak elok

Seperti menyumpah atau mencarut. Kadang-kadang ia berlaku bila sedang marah atau terkejut, jadi sentiasa ingatkan diri untuk tidak bercakap benda-benda yang tidak elok. 

Elakkan mengata orang yang tidak disukai. Jangan terlalu beremosi untuk tidak menyukai seseorang.

2. Jangan mencederakan binatang

Walaupun anda tidak mengandung mencederakan binatang sememangnya perkara yang dilarang. Jadi mungkin sepanjang kehamilan ini elakkan perbuatan seperti bunuh lipas, cicak atau katak. 

3. Jangan sakiti perasaan ibu bapa dan suami

Mendapat redha suami dan ibu bapa sendiri adalah penting untuk pengalaman hamil dan bersalin yang selamat. Bimbang jika terlalu banyak dosa pada suami dan ibu bapa, nanti sukar bagi anda untuk bersalin. Minta maaf terlebih dahulu sebaik anda mendapat tahu anda hamil, atau ketika anda ingin bersalin nanti. 

Ini lebih kepada kesihatan dari sudut kerohanian anda. Jika mental anda sihat maka sihatlah fizikal dan perjalanan kehamilan anda. 

Sentiasa tenangkan fikiran, elakkan stress yang keterlaluan dan yang tidak perlu. Benda kecil jangan terlalu difikirkan. Semoga artikel ini dapat membantu ibu-ibu melalui kehamilan yang sihat!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: 7 Tips Memilih Baju Untuk Ibu Mengandung, Yang Penting Kena Selesa!

Baca juga: Jaga-Jaga Ibu Hamil, Jangan Seronok Sangat Cat Bilik Bayi, Bau Cat Bahaya!

Baca juga:Amalan Ibu Hamil Yang Merepek Tapi Masih Diikuti Hingga Kini