Bayi baru lahir selalunya kerap mengalami masalah keluar tahi mata dan ini boleh menjadi perkara biasa. Namun, apabila anak keluar tahi mata banyak, ia mungkin menandakan masalah kesihatan yang perlu diperhatikan.
Isi Kandungan
Adakah Normal Mata Bayi Keluar Tahi Mata Banyak?
Ya, adalah perkara biasa jika bayi keluar tahi mata banyak terutamanya dalam beberapa bulan pertama kehidupan.
Ini disebabkan oleh saluran air mata yang belum berkembang sepenuhnya boleh menyebabkan pengumpulan cecair berlebihan di sekitar mata
yang akhirnya mengakibatkan tahi mata berlebihan dan keadaan ini biasanya akan pulih sendiri selepas beberapa bulan.
Tahi mata ini biasanya berupa lendir yang melekit atau berwarna jernih, kuning, putih atau hijau dan ia mungkin bertambah selepas tidur atau pada waktu pagi.
Gejala Tahi Mata Yang Perlu Diperhatikan
Anak keluar tahi mata banyak biasanya tidak berbahaya, tetapi jika disertai dengan gejala lain, ia mungkin menunjukkan masalah yang lebih serius. Beberapa gejala yang perlu diperhatikan:
- Sakit mata
- Mata sering digosok
- Sukar atau tidak mahu membuka mata
- Mata bengkak
- Kemerahan atau jalur merah di sekitar mata
- Muka turut bengkak
Jika anak anda menunjukkan gejala ini, segera dapatkan nasihat doktor.
Punca Anak Keluar Tahi Mata Banyak
1. Tahi Mata Normal
Mata yang sihat juga menghasilkan tahi mata terutamanya selepas bangun dari tidur. Tahi mata ini biasanya berwarna jernih, kuning, hijau atau putih dan boleh kelihatan melekit atau kering.
Keadaan ini biasanya tidak membimbangkan selagi ia tidak disertai kesakitan atau keradangan.
2. Konjunktivitis (Pink Eye)
- Jangkitan Virus: Penyebab utama konjunktivitis, biasanya berlaku pada kedua-dua mata dengan mata kelihatan merah dan bengkak.
- Jangkitan Bakteria: Menghasilkan lendir hijau atau kuning pada mata. Antibiotik mungkin diperlukan untuk rawatan.
3. Salur Air Mata Tersumbat
Keadaan ini biasa berlaku pada bayi tetapi juga boleh menjejaskan kanak-kanak. Salur air mata yang tersumbat menyebabkan mata kelihatan berair seperti sedang menangis dan ia boleh menyebabkan jangkitan jika teriritasi.
4. Benda Asing di Mata
Habuk, bulu mata atau benda kecil yang masuk ke mata boleh menyebabkan iritasi. Jika tidak dikeluarkan, ia mungkin menyebabkan jangkitan.
5. Selulitis Periorbital
Jangkitan serius yang terjadi di sekitar mata dan boleh menyebabkan mata menjadi bengkak, merah dan sangat sakit.
Demam mungkin juga berlaku. Keadaan ini memerlukan rawatan segera.
6. Ketumbit
Ketumbit berlaku apabila folikel rambut di kelopak mata dijangkiti. Ketumbit boleh menyebabkan nanah yang mengeluarkan tahi mata.
Cara Merawat Tahi Mata Banyak
Rawatan yang sesuai bergantung pada punca masalah. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil oleh ibu ayah untuk merawat anak keluar tahi mata banyak yang boleh dilakukan di rumah.
- Cuci Mata: Gunakan kapas bersih dan air suam untuk membersihkan tahi mata.
- Kompres Hangat: Membantu mengurangkan gejala seperti salur air mata tersumbat atau ketumbit.
- Saline Water: Gunakan saline water untuk membersihkan mata jika ada benda kecil yang masuk ke dalamnya.
- Rawatan Doktor: Jika jangkitan bakteria menjadi punca, doktor mungkin memberikan antibiotik. Dalam kes salur air mata tersumbat yang lebih serius, pembedahan kecil mungkin diperlukan.
Cara Mencegah Masalah Tahi Mata Anak
- Pastikan anak mencuci tangan dengan kerap.
- Elakkan anak menggosok mata dengan tangan yang kotor.
- Bersihkan muka dan mata mereka setiap hari.
- Gunakan pelindung mata jika anak terlibat dalam aktiviti berisiko mencederakan mata.
- Elakkan penggunaan produk kulit atau losyen yang boleh masuk ke dalam mata.
Bila Perlu Jumpa Doktor
Walaupun tahi mata biasa boleh dirawat di rumah, terdapat beberapa keadaan tertentu yang memerlukan perhatian segera, seperti:
- Mata sangat bengkak atau merah.
- Kesukaran membuka mata.
- Sakit mata yang teruk.
- Demam atau tanda-tanda selulitis.
- Kehadiran objek besar atau luka pada mata.
Tahi mata pada anak kecil biasanya tidak berbahaya dan boleh diurus dengan penjagaan di rumah. Namun, jika ia tidak hilang, semakin teruk atau disertai gejala serius, segera dapatkan nasihat doktor. Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kenapa Mata Anak Merah dan Nampak Sakit? Perlukah Ibu Risau?
Baca juga: Konjunktivitis (Sakit Mata Merah): Adakah Ia Berjangkit, Simptom Conjunctivitis & Rawatan
Baca juga: Ibu Jangan Berlengah Jika Mata Bayi Kuning, Ia Petanda Gejala Penyakit Yang Serius