Nak didik anak berpuasa tetapi adakah usia mereka sesuai untuk diajarkan ibadah rukun Islam yang ke-4 itu. Lebih-lebih lagi kanak-kanak yang masih tadika baru berusia 4, 5 atau 6 tahun. Setakat mana mereka mampu untuk melakukannya dengan usia masih kecil.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Jangan paksa anak berpuasa, boleh jadi mereka puasa hanya untuk dapat upah duit
- Ajarkan anak mendirikan solat lima waktu dahulu
- Umur yang sesuai untuk ajar anak berpuasa
Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun berkongsi tegurannya kepada ibu dan ayah supaya tidak memaksa kanak-kanak namun, biarlah ibadah puasa itu dilakukan dengan kerelaan hati. Malah beliau menegur terhadap paksaan menjadikan anak-anak dewasa dengan cepat.
Jangan paksa anak berpuasa, boleh jadi mereka puasa hanya untuk dapat upah duit
Menerusi video ceramah beliau pada Youtube, Ustazah Asma’ berkata, hari ini ramai ibu ayah memaksa anak menjadi dewasa dengan cepat iaitu dari kecil sudah memaksa anak melakukan sesuatu ibadah yang berat.
“Baru 4, 5, 6 tahun paksa anak ini puasa, lepas itu dia bangga, ‘ni cucu saya ni, cukup ni 30 hari’. Budak tu baru darjah 1, budak tu baru 8 tahun.
“Akhirnya budak tu tak mampu sangat dan tak faham betul lagi falsafah puasa. Akhirnya dia masuk tandas dia minum air sebab wan dia janji, kalau puasa penuh setiap hari RM10. Kalau sebulan dapat RM300.
“Dia nampak duit tu, dia tak faham lagi falsafah puasa tapi kerana dia nak kejar duit tu. Sebab wan ni nak berbangga dengan kawan-kawan sebaya dia, cucu saya ni sebulan puasa penuh. Akhirnya anak ini berpotensi untuk menipu,” demikian teguran daripada ustazah.
Ajarkan anak mendirikan solat lima waktu dahulu
Dalam masa sama, Ustazah Asma’ berkata, sepatutnya bab mengejarkan solat perlu diberi keutamaan oleh ibu dan ayah.
“Sedangkan Islam beratkan apa? Bab solat, itu pun bermula umur 7 tahun, tapi ramai mana ibu bapa hari ini dah beratkan qiamulail, dah kejut tahajud umur 7 tahun.
“Bukan kata tak boleh, tetapi jangan buat dalam bentuk paksaan. Kalau anak itu nak, maka silakan,” tegasnya.
Umur yang sesuai untuk ajar anak berpuasa
Menerusi hantaran yang lain pada Facebook beliau, Ustazah Asma’ menjelaskan, dalam perkara berkaitan puasa, ulama bersepakat bahawa kanak-kanak yang belum baligh adalah tidak diwajibkan untuk berpuasa.
Hal ini adalah berdasarkan kepada hadis yang menyebut bahawa tidak terdapatnya taklif (kewajipan) dan tanggungjawab ke atas seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh.
Saidina Ali bin Abi Talib r.a. meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاثَةٍ عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ
Maksudnya: “Terdapat tiga golongan yang amalan mereka tidak dicatat: seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehinggalah dia terjaga dan seorang yang hilang akalnya sehinggalah dia kembali waras.”
(HR Abu Daud, No. Hadis 4402, taraf hadis: Sahih)
Namun, bilakah waktu yang sesuai seorang kanak-kanak itu perlu dididik untuk berpuasa?
Menurut Imam al-Nawawi di dalam Kitab Majmu’ yang bermaksud:
“Al-Shirazi dan ulama mazhab al-Syafie menyatakan apabila seorang anak itu mampu berpuasa, maka wali wajib menyuruhnya berpuasa ketika berusia 7 tahun, dengan syarat dia sudah mumayyiz. Dan memukulnya sekiranya dia tidak berpuasa ketika usia 10 tahun. Anak perempuan sama seperti anak lelaki tanpa khilaf.”
Maksud 7 tahun ialah setelah sempurna usia 7 dan memasuki usia 8. Juga setelah sempurna usia 10 tahun dan memasuki usia 11 tahun.
Hal ini diqiyaskan dengan hadis suruhan mendidik anak-anak untuk solat:
مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلاَةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ وَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا
Maksudnya: “Ajarilah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia 7 tahun, dan apabila dia berumur 10 tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan melukakan dengan tujuan untuk mendidik).”
[HR Abu Daud, No. Hadis 494]
Walau bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga hendaklah menilai sejauh mana kemampuan kanak-kanak tersebut untuk berpuasa serta memastikan ia tidak menyebabkan kemudaratan kepada mereka.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Usah Beria Paksa Anak Berpuasa, Ibu Ayah Perlu Ajar Mereka Jaga Solat Terlebih Dahulu
Baca juga: Anak Berpuasa Buat Kali Pertama? Cuba Resepi Sahur Berkhasiat Ini Untuk Tambah Semangat Si Cilik!
Baca juga: 3 kesalahan anda perlu ELAK semasa mengajar anak berpuasa