Bagai nak terkeluar jantung! Pasti itu yang ibu bapa rasa bila anak kecil jatuh tidak kira dari tempat tinggi atau sebaliknya.
Lagi risau bila terhantuk di bahagian sensitif seperti kepala. Walaupun diakui, kecederaan sepanjang mereka membesar adalah perkara biasa dalam fasa meneroka perkembangan diri tetapi awasi juga keadaan mereka ya ibu!
Ibu muda yang juga artis terkenal, Elfira Loy berkongsi kesedihannya kerana kepala bayi kesayangannya benjol selepas terjatuh ke dalam laci baju!
Dia tidak memaafkan dirinya kerana menganggap kecuaian itu datang darinya sendiri. Sabar ya Elfira.
Dalam pada itu, Elfira turut mengingatkan kepada ibu bapa diluar sana supaya terus ke hospital sekiranya anak mereka muntah selepas terjatuh.
Anak kecil jatuh kepala terhantuk? Apa yang perlu ibu lakukan?
Kepala adalah bahagian paling sensitif yang perlu diberi perhatian jika anak anda jatuh.
Jangan mudah memandang remeh kerana yang biasa pada pandangan mata kita, tidak semestinya biasa pada bayi kecil.
Tapi jangan terlalu panik sehingga ibu atau bapa tidak boleh rasional. Cuba relaks dan periksa perkara ini.
Panduan ini dikongsikan isteri kepada angkasawan Malaysia, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor iaitu Dr. Halina Mohd Yunos kepada ibu bapa apabila berdepan situasi anak terjatuh.
Ini selepas anak beliau sendiri pernah terjatuh dari kaunter dapur sebelum ini.
#1. Periksa tahap kesedaran mereka. Adakah mereka menangis atau pun tidak? Jika menangis itu sesuatu yang bagus kerana bayi anda sedar.
#2. Periksa sistem pernafasan mereka. Adakah mereka bernafas dengan betul atau sesak?
#3. Lihat kepala mereka untuk kesan benjol. Jika terdapat benjol pada bahagian kepala letakkan air batu untuk mengecutkan benjol dari terus membesar.
#4. Pastikan kaki dan tangan mereka boleh bergerak seperti biasa. Jika anak menangis tidak henti dan nampak sakit, bawalah segera ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
#5. Pada waktu yang sama periksa anak anda untuk melihat jika mereka muntah ataupun tidak?
Muntah adalah petanda yang tidak baik untuk bayi yang jatuh bahagian kepala dahulu. Biasanya doktor menyarankan untuk memantau selama 6 hingga 24 jam. Jika mereka muntah baik terus rujuk kepada doktor.
Pastikan anda mempunyai maklumat yang tepat apabila anda merujuk doktor seperti tarikh bayi jatuh katil, waktu atau tempoh, ketinggian katil, dan simptom awal.
Sesetengah ibu bapa hanya akan membawa anak berjumpa doktor pada hari berikutnya kerana mungkin tiba-tiba bayi menunjukkan tanda yang merisaukan.
Jadi, maklumat ini amat diperlukan supaya doktor dapat menganalisa kejadian dengan lebih tepat. Jangan sesekali anda rahsiakan sebarang maklumat daripada doktor kerana ia hanya akan menyukarkan rawatan.
Tanda tidak normal yang mungkin dialami bayi selepas terjatuh
- Sukar dibangunkan selepas tidur
- Terdapat darah atau cecair kuning keluar dari hidung atau telinga
- Muntah-muntah
- Menangis dengan kerap dan nyaring
- Kekejangan pada wajah
- Terdapat anggota badan yang tidak boleh digerakkan mereka
- Pengsan
Cegah sebelum terlambat
Siapa yang mahu anak ditimpa kecelakaan? Ia memang bukan perkara yang menggembirakan. Tetapi apabila ia berlaku, pastinya secara tidak langsung akan meningkatkan kesedaran anda untuk mencegah perkara ini daripada berulang, bukan?
Dalam apa juga keadaan, seorang bayi atau kanak-kanak yang masih kecil, tidak sepatutnya dibiarkan sendirian di atas katil dewasa, tempat tinggi atau berisiko tanpa pemantauan.
Selain berdepan risiko terjatuh dari katil atau tempat tigggi mereka mungkin boleh terhantuk di dinding berhampiran katil atau terperangkap bersama barangan lain.
Jadi lebih baik cegah sebelum terlambat. Sediakan persekitaran selamat untuk anak kecil anda supaya risiko terjatuh dan terhantuk boleh dikurangkan.
Apa yang pasti, jika mempunyai anak kecil, sentiasalah beringat. Jangan sekali-kali biarkan bayi anda keseorangan walaupun dengan anak kecil yang lain yang masih tidak faham. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna lagi.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Anak terhantuk hingga lebam? Periksa tanda ini untuk tahu jika mereka alami gegaran otak