Anak anda enggan pegang botol susu sendiri atau enggan self-feeding walaupun anda tahu anak anda boleh buat? Self-feeding ialah keadaan dimana anak anda sudah boleh makan dengan sendiri tanpa bantuan si ibu.
Tetapi ada kalanya, akan ada situasi yang mana anak anda tak nak pegang susu botol langsung. Sudahnya, si ibu pula yang jadi tidak keruan bila si kecil enggan meminum susu botol melainkan si ibu yang membantu memegangnya.
Sebelum anda mula risau mengenai anak anda, anda perlu tahu umur berapakah anak anda sepatutnya sudah boleh memegang botol atau cawan. Kebiasaannya, bayi sudah boleh mula makan seawal umur 6 bulan hingga ke 10 bulan. Pada tempoh itulah, anak anda juga sudah boleh mula memegang botol susu sendiri.
Tapi anda harus ingat bahawa tahap perkembangan setiap anak adalah berbeza dan mengikut keadaan tahap anak itu sendiri. Ada bayi yang boleh memegang botol susu seawal umur 5 bulan dan merangkak lambat. Begitulah sebaliknya.
Setiap anak sememangnya berbeza. Nak mengajar anak self-feeding atau pegang botol sendiri ini bukannya mudah. Anda tak perlu terlalu gopoh-gapah dalam mengajar anak anda. Segalanya memang perlu ambil masa.
Mengapa anak enggan pegang botol susu atau meminum cawan sendiri?
Ramai juga ibu yang tertanya kenapa agaknya anak mereka enggan memegang botol atau cawan sendiri sedangkan mereka mampu berbuat demikian. Salah satu perkara ini mungkin adalah puncanya tetapi anda harus ingat bahawa ia bukanlah sebab yang kukuh.
Sekiranya anak anda mempunyai masalah untuk memegang benda atau pun sesuatu, anda harus rujuk kepada pakar atau doktor dengan segera.
1# Sudah terbiasa anda pegang
Kalau anda selalu pegangkan botol untuk anak anda untuk meminta anak anda minum, alamatnya memang anak anda akan sentiasa harapkan anda untuk membantunya memegang.
2# Tidak ajar anak pegang dengan betul
Apabila anda tidak ajar dan tunjukkan cara yang betul untuk memegang botol, mereka tidak akan tahu bagaimana untuk memegang botol itu dengan sendirinya. Malah, anak anda akan berasa kurang minat untuk memegangnya.
3# Tidak beri galakan kepada anak untuk pegang botol sendiri
Anak anda bukanlah tidak mahu pegang sebenarnya tapi apabila anda kurang beri galakan kepada anak anda, mereka rasa lagi ‘malas’ nak pegang botol. Jika anda menumpukan perhatian kepada mereka sewaktu anak anda memegang botol, anak mesti akan lagi fokus kerana anda sedang memandangnya.
Apa si ibu patut buat untuk bantu anak memegang botol?
Wahai ibu. Tiada magis atau cara mudah untuk bantu anak anda pegang botol dalam masa sehari. Tetapi, ada banyak tips untuk bantu bayi anda memegang botol susu yang boleh ibu praktikkan.
Yang penting, ibu-ibu perlu tahu beberapa perkara dalam membantu serta melatih anak anda untuk memegang botol atau cawan dan seterusnya, anak anda boleh self-feeding sendiri!
#1 Hargai dan nikmati setiap saat anda bersama anak anda
Inilah masa dan saat yang sangat bermakna untuk anda meluangkan masa dan membina ikatan bersama mereka. Ambil masa ini untuk ajar mereka cara yang betul. Malah selain itu, anda juga boleh menggunakan peluang ini untuk berbual dengan mereka. Ini juga pasti membantu merangsang perkembangan dan percakapan mereka.
#2 Jangan tinggalkan anak anda berseorangan
Sekiranya anak anda baru mula memegang dan meminum susu botol atau cawan dengan sendiri, jangan sesekali anda meninggalkan anak anda tanpa pengawasan kerana dikhuatiri anak anda boleh mendapat risiko tercekik.
#3 Bantu anak anda memegang botol
Pada awal anda ingin mengajar anak anda untuk memegang botol, anak anda akan dapat lebih belajar apabila dia melihat anda mengajar dan membantunya. Kalau anda lihat anak anda sudah mula boleh pegang sendiri, anda boleh mula lepaskan botol perlahan-lahan. Gunakan satu atau dua jari sebagai sokongan sahaja.
#4 Jangan biar anak tidur dengan susu botol di mulutnya
Apabila anak anda tidur dengan mulutnya penuh dengan susu, ia akan mengakibatkan kaviti pada gigi atau pereputan gigi kerana anak anda baru mula tumbuh gigi. Lagi-lagi kalau mulut anak anda penuh dengan susu.
Malah, anak anda juga boleh tercekik sekiranya susu tersebut banyak dalam mulut.
#5 Jangan stress dan putus asa
Bagi ibu yang baru mula melatih anak untuk memegang botol secara sendiri, anda kena tahu bahawa anak anda tidak akan terus pandai memegang botol atau cawan. Ada hari yang mana anda akan lihat bahawa anak anda sudah mula ingin memegang botol dan ada juga hari yang mana anda buatlah macammana pun, anak anda masih tidak akan pegang.
Jangan rasa stres dan putus asa kerana situasi ini adalah normal. Anda juga janganlah membandingkan bayi anda dengan bayi lain kerana ia akan membuatkan anda lagi bertambah tertekan. Pesanan ikhlas buat para ibu, jagalah emosi dan beri galakan sepenuhnya kepada anak agar anak anda akan berlatih secara perlahan-lahan untuk memegang botol. Anda boleh lakukannya!
Sumber: Kelabmama
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Si Manja Tolak Botol Susu? Ini 7 Jenama Botol Susu Terbaik & Bagus, Pasti Anak Terima!