Ramai pasangan yang belum mempunyai anak sendiri mengambil keputusan untuk ambil anak angkat. Namun dalam agama Islam, anak angkat boleh menjadi ‘darah daging’ dengan menjadikan bayi tersebut sebagai anak susuan sebelum mencapai usia 2 tahun.
Walau bagaimanapun, hanya sebahagian wanita yang berjaya melakukan proses cetus susu atau induced lactation ini.
Wanita Berjaya Lakukan Induced Lactation Untuk Ambil Anak Angkat
Kami di theAsianparent kagum dengan kesanggupan seorang wanita yang berusaha melakukan induced lactation bagi membolehkan dirinya melakukan penyusuan badan buat bakal anak angkatnya.
Buat pengetahuan anda, cetus susu adalah amalan membantu wanita yang belum pernah hamil menghasilkan susu.
Salah satu sebab yang paling biasa seseorang mungkin mahu melakukan ini adalah supaya mereka dapat menyusukan bayi angkat atau bayi yang dilahirkan oleh pembawa gestational (juga dikenali sebagai pengganti).
Menyusukan anak angkat melalui cetusan laktasi boleh dilakukan tetapi memerlukan banyak perancangan, introspeksi, dan sokongan. Menyediakan bekalan susu ibu apabila tidak pernah hamil melibatkan memperdaya badan anda dengan isyarat yang memberitahu ia menghasilkan susu.
Ibu Kandung Tukar Keputusan Untuk Tidak Memberi Bayi
Pada tanggal hari kelahiran si manja pada 27 September, pastinya berdebar-debar apabila hari bahagia yang ditunggu tiba jua. Tambahan lagi, usaha Puan Arina melakukan cetusan laktasi bagi memberi penyusuan kepada anak angkatnya sudah diusahakan sejak berbulan lamanya.
Namun rezeki tidak menyebelahi pasangan ini apabila ibu kandung bayi tersebut menukar fikiran pada saat-saat akhir. Proses ambil anak angkat sudah pun selesai, tetapi takdir yang ditetapkan membuatkan mereka redha dengan keputusan si ibu.
Berikut sebahagian perkongsian terbaru Puan Arina Amin di Facebook:
Assalamualaikum ibu-ibu hebat semua!
Ingat lagi tak saya? Saya pernah share tentang usaha saya hasilkan susu untuk bakal anak angkat.
Disini saya cuma nak memberitahu, baby selamat lahir pada 27 September melalui c-section di hospital kerajaan.
Tapi baby tersebut bukan rezeki kami kerana biomum tak jadi beri baby pada hari yang sepatutnya kami terima baby tersebut. Kami dah memandu 3 jam ke lokasi, dah sampai, biomum tak jadi beri baby. Dapat berbincang sekejap dan selesaikan dokumen. Biomum minta nak pantang dengan baby 2 minggu. Saya pun pulang ke KL. Tak sampai 2 hari, saya dapat berita, biomum tak jadi beri baby. Dia nekad nak jaga babynya.
Walaupun banyak duit dah habis, susu yang dah cecah 9oz sehari, walau akuan sumpah sudah selesai, biomum berhak untuk tidak beri anaknya walau biomum umur 18 tahun.
Kami redha.
Dan saya sangat bersyukur kerana melalui journey saya, saya dapat ajak ibu-ibu yang punya anak angkat, menghasilkan susu.
Mereka kini ada yang dah berjaya 5 kali kenyang, ada yang sudah 1 kali kenyang, ada yang dah mula kumpul susu. Saya rasa puas hati dapat bantu sedikit sebanyak. Moga ada saham saya di ‘sana’ nanti. Ameen!
Dan hari ni secara rasminya saya berhenti makan ubat. Dan akan mula hentikan pengeluaran susu. Saya dah stop pam. Saya cuma marmet untuk sekadar bagi breast tak bengkak. Dan saya jarakkan waktu marmet jauh sikit. Supaya production berkurangan dan stop nanti.
Barang Bayi Semua Sudah Lengkap
Sedih juga lah sebab barang baby semua dah lengkap. Saya sempat susukan baby tersebut 2 kali. Tapi akhirnya bukan rezeki kami.
Ada sahabat berkata, “Mungkin ini cara Allah nak beri pahala tanpa perlu melalui kesusahan menjaga baby.”
Ibu mentua saya pula kata, “Mungkin ini cara Allah nak lindung kita dari kemudaratan.”
Walaubagaimanapun, saya syukur saya dah ada 2 anak susuan iaitu Fayyadh dan Yusuf. Saya ada 2 keluarga. Iaitu Aza Nia dan Nurul Jannah ibu-ibu kepada anak-anak soleh ni.
Doakan saya ya ibu-ibu hebat semua. Jika ada yang nak ikuti cerita penghasilan susu saya dan tentang baby, boleh follow saya di IG @arina.amin143.
Moga menjadi inspirasi semua ibu untuk jangan putus asa dalam memberi susu ibu kepada anak-anak. Teruskan perjuangan dan kena ada rasa degil iaitu selagi tak capai apa yang kita nak, jangan pernah berhenti berusaha.
Nota : Sejak saya induce susu pada 23 Mei 2019 hingga kini, saya dah hasilkan hampir 600oz. Termasuk stok frozen yang ada dengan saya. Semua adalah rezeki milik anak susuan saya.
Arina Amin
– Ibu susu Fayyadh dan Yusuf
Tabahnya Puan Arina dalam menghadapi dugaan ini. Kami berharap semoga wanita hebat ini dikurniakan rezeki yang melimpah atas pengorbanannya.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Arina Amin
Baca juga: