Ibu, hati-hati ya. Apabila si kecil anda itu bangun pagi, dan anda perasan mata bayi merah sebelah, mereka sebenarnya mungkin sedang mengalami konjunktivitis.
Konjunktivitis ini boleh membuatkan mata bayi anda sakit serta gatal dan akan menjadikan mereka fussy. Ini apa yang anda perlu tahu tentang konjunktivitis.
Mengapa mata bayi merah?
Kredit: medicalnewstoday.com
Mata merah atau konjunktivitis adalah keradangan pada konjunktiva (membran lutsinar yang menggariskan bahagian dalam kelopak mata dan bahagian mata putih) yang biasa terjadi dan boleh dirawat.
Apabila berlaku keradangan, saluran darah akan terlihat dan membuatkan keadaan mata menjadi merah.
Keradangan ini boleh terjadi akibat jangkitan, alahan atau gangguan yang lain. Jangkitan yang disebabkan oleh bakteria dan virus ini pula sangat mudah berjangkit!
Baca juga: Apa Yang Boleh Sebabkan Saluran Air Mata Bayi Tersekat Dan Cara Rawatannya?
Simptom mata bayi merah sebelah
Kredit: babycentre.com
Jika salah satu atau kedua-dua belah mata putih bayi dan bahagian bawah kelopak mata mereka merah, kemungkinan besar dia mengalami konjunktivitis.
Apabila sistem imunisasi si kecil anda cuba untuk melawan jangkitan ini, mata mereka akan berair dan akan menghasilkan banyak tahi mata atau berkerak.
Segeralah berjumpa doktor jika anda perasan simptom mata merah ini.
Penting untuk mereka dirawat secepat mungkin untuk mengelakkan kuman dari merebak dan komplikasi jangkitan jarang berlaku pada kelopak mata dan tisu di sekeliling mata.
Jika mata bayi anda yang baru lahir merah atau bengkak sedikit, ia mungkin disebabkan oleh jenis konjunktivitis sementara yang terhasil dari reaksi kepada ubat titis mata yang diberikan pada bayi selepas bersalin.
Apa penyebab masalah ini?
Kredit: HSE.ie
Ini adalah beberapa penyebab kenapa mata bayi merah sebelah:
1# Punca mata bayi merah: Virus
Jika bayi anda mendapat konjunktivitis disertai dengan selsema, jangkitan ini mungkin kerana virus. Virus adalah antara sebab biasa terjadinya konjunktivitis.
2# Punca mata bayi merah: Bakteria
Jika mata bayi anda menghasilkan cairan pekat berwarna kuning dan menyebabkan kelopak mata mereka bengkak dan melekat, ini mungkin disebabkan oleh bakteria staphylococcus, streptococcus, atau hemophilus. Ada juga konjunktivitis yang serius disebabkan oleh bakteria ophthalmia neonatorum yang terjadi kerana bayi baru lahir terdedah dengan chlamydia atau gonorrhea semasa proses bersalin.
3# Punca mata bayi merah: Alahan
Reaksi alahan jarang berlaku pada bayi di bawah umur satu tahun, tapi jika mata bayi anda kelihatan gatal atau bengkak serta berair dan terdapat tompokan darah serta selsema, bayi anda mungkin mempunyai alahan kepada habuk, debunga atau asap.
4# Ubat titis mata
Selepas lahir, bayi akan diberikan ubat titis mata untuk mengelakkan dari jangkitan bakteria yang boleh menyebabkan mata mereka sakit. Ini kadang-kadang dipanggil konjunktivitis kimia.
5# Saluran air mata tersumbat
Sekurang-kurangnya 20% bayi lahir dengan satu atau kedua-dua saluran air mata tersumbat atau sebahagiannya tersumbat. Ini boleh menyebabkan simptom konjunktivitis seperti keluar cecair berwarna putih atau kuning atau konjunktivitis sepenuhnya.
6# Gangguan lain
Banyak perkara lain yang boleh menyebabkan mata bayi anda merah, seperti asap atau klorin dari kolam renang.
Apa ibu patut buat?
Kredit: medicalnewstoday.com
Jika mata bayi anda merah, segera hubungi doktor. Ia boleh jadi jangkitan yang serius pada bayi. Doktor akan memeriksa mata bayi anda dan tanya tentang simptomnya. Rawatan bergantung pada jenis konjunktivitis.
1# Konjunktivitis akibat virus
Ia biasanya hilang sendiri dalam masa lebih kurang seminggu. Doktor akan menasihatkan anda untuk membersihkan kawasan tersebut dengan membasuh mata bayi anda dengan air suam dan mengusap cecair kering.
Jika mata bayi anda tak pulih dalam masa dua minggu, beritahu doktor anda. Meletakkan kain bersih yang direndam dalam air hangat pada mata si kecil anda boleh buat mereka rasa selesa.
2# Konjunktivitis akibat bakteria
Jika penyebabnya adalah bakteria, doktor akan berikan antibiotik dalam bentuk ubat sapu atau ubat titis untuk diletakkan pada mata bayi anda selama tujuh hari. Ubat sapu mungkin lebih mudah untuk anda letakkan berbanding ubat titis. Basuh tangan anda dan perlahan-lahan tarik kelopak mata bawah anak anda ke bawah dan sapukan ubat.
Apabila bayi anda kelipkan mata mereka, ubat ini akan masuk ke dalam mata. Jika anda gunakan ubat titis, tujukan pada bahagian tepi mata anak anda. Perkara ini mudah dilakukan apabila mata anak anda tertutup dan ubat ini akan masuk ke dalam mata mereka apabila mereka buka mata.
3# Konjunktivitis akibat alahan
Caranya adalah dengan perhatikan punca alahan mereka dan jauhkan bayi anda darinya. Jika mata bayi anda buat mereka rasa tak selesa, letakkan kain sejuk pada mata mereka untuk beri mereka kelegaan.
4# Konjunktivitis akibat kimia
Reaksi yang berlaku disebabkan ubat titis untuk mengelakkan jangkitan mata selepas bayi anda lahir ini biasanya hanya berlarutan sehingga 24 ke 36 jam sahaja.
5# Kesemua jenis konjuktivitis
Ramai doktor mencadangkan beberapa titis susu badan pada mata yang dijangkiti beberapa kali sehari untuk membersihkan cecair dan merawat jangkitan awal atau mencegah jangkitan.
Mata bayi merah sebelah: Adakah ia berjangkit?
Konjunktivitis akibat bakteria dan virus sangat mudah berjangkit.
Untuk mengelakkan jangkitan dari merebak, basuh tangan anda setiap kali anda selesai merawat mata bayi anda dan asingkan tuala, pakaian dan tempat tidur mereka dengan orang lain.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber rujukan: Baby Center
Baca juga: 10 Makanan Superfood Untuk Jaga Power Mata Anak
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!